Mengandung dan Kencing Manis


KENCING manis atau diabetes merupakan satu keadaan di mana paras gula (glukosa) di dalam darah badan melebihi paras normal.

Walaupun glukosa merupakan satu punca tenaga tetapi seandainya berlebihan akan menyebabkan permasalahan kesihatan, terutamanya semasa mengandung. Kencing manis semasa mengandung dipanggil diabetes gestasi.

Punca

Kencing manis berlaku apabila pengendalian badan terhadap insulin tidak teratur, sama ada dari segi pembuatan maupun penggunaannya. Insulin merupakan hormon yang menukar glukosa di dalam badan ke bentuk tenaga. Apabila pembuatannya ataupun pengunaannya tidak betul, paras gula darah akan meningkat dan ini dipanggil hiperglisemia.

Semasa mengandung, hormon yang dikeluarkan oleh uri (plasenta) mengganggu keberkesanan insulin, hasilnya, hiperglisemia mungkin berlaku. Puan boleh mendapat diabetes gestasi walaupun tidak ada risiko yang dikenal pasti. Lazimnya kencing manis yang berlaku semasa mengandung hilang selepas kelahiran. Namun demikian, risiko untuk mendapat kencing manis pada masa hadapan adalah tinggi.

Sekiranya puan pernah mendapat rawatan kencing manis semasa mengandung, maklumkan kepada doktor atau jururawat yang ditemui. Harus diingat bahawa risiko kencing manis meningkat dengan peningkatan umur semasa mengandung

Masalah kencing manis semasa mengandung

Risiko kesihatan akan meningkat dengan peningkatan paras gula darah. Setengah daripada komplikasi ini meningkatkan risiko untuk kelahiran secara pembedahan. Inilah sebabnya mengapa paras gula darah perlu dikawal.

Permasalahan yang mungkin puan hadapi sekiranya puan berisiko untuk penyakit kencing manis semasa mengandung:

- Janin menjadi besar dikenali sebagai makrosomia. Ini disebabkan oleh gula berlebihan memasuki janin dan mengarahkan tumbesaran pesat, akibatnya janin menjadi besar dan mungkin sukar untuk dilahirkan secara normal, kejadian kelahiran tersekat terutamanya pada bahagian bahu meningkat.

- Kejadian darah tinggi dan kehadiran protein di dalam air kencing meningkat, ini dipanggil pre-eklampsia. Jika dibiarkan, boleh menyebabkan sawan, kegagalan hati dan juga buah pinggang. Puan mungkin terpaksa melahirkan anak sebelum masanya untuk mengelakkan komplikasi dan musibah yang melanda sistem dalaman organ. Kematian juga boleh berlaku pada janin.

- Meningkatnya cecair likuor di kantung di mana janin berada. Ini menyebabkan saiz kandungan melebihi saiz sebenar mengikut kiraan, menyebabkan ketidakselesaan seperti kesukaran bernafas. Kelahiran mungkin berlaku sebelum sampainya penggal kematangan iaitu sebelum 38 minggu.

- Jangkitan sistem pundi kencing. Sekiranya tidak dirawat, jangkitan di pundi kencing akan merebak ke buah pinggang.

- Sindrom kesukaran pernafasan mungkin berlaku pada bayi. Risiko ini meningkat untuk ibu-ibu yang mempunyai kencing manis semasa mengandung, lebih-lebih lagi apabila kelahiran awal sebelum tempoh terpaksa dilakukan.

- Kematian bayi di dalam kandungan, mungkin berlaku sekiranya kencing manis gagal dikawal. Ini termasuklah keguguran.

Pengawalan kencing manis

Apabila puan menghadirkan diri kali pertama ke klinik perbidanan untuk membuat kad lawatan antenatal, puan akan diselidiki akan faktor-faktor risiko, sejarah perubatan serta sejarah perbidanan lampau.

Sejarah kesihatan sekarang seperti berat badan yang melebihi nisbah berat-tinggi yang disyorkan, umur puan, kandungan yang disyaki secara relatifnya besar, berat janin, kehadiran lebih daripada satu janin serta kandungan air likuor yang terlampau (mengikut umur kandungan). Pemeriksaan air kencing yang menunjukkan kehadiran gula di dalamnya bukanlah kaedah pengawasan pengawalan yang diamalkan di hospital.

