Puasa Pesakit Diabetes

DIABETES Mellitus (DM) adalah penyakit kronik di mana terdapat kadar gula berlebihan di dalam darah yang disebabkan oleh gangguan hormon insulin iaitu hormon yang berperanan mengawal paras gula dalam darah, baik secara kuantiti (insulin berkurangan) atau kualiti (insulin tidak berkesan).

Mengikut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Kedua pada 1996, lebih 1.5 juta penduduk negara ini menghidap diabetes. Daripada jumlah itu, kira-kira satu juta terdiri daripada mereka yang beragama Islam yang secara amnya bertanggungjawab untuk berpuasa di bulan Ramadan.

Persoalannya, bolehkah pesakit diabetes berpuasa sedangkan mereka terpaksa begantung kepada ubat-ubatan atau suntikan insulin setiap hari untuk mengawal penyakit?

Pesakit diabetes yang beragama Islam bolehlah mengikuti panduan berikut, yang dipetik daripada persidangan yang menggabungkan pemikiran para ulama Islam dan doktor perubatan moden.

 

Siapa yang boleh dan tidak boleh berpuasa?

Secara umumnya, pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan dan diabetesnya terkawal serta tidak memerlukan insulin memanglah digalakkan berpuasa.

Walau bagaimanapun, pesakit diabetes yang tidak terkawal paras gulanya dan tidak mengambil ubat-ubatan atau suntikan insulin seperti yang disyorkan oleh doktor mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk berdepan dengan komplikasi jika berpuasa.

Antara pesakit diabetes yang tidak digalakkan berpuasa termasuklah;
  • Penyakit diabetesnya tidak stabil. Dibimbangi ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti dehidrasi (kekurangan air), jangkitan kuman dan koma.
  • Mengalami komplikasi diabetes yang serius seperti penyakit jantung koronari dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.
  • Kerap mengalami komplikasi diabetik ketoasidosis (lebih cenderung bagi pengidap Diabetes Jenis I dan pesakit yang menggunakan suntikan insulin).
  • Kerap mengalami komplikasi hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah).
  • Sedang mengalami jangkitan kuman.
  • Warga tua dan tinggal bersendirian.
  • Hamil yang memerlukan suntikan insulin.
  • Berusia di bawah 12 tahun.
Pesakit diabetes yang ingin berpuasa mestilah bersahur, menyegerakan berbuka puasa, makan ubat/menyuntik insulin mengikut nasihat doktor, mengawasi penyakit diabetes dan kesihatan mereka secara umumnya dan peka dengan tanda-tanda hipoglesemia, hiperglisemia (gula berlebihan dalam darah) dan dehidrasi.

Mereka harus segera berbuka apabila mengalami samada hipoglisemia, hiperglisemia atau dehidrasi. Adalah haram untuk pesakit meneruskan puasa kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan. Jangan sekali-kali mengubahsuai dos ubat atau insulin dan waktu ia harus dimakan/disuntik tanpa rujukan doktor.

Mengenal pasti keadaan hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi

Hipoglisemia
Hiperglisemia
Dehidrasi
Menggigil
Terlalu lemah
Amat lapar
Berpeluh
Pucat
Berdebar-debar
Gelisah
Koma (tidak sedarkan diri)
Kerap buang air kecil
Terlalu dahaga
Sangat letih
Amat dahaga
Kulit dan lidah yang terlalu kering
Fikiran terganggu




Diet - Elakkan makan berlebihan ketika berbuka puasa dan pada waktu malam. Karbohidrat dan makanan berlemak boleh menambahkan berat badan serta menyukarkan kawalan diabetes.

Panduan kepada pesakit diabetes yang dibenarkan berpuasa

Sahur
Berbuka
Sekurang-kurangnya semangkuk oat/bijirin ATAU
3-4 keping roti ATAU
Nasi dan lauk (lebihkan sayur-sayuran)
Hadkan pengambilan air bergula, kuih-muih manis.
Jika memakan kurma, hadkan kepada dua hingga tiga biji sahaja.
Kurangkan pengambilan nasi dan lebihkan sayur-sayuran.

