PESAKIT kencing manis sering mengeluh apabila beranggapan ubat yang dimakan sebagai punca masalah klimaks.
Berdasarkan kes yang saya terima, ada pesakit kencing manis kecewa kerana mampu menjalin hubungan intim, tetapi kesudahannya menghampakan apabila tidak berasa ‘nikmat’ ketika klimaks.
Sememangnya penyakit kencing manis menyumbang kepada masalah itu. Ini kerana, klimaks atau kemuncak rangsangan seksual dikawal hormon testosterone yang membantu menghasilkan perjalanan darah yang lancar, rangkaian urat saraf sihat dan minda sihat.
Justeru, apabila menghidap kencing manis, urat saraf dan perjalanan darah terganggu, menyebabkan penghidapnya kerap mengalami perubahan kesihatan seperti kebas kaki dan masalah klimaks, sama ada mudah klimaks atau tiada rangsangan ketika klimaks.
Begitupun, kesan itu bukan berpunca daripada ubat yang dimakan. Jika tidak memakan ubat, akan timbul masalah lain pula, mungkin lebih teruk.
Jangan salahkan ubat kerana yang perlu dilakukan adalah menjaga makan dan akur kepada nasihat doktor.
Paling penting, jangan mengetepikan ubat doktor dengan memilih mencuba ubat herba. Hari ini, ramai berpendapat rawatan kencing manis doktor menjadi punca masalah klimaks, menyebabkan mereka mengambil jalan salah dengan tidak memakan ubat doktor.
Ada juga yang makan ubat ikut jadual sendiri dan bukan mengikut nasihat doktor. Perbuatan seperti itu berbahaya dan ibarat ‘menyabung nyawa’ kerana menyebabkan pesakit kencing manis berisiko mengalami kerosakan buah pinggang sehingga terpaksa menjalani ‘dialisis’ atau mencuci darah.
Jumpa doktor untuk mendapatkan kepastian. Jika kebetulan glucosa anda tinggi, ambil ubat kencing manis yang lebih baik atau buat rawatan suntikan hormon insulin. Kini, kaedah penyuntikan insulin mudah dilakukan.
Jika ujian hormon testosterone didapati kurang, rawatan hormon gantian testosterone, sama ada dalam bentuk suntikan atau ubat, dapat membantu memulihkan keadaan.
Anda juga perlu amalkan gaya hidup sihat. Ikut nasihat doktor mengenai amalan pemakanan dan lakukan senaman berkala. Senaman dapat membantu hormon testosterone kembali normal.
Jangan cuba makan ubat kuat atau ubat rangsangan kerana masalah itu memerlukan pemeriksaan doktor dan bukan sekadar cuba mencuba. Jika termakan ubat tidak sesuai, masalah lain pula akan berlaku.
http://www.klik4sihat.com/penyakit-kencing-manis-ambil-ubat.html#