Puan akan diuji untuk paras glukosa darah, paling mudah diambil dari jari dan hanya memerlukan setitik darah.

Puan juga akan ditanya bila kali terakhir ujian glukosa darah diambil, di samping masa puan makan dan minum. Sekiranya terbukti paras gula darah kapilari puan melebihi normal, puan akan dinasihatkan supaya menjalani ujian selanjutnya.

Sekiranya puan sudah pun mengalami kencing manis sebelum mengandung, puan dinasihatkan supaya menghadiri klinik kencing manis supaya pengawalan paras gula darah yang ketat dapat dimanfaatkan. Ini kerana paras gula yang tidak teratur dan tinggi dapat mencacatkan pertumbuhan serta tumbesaran janin, terutamanya yang berumur kurang dari 12 minggu. Semasa mengandung, pengawalan paras gula darah dilakukan dengan penggunaan insulin. Pil-pil tidak digunakan.

Pemakanan

Pemakanan seimbang penting terutamanya untuk mereka yang menghidapi kencing manis. Tumbesaran janin bergantung pada pemakanan puan. Perlu ditegaskan pemakanan yang diambil perlu diimbangkan supaya paras gula tidak naik melebihi normal.

Pemakanan puan bergantung kepada berapa berat badan, umur dan juga tahap kecergasan harian puan. Peringkat umur kandungan juga memainkan peranan dalam pemakanan puan.

Perawatan

Semasa mengandung, sekiranya puan memerlukan perawatan untuk kencing manis, ubat suntikan insulin diberikan.

Sebelum insulin diberikan, puan mungkin dimasukkan ke wad untuk menentukan dos optimum, mengenalpasti apa yang mungkin puan rasai sekiranya paras gula jatuh terlalu rendah, serta diajar cara-cara menyuntik dan juga mengendalikan alat-alat suntikan.

Ubat-ubat untuk dimakan mungkin diberikan sekiranya puan memang pesakit kencing manis sebelum mengandung lagi.

Senaman itu penting untuk mereka yang berpenyakit kencing manis. Walaupun puan mengandung, puan boleh juga bersenam, contohnya seperti berjalan-jalan dan senaman ringan lain.

Penjagaan kandungan

Semasa trimester pertama, ujian darah khas seperti darah hemoglobin berglikosi boleh dijalankan, di mana ujian ini meramalkan sama ada kecacatan janin merupakan satu kemungkinan. Puan juga mungkin dinasihatkan supaya menjalani pemeriksaan ultrasound pada minggu ke-18 hingga ke-20 kandungan untuk mengenalpasti sebarang kecacatan pada janin.

Pemeriksaan antenatal lain seperti yang dijalani ibu-ibu yang mengandung biasa turut dilakukan. Temujanji puan mungkin lebih kerap sedikit kerana doktor perlu memastikan pengawalan gula darah, dos insulin dan juga komplikasi lain dikenal pasti.

Lazimnya di hospital-hospital besar seperti hospital Universiti Sains Malaysia, puan akan dirawat dan hadir ke klinik gabungan khas yang terdiri daripada pakar perubatan dalaman dan pakar obstetrik. Puan juga mungkin dirujuk kepada pakar pemakanan serta jururawat mahir yang mempunyai pengkhususan dalam penjagaan ibu mengandung yang menghidapi kencing manis.

Kelahiran

Jangan runsing, sekiranya pengawalan gula darah puan stabil, saiz bayi biasanya tidak besar dan dalam kebanyakan kes, kelahiran berjalan secara normal.

Semasa proses kelahiran, pengawasan gula darah dan juga paras elektrolit lain diawasi dengan teliti. Sekiranya terdapat komplikasi ataupun keadaan tidak terkawal, berkemungkinan kelahiran bayi puan akan dirancangkan lebih awal dari tempoh masanya.