Senaman – Melakukan aktiviti fizikal yang ringan ketika berpuasa tidak akan mendatangkan kemudaratan. Perubahan terhadap diet dan ubat-ubatan ketika bersahur harus dibuat (mengikut nasihat doktor) bagi mengelakkan hipoglisemia.

Ubat – Dapatkan nasihat doktor tentang pengubahsuaian dos serta waktu pengambilan ubat. Sebagai panduan, dos ubat-ubatan seperti glibenclamide, gliclazide, glipizide, chlorpropamide dan Acarbose yang di ambil sebelah pagi pada kebiasaannya di hari tidak berpuasa, ditukar masa pengambilannya ke waktu berbuka puasa.

Dos yang diambil sebelum makan malam malam sewaktu tidak berpuasa pula perlu diambil sebelum bersahur. Pengurangan dos yang diambil mungkin perlu untuk mengelakkan hipoglisemia.

Ubat seperti repaglinide perlu dimakan pada waktu bersahur dan berbuka puasa. Metformin dan Rosiglitazone secara amnya kurang mengakibatkan hiploglisemia dan selalunya tidak memerlukan perubahan dos.

Insulin – Dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan pada permulaan puasa seperti berikut:
Tiga kali suntikan insulin: Dua dos insulin yang bertindak segera (short-acting insulin) ketika berbuka dan sebelum bersahur. Ini diikuti dengan satu dos insulin yang bertindak lama (intermediate acting insulin) sebelum tidur.

Dua kali suntikan insulin: Satu dos insulin yang sudah dicampur (premixed insulin) ketika berbuka puasa. Dos yang diperlukan adalah sama seperti dos yang diberika pada waktu pagi di hari tidak berpuasa. Satu dos insulin yang bertindak segera pula diberi sebelum bersahur .

Pada permulaan bulan puasa, tahap gula dalam darah perlu diuji pada waktu-waktu berikut:
  • Sebelum bersahur
  • Dua hingga empat jam sebelum bersahur
  • Sebelum berbuka puasa
  • Dua hingga empat jam kemudian
Perkara lain yang perlu diberi perhatian

Pesakit yang memerlukan insulin perlu menjalani ujian ketone di dalam air kencing atau darah, sekiranya tahap gula di dalam darah mereka terlalu tinggi. Langkah ini dapat mengelakkan berlakunya koma diabetik ketoasidosis. Pesakit ini juga mesti segera berbuka puasa.

Awasi berat badan di sepanjang bulan puasa. Pertambahan lebih dua kilogram perlu dimaklumkan kepada doktor. Jika dalam satu hari berat badan didapat berkurangan 3%, pesakit mestilah segera berbuka bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya dehidrasi yang serius.

Banyakkan minum air tetapi elakkan minuman manis. Gantikan air yang hilang ketika membuang air kecil di tengah malam dengan meminum air.

Dengan pengawasan yang baik, ibadah puasa dapat dilaksanakan dengan selamat oleh pesakit diabetes. Pesakit perlu menjaga diet ketika berbuka, bersahur dan mendapatkan nasihat doktor berhubung pengubahsuaian dos dan waktu ubat/insulin harus dimakan/disuntik. Pesakit perlu peka terhadap tanda-tanda hipoglisemia atau dehidrasi. Sekiranya ia berlaku, pesakit mestilah segera berbuka puasa.

Sumber: Artikel asal disediakan oleh A/Prof Dr Nor Azmi Kamarudin, Klinik Diabetis dan Endokrinologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan diterbitkan untuk pendidikan ehsan oleh Novo Nordisk Pharma (M) Sdn Bhd.

Diabetes Bukan Halangan Puasa


Mengawal kadar gula dalam darah, terutama pada Ramadan sememangnya cabaran paling besar untuk mereka yang disahkan menghidap diabetes atau kencing manis. Malah, ada kalanya jika kandungan gula terlalu tinggi atau terlalu rendah, pesakit dinasihatkan tidak meneruskan puasa.