Penjagaan selepas mengandung

Kebanyakan bayi tidak mengalami komplikasi tetapi doktor akan memasukkan bayi ke wad rawatan khas untuk mengenal pasti sebarang komplikasi yang mungkin berlaku seperti:

- Paras gula darah yang rendah
- Paras kalsium dan magnesium yang rendah
- Peningkatan bilangan sel-sel darah merah
- Jaundis neonatal iaitu kulit bayi menjadi kuning
- Masalah dengan pernafasan

Kebanyakan masalah ini tidak berlaku sekiranya kencing manis semasa mengandung puan terkawal. Tidak ada halangan juga untuk puan meneruskan penyusuan badan untuk bayi.

Puan boleh mengamalkan mana-mana kaedah kontraseptif yang ada. Sekiranya puan mengandung dalam tempoh dekat, puan mungkin mengalami kembali diabetes gestasi.

Pengawalan paras glukos

Sejurus selepas bersalin, puan tentu merasakan keletihan yang amat sangat. Pada masa tersebut sekiranya puan belum makan atau minum apa-apa, regim insulin boleh diteruskan. Insulin diberhentikan sebaik sahaja puan mengambil makanan atau meminum minuman bertenaga. Pengawasan gula masih ditumpukan, dan sekiranya paras gula puan masih tinggi, ubat anti kencing manis akan dipreskripsikan. Sekiranya paras gula darah puan kembali normal, puan perlu ingat yang puan adalah lebih berisiko untuk mendapat kencing manis di kemudian hari. Jadi selalulah berjumpa dengan doktor.

Pengawasan berat badan

Tidak digalakkan puan menurunkan berat badan atau berdiet terlampau semasa tempoh mengandung. Selepas bersalin, puan bolehlah meneruskan agenda menurunkan berat badan dengan bersenam serta cara pemakanan yang betul. Perlu diingat yang puan juga akan memerlukan tenaga yang lebih untuk menjaga bayi kesayangan yang baru sahaja lahir ke dunia.

dicetak dari utusan online
http://paramedik.bbfr.net/t4373-mengandung-dan-kencing-manis

Khasiat Daun Pegaga: Ubat Kencing Manis

Sejak kebelakangan ini, ada beberapa rakan saya yang bertanyakan tentang petua untuk mengubati penyakit kencing manis. Justeru itu, saya akan berkongsi salah satu ubat kencing manis dan cara perlaksanaannya sebentar jer lagi. Ubat yang saya maksudkan tu ialah daun pegaga.

Sebenarnya, khasiat daun pegaga ni banyak. Selain mampu merawat kencing manis, ia mampu mengubati "kembarnya" iaitu darah tinggi, mengecutkan peranakan dan menghilangkan bintik hitam di muka.


daun pegaga ubat kencing manis
Gambar daun pegaga - Forum Anakku Sayang

Baiklah, ringkasnya ada 2 kaedah perlaksanaan yang boleh anda amalkan melalui pengambilan daun pegaga ni iaitu:

1. Jadikan sebagai ulam-ulaman

Mula-mula, anda ambillah beberapa helai pucuk daun pegaga dan basuh sehingga bersih. Kemudian, makanlah daun pegaga ni semasa menikmati makan tengahari, petang atau malam. Usah bimbang, anda boleh memakannya bersama lauk-puak lain macam biasa.

Ini kerana, pucuk pegaga mampu mengurangkan paras gula dalam air kencing anda.

2. Minum air rebusan akar dan daunnya

Anda sediakan dulu kira-kira 30 helai daun pegaga dan bersihkannya dulu. Kemudian, rebus air kira-kira dalam sukatan 2 cawan air putih bersama-sama dengan pegaga tadi.

Setelah mendidih, biarkan air rebusan tu sejuk secara semulajadi. Lepas itu, minumlah air rebusan tersebut dalam 2 kali sehari. Amalkan setiap hari sampailah anda berpuas hati dengan hasilnya.

Itu saja caranya. Mudah-mudahan petua kesihatan kali memberi alternatif tambahan kepada kebanyakan penghidap kencing manis.

Read more: http://petuasejagat.blogspot.com/2009/04/khasiat-daun-pegaga-ubat-kencing-manis.html#ixzz1s2GWrz8l

Elakkan Kebutaan Akibat Kencing Manis

Oleh Dr. Bakiah Shaharuddin (Pensyarah Kanan, Jabatan Oftalmologi, Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.)

 
Puan Mariam, seorang guru penolong berusia 45 tahun kerap berasa letih sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Sebaik sahaja pulang ke rumah beliau selalu tertidur di ruang tamu sebaik sahaja melabuhkan tubuhnya di sofa.

Kawan-kawan juga mula menegur tubuhnya yang semakin kurus dan lebih aneh beliau kerap terasa dahaga dan lapar. Tidurnya juga terganggu kerana kerap membuang air sejak kebelakangan ini.

Beliau yang selalu sibuk dengan tugas seharian pada mulanya tidak mengendahkannya, tetapi apabila beliau mula perasan penglihatannya semakin kabur, Puan Mariam mula menyedari kemungkinan beliau menghidapi sesuatu masalah yang serius.

Temu janji berjumpa pakar mata mendapati beliau menghidap penyakit kencing manis dan telah menjadi serius sehingga mendapat komplikasi mata.

10 soal jawab berkenaan penyakit diabetes & retinopati diabetik

1. Apakah penyakit diabetes?
Penyakit diabetes atau kencing manis adalah disebabkan paras gula yang tinggi di dalam darah.

Ini adalah kerana gangguan kepada hormon insulin yang dihasilkan oleh sel- sel pankreas.

Komplikasi yang diakibatkan oleh penyakit kencing manis adalah masalah mata, buah pinggang, sistem saraf, salur darah, jantung dan juga otak.

Masalah mata yang sering terjadi ialah retinopati diabetik.

2. Apakah retinopati diabetik dan apakah gejalanya?
Retinopati diabetik adalah komplikasi pada retina mata.

Retina adalah diibaratkan filem pada sebuah kamera, di mana ia menerima imej yang terbentuk dan memproses cahaya.

Masalah retinopati selalu terjadi kepada pesakit yang telah lama menghidap kencing manis dan tidak mengawal paras gula darah dengan baik.

Penyakit retinopati kadangkala langsung tidak menunjukkan sebarang gejala.

Ia hanya dapat dikesan apabila doktor memeriksa retina mata melalui pemeriksaan ‘fundoskopi’ atau gambar retina diambil dengan kamera khas.

3. Adakah semua pesakit diabetes akan menghidapi retinopati?
TIDAK. Penyakit diabetes yang terkawal akan melambatkan proses retinopati.

Tetapi pesakit yang telah lama menghidapi penyakit diabetes lambat laun akan menghidapi retinopati juga walaupun penyakit diabetes dikawal dengan baik.

Pesakit diabetes jenis kedua atau diabetes mellitus yang tidak bergantung kepada suntikan insulin, mesti berjumpa dengan doktor mata apabila mereka disahkan menghidapi diabetes pada pertama kali.

Bagi diabetes jenis pertama atau mellitus yang bergantung kepada suntikan insulin, mereka harus diperiksa selepas 5 tahun disahkan menghidap diabetes.

Sekurang-kurangnya pemeriksaan mata mesti dilakukan sekali dalam setahun.

Bagi mereka yang hamil, pemeriksaan mata juga harus dilakukan dengan kerap.

4. Apakah jenis-jenis retinopati?
Terdapat 3 jenis retinopati:

a. Retinopati jenis tidak proliferatif adalah jenis paling ringan. Biasanya ia tidak mengganggu penglihatan.

b. Retinopati jenis proliferatif adalah jenis yang bahaya di mana ia punca utama kebutaan.

Rawatan yang didapati berkesan untuk retinopati jenis proliferatif ialah rawatan fotokoagulasi laser.

c. Makulopati – terjadi kebocoran salur darah pada kawasan makula pada retina.

Ia boleh didapati pada peringkat tidak proliferatif dan juga proliferatif.

Pesakit yang mendapat makulopati akan diberi rawatan laser fokal.

5. Apakah retinopati jenis proliferatif?
Ia jenis yang paling bahaya. Ini kerana terbentuknya salur darah baru yang tidak normal dan rapuh.

Salur darah ini mudah pecah dan mengakibatkan pendarahan pada struktur vitreous (kekaca) dalam bola mata.