Namun, kata Pakar Runding Endrokologi, Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein, jika pesakit bijak mengawal kadar gula dalam darah, berpuasa bukanlah halangan besar. Malah dengan nasihat doktor dan ubah suai dos yang perlu diambil, pesakit sebenarnya masih mampu menjalani ibadat puasa.

Malah, tidak ramai yang menyedari, bagi pesakit yang sudah lama didiagnos dengan diabetes, bulan puasa adalah waktu yang dinanti-nantikan kerana lebih mudah sebenarnya bagi mereka mengawal tahap gula dalam darah.

“Pesakit yang sudah lama didiagnos dengan diabetes, mereka sudah tahu perubahan pengambilan dos insulin selain pemakanan. Bagaimanapun, pesakit kanak-kanak yang baru didiagnos dengan diabetes, Ramadan memang bulan yang mencabar,” katanya.

Lebih 1.2 juta warga Malaysia ialah pesakit diabetes dengan anggaran kes baru sekitar 650,000 setiap tahun, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan menjelang 2030, ada seramai 180 juta pesakit diabetes di seluruh dunia.

Di Malaysia, 95 peratus pesakit diabetes adalah daripada Jenis Dua. Namun, kebanyakan pesakit diabetes Jenis Satu pula ialah kanak-kanak dan remaja.

“Diabetes Jenis Satu paling sukar kerana pesakit langsung tiada insulin dalam badan, jadi jika kurang menerima suntikan, mereka berisiko berdepan masalah gula naik secara mendadak.

“Lazimnya pesakit diabetes Jenis Satu ialah mereka yang sudah disahkan menghidap diabetes sejak bertahun-tahun lamanya. Jadi mereka sudah tahu melakukan perubahan terhadap pemakanan. Mereka tidak sukar menempuh Ramadan melainkan ubat-ubatan mereka sudah bertukar atau baru mendapat suntikan insulin, mereka secara khusus perlu dinasihatkan dan dimaklumkan bagaimana mengelak gula turun atau naik secara mendadak,” katanya.

Dr Zanariah berkata, selain itu pemakanan juga antara faktor penting bagi menguruskan diabetes ketika Ramadan. Lebih mudah katanya, diet pesakit diabetes tidak sama, selain keperluan ubat-ubatan juga tidak sama. Namun, secara umum kebanyakan pesakit akan makan lebih ketika berbuka puasa dan sahur pula ringan, justeru pemberian dos juga perlu diterbalikkan.

Panduan bagi pesakit diabetes yang dibenarkan berpuasa

# Diet – Elak makan berlebihan ketika berbuka puasa dan pada waktu malam. Karbohidrat dan makanan berlemak boleh menambahkan berat badan serta menyukarkan kawalan diabetes.

# Senaman – Melakukan aktiviti fizikal yang ringan ketika berpuasa tidak akan mendatangkan kemudaratan. Perubahan diet dan ubat-ubatan ketika bersahur harus dibuat (mengikut nasihat doktor) bagi mengelakkan kadar gula dalam darah turun mendadak.

# Ubat – Dapatkan nasihat doktor mengenai pengubahsuaian dos serta waktu pengambilan ubat. Sebagai panduan, dos ubat-ubatan yang diambil pada sebelah pagi pada hari tidak berpuasa ditukar masa pengambilannya ke waktu berbuka puasa. Dos yang diambil sebelum makan malam sewaktu tidak berpuasa, pula perlu diambil sebelum bersahur. Pengurangan dos yang diambil mungkin perlu untuk mengelakkan kadar gula dalam darah turun atau naik mendadak.

# Insulin – Dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan pada permulaan bulan puasa, seperti berikut:

# Tiga kali suntikan insulin: Dua dos insulin yang bertindak segera (short-acting insulin) ketika berbuka dan sebelum bersahur. Ini diikuti dengan satu dos insulin yang bertindak lama (intermediate acting insulin) sebelum tidur.