Pendarahan di dalam bola mata juga akan mengakibatkan pembentukan parut pada retina.

Apabila parut ini tertarik, ia akan menyebabkan retina menjadi terkoyak dan lekang dari kedudukan asal.

Ini akan menyebabkan pesakit menjadi buta. Kadangkala salur darah juga boleh menjadi bocor pada kawasan makula retina.

Ini akan menyebabkan makula menjadi bengkak dan seterusnya mengganggu fungsi penglihatan.

6. Apakah fotokoagulasi laser?

LASER adalah akronim yang bermaksud Penguatan Rangsangan Pancaran Radiasi Laser.

Mesin laser mengeluarkan cahaya pada gelombang yang tertentu yang dapat menghasilkan tenaga.

Fotokoagulasi ialah proses di mana tenaga cahaya dalam bentuk laser digunakan untuk menghasilkan pancaran pada retina.

Tenaga diserap oleh pigmen retina untuk mengurangkan penghasilan bahan kimia yang merangsang pertumbuhan salur darah baru.

Rawatan laser pada kawasan makula dapat mengurangkan pengumpulan cecair dalam lapisan retina akibat kebocoran pada salur darah.

Kadangkala rawatan laser pada makula juga dapat memperbaiki penglihatan pesakit.

7. Adakah semua pesakit yang menghidapi retinopati akan menjadi buta?
TIDAK. Kebanyakan pesakit tidak akan hilang penglihatan mereka.

Tetapi risiko menjadi buta di kalangan pesakit retinopati diabetes adalah 20 kali ganda lebih tinggi daripada mereka yang tidak mengalami diabetes.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan antara tiga hingga empat juta orang buta di seluruh dunia akibat diabetes.

8. Apakah yang harus dilakukan untuk memelihara penglihatan pesakit diabetes?
Sekiranya anda mempunyai gejala-gejala diabetes, segeralah berjumpa doktor supaya masalah anda dapat dikenal pasti dan dirawat di peringkat awal.

Anda haruslah mengawal penyakit diabetes dan juga faktor-faktor metabolik yang lain seperti tekanan darah dan paras kolesterol.

Ini dapat dilakukan dengan mematuhi arahan dan nasihat doktor anda, mengambil ubatan yang telah ditetapkan, mengamalkan cara hidup sihat melalui amalan pemakanan yang sihat, bersenam dan berhenti merokok.

Anda juga harus menjalani pemeriksaan mata berkala sekurang-kurangnya sekali setahun.

9. Adakah rawatan laser dapat memulihkan penglihatan semua pesakit?
TIDAK. Tujuan utama rawatan laser adalah untuk mengelakkan masalah kebutaan.

Selalunya penglihatan tidak dapat dipulihkan kepada keadaan asal.

Dalam sesetengah pesakit, rawatan laser mungkin membantu memulihkan penglihatan di peringkat awal retinopati.

10. Apakah harapan untuk merawat mata yang telah menjadi buta akibat retinopati diabetik?
Pembedahan vitrektomi bagi mencuci darah dan melekapkan semula retina yang telah lekang mungkin dapat memperbaiki keadaan mata.

Walau bagaimanapun, peluangnya agak tipis.

Pesakit yang telah menjalani rawatan laser mempunyai peluang yang lebih cerah berbanding mereka yang tidak pernah menjalani rawatan laser.

Setakat ini tiada lagi ubat-ubatan yang didapati berkesan secara eksklusif untuk penyakit ini.

Perkembangan Pesakit

Puan Mariam didapati menghidapi retinopati jenis sederhana melibatkan lapisan makula.

Setelah darahnya diperiksa didapati beliau mempunyai paras gula yang tinggi.

Doktor mata telah merujuk beliau kepada pakar perubatan dan beliau telah diberikan rawatan untuk kencing manis.

Darah beliau juga telah diperiksa untuk mengesan komplikasi lain seperti masalah kolesterol, jantung dan buah pinggang.

Di klinik mata, Puan Mariam telah menjalani rawatan laser fokal yang tidak menyakitkan.

Selepas 6 minggu Puan Mariam berasa lebih sihat dan penglihatannya beransur pulih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...