# Dua kali suntikan insulin: Satu dos insulin yang sudah dicampur (premixed insulin) ketika berbuka puasa. Dos yang diperlukan ialah sama seperti dos yang diberikan pada waktu pagi pada hari tidak berpuasa. Satu dos insulin yang bertindak segera pula diberi sebelum bersahur (0.1 – 0.2 unit insulin/kg berat badan)

Bagaimana pula dengan pesakit yang berdepan dengan masalah diabetes ketika hamil?

Kata Dr Zanariah, umumnya wanita hamil tidak digalakkan berpuasa, namun jika pengurusan diabetesnya baik wanita itu masih boleh berpuasa.

“Bagi wanita yang didiagnos dengan diabetes sebelum hamil, apabila sudah berbadan dua, dia perlu mengambil insulin berbanding ubat biji. Penggunaan insulin berisiko tinggi untuk berdepan dengan masalah gula rendah. Jadi sewaktu mengandung, risikonya lebih ketara. Pada tempoh kehamilan, kawalan gula sangat penting untuk memastikan perkembangan janin,” katanya.

Bagi mereka yang menghidap diabetes ketika hamil, biasanya diabetes yang dialami tidak teruk dan mereka hanya perlu mengawal diet untuk terus berpuasa.

“Jika kawalan gula yang baik dan mengikut garis panduan mereka boleh puasa,” katanya.

Fakta: Peringatan umum pesakit diabetes berpuasa

1) Jangan melengahkan berbuka tetapi melambatkan bersahur.

2) Bagi pesakit yang baru berpuasa digalakkan mengukur gula dalam darah supaya mereka boleh nilai tindak balas kadar gula dalam darah waktu berpuasa. Tahap gula diuji pada, sebelum bersahur antara dua ke empat jam selepas bersahur, sebelum berbuka puasa dan antara dua ke empat jam selepas berbuka.

3) Makan ubat/menyuntik insulin mengikut nasihat doktor.

4) Makan berpada-pada ketika berbuka serta kurangkan hidangan yang manis.

5) Mengawasi penyakit diabetes dan kesihatan mereka secara umumnya.

6) Mengenali tanda-tanda hipoglesemia (kekurangan gula dalam darah), hiperglisemia (gula berlebihan dalam darah) dan dehidrasi.

7) Segera berbuka apabila mengalami masalah sama ada hipoglesemia, hiperglisemia atau dehidrasi. Haram untuk pesakit meneruskan puasa kerana ia boleh memudaratkan mereka.

Mengubahsuai dos ubat atau insulin dan waktu ia harus dimakan /disuntik mengikut syor doktor.

Simptom hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi:

Tanda-tanda hipoglisemia:
# Menggigil
# Terlalu lemah
# Amat lapar
# Berpeluh
# Pucat
# Berdebar-debar
# Gelisah
# Koma (tak sedarkan diri)

Tanda-tanda hiperglisemia:
# Kerap buang air kecil
# Terlalu dahaga
# Sangat letih

Tanda-tanda dehidrasi:
# Amat dahaga
# Kulit dan lidah yang terlalu kering
# Fikiran terganggu

Pesakit diabetes tidak dibenarkan berpuasa sekiranya:

# Penyakit diabetes yang dihidapi tidak stabil. Bimbang ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti dehidrasi (kekurangan air), jangkitan kuman dan koma.
# Tidak mematuhi nasihat penjagaan diet, pengambilan ubat-ubatan dan insulin.
# Mengalami komplikasi diabetes yang serius seperti penyakit jantung koronari dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.
# Kerap mengalami koma diabetik ketoasidosis.
# Kerap mengalami koma hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah).
# Mengalami jangkitan kuman.
# Warga tua dan tinggal bersendirian.
# Wanita hamil yang memerlukan suntikan insulin.
# Berusia bawah 12 tahun.

Oleh Hafizah Iszahanid dan Suzan Ahmad

Read More: http://www.serikasih.com/diabetes-bukan-halangan-puasa#ixzz1r30WeJKW
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...