Diet Kencing Manis

 

Bila bercakap soal kencing manis, perkara utama yang ditekankan berulang-ulang semua pakar perubatan ialah menjaga pemakanan. Bukan setakat pengambilan gula, malah semuanya perlu dikurangkan terutama makanan yang mengandungi karbohidrat dan gula asli termasuklah buah-buahan.

Malah ada pakar pemakanan menyifatkan buah- buahan tempatan adalah ancaman utama kepada pemakanan pesakit kencing manis kerana yang lebih ranum, lebih enak rasanya dan semakin tinggi pula kandungan gulanya.

Pada pesakit kencing manis mengawal paras gula dalam darah supaya berada dalam julat sihat bukanlah mudah. Ia memerlukan disiplin dan kesungguhan. Bukan paras gula saja yang hendak dikawal tetapi perlu juga memberi tumpuan kepada tahap kolesterol dan tekanan darah.

Kebimbangan ini menyebabkan ada sesetengah pesakit menjadi terlalu berhati-hati sehingga timbul masalah kekurangan zat atau mereka terdorong mengamalkan pemakanan yang tidak sihat. Kajian Universiti Toronto yang disiarkan dalam jurnal Penyelidikan Nutrisi mendapati pesakit kencing manis boleh mengalami gangguan ingatan jika mengamalkan pemakanan tidak sihat terutama tinggi kandungan lemak.

Kajian mendapati selepas satu setengah jam memakan makanan banyak lemak, kebolehan pesakit untuk mengingat perkataan merosot berbanding pesakit yang hanya minum air saja. Pada masa sama apabila pesakit diberikan makanan banyak lemak berserta vitamin C (lebih 1,000 miligram) dan vitamin E (800 IU), didapati prestasi ingatan pesakit sama seperti pesakit yang minum air saja.

Ini menunjukkan bahawa kesan kemerosotan ingatan akibat pemakanan kurang sihat dan tidak seimbang boleh diatasi dengan pengambilan makanan antioksidan seperti vitamin C dan E yang banyak terkandung dalam buah- buahan serta sayur-sayuran.

Walaupun pil vitamin boleh memberikan manfaat yang sama tetapi menurut penyelidik kajian berkenaan, Michael Herman Chui, lebih baik jika pesakit dapat mengambil sumber antioksidan segar kerana ia turut mengandungi pelbagai khasiat lain.

Namun apa yang lebih kerap terjadi di kalangan pesakit dan penduduk di negara kita ialah masalah terlebih makan, kata Perunding Endokrinologi, Dr Faridah Ismail. Pengurangan makan (terutama makanan manis) bukan hanya untuk pesakit saja tetapi ia perlu membabitkan seisi keluarga.

Kajian tempatan menunjukkan secara purata rakyat Malaysia mengambil 125 gram gula atau 25 camca teh gula sehari berbanding kadar yang disarankan iaitu hanya 50 gram. Gula ada banyak kalori tetapi tidak mengandungi khasiat. Ia hanya menyumbang kepada masalah kegemukan.

Menurutnya badan kita mendapat tenaga daripada glukos iaitu gula ringkas. Glukos diperolehi melalui penghadaman makanan berkanji (karbohidarat) seperti nasi, pulut, roti, ubi (kentang, keledek dan keladi), mi dan mi hun, pasta, semua gula yang diproses, madu serta buah-buahan.

Malah hati juga menyimpan glukos yang dikeluarkan apabila ada keperluan. Glukos akan menjadi tenaga selepas ia diserap daripada aliran darah. Proses pemindahan glukos daripada darah ke dalam sel ini dilakukan agen pengangkut yang dipanggil insulin.

“Insulin ialah hormon yang dikeluarkan oleh pankreas. Pengeluaran insulin yang paling aktif ialah selepas makan untuk membantu penyerapan glukos ke semua sel dengan berkesan. Kencing manis berlaku dalam dua keadaan iaitu apabila pankreas tidak lagi mampu mengeluarkan insulin secukupnya atau insulin yang dihasilkan tidak dapat berfungsi sepenuhnya. Keadaan kedua dipanggil rintangan insulin. Keadaan ini mengambil masa yang lama untuk berlaku.

“Badan menjadi kurang sensitif terhadap insulin dan ini menyebabkan pankreas bekerja lebih kuat untuk menghasilkan lebih banyak insulin bagi mengatasi masalah ini. Namun lama kelamaan pankreas akan menjadi lemah tetapi masih tidak mampu menghilangkan rintangan insulin dan akibatnya paras glukos dalam darah menjadi tinggi,” katanya.

Masalahnya, kencing manis tiada tanda khusus malah tidak menunjukkan sebarang tanda pada peringkat awal pembentukannya. Jika ada pun hanyalah kehilangan tenaga dan pesakit terasa cepat penat yang sering disalah anggap gejala ini disebabkan terlalu banyak kerja.

Justeru itulah ramai tidak sedar mereka menghidap kencing manis. Kajian menunjukkan sebaik penyakit dikesan seseorang pesakit sudah menghidap kencing manis sekurang-kurangnya selama lapan hingga 10 tahun.

Antara tanda lain kencing manis ialah:

# Kerap buang air kecil termasuk pada waktu malam

# Kerap berasa dahaga dan kebanyakan pesakit menginginkan minuman manis

# Susut berat badan

# Cepat penat dan tidak bermaya

# Kerap alami ruam, gatal dan jangkitan kulit

# Rasa gatal di kemaluan dan jangkitan vagina pada wanita

# Tangan dan kaki terasa kebas

# Luka atau kudis lambat sembuh



Televisyen, kencing manis dan di-ab-e-tes

“Terlalu banyak menonton televisyen juga menjadi faktor risiko tambahan yang meningkatkan peluang menjadi obes dan mendapat kencing manis. Tabiat suka menonton televisyen akan membuatkan seseorang menjadi tidak aktif dan lebih buruk jika ia disertakan dengan makan makanan ringan yang boleh menambah berat badan tanpa disedari.

“Membiarkan berat badan terus bertambah seolah-olah kita mengundang kencing manis datang dalam hidup kita. Malah wanita yang mengalami kencing manis ketika hamil juga perlu lebih berhati-hati dan peka menjaga kesihatan kerana kencing manis ini boleh berulang lagi selepas melahirkan anak terutama apabila memasuki umur 40 tahun,” katanya.

Justeru itu, beliau menyarankan semua orang menjalani pemeriksaan paras gula dalam darah. Antara ujian yang boleh dilakukan ialah toleran glukos oral. Untuk menjalani ujian ini kita dikehendaki berpuasa pada waktu malam (selama lapan hingga 12 jam).

Pada waktu pagi kita akan diberi air minuman glukos dan tahap gula dalam darah diukur dua jam selepas itu. Jika tahap gula anda tinggi, maka anda berisiko untuk mendapat kencing manis dan perlu lakukan sesuatu terutama mengubah gaya hidup dan tabiat pemakanan untuk mencegahnya.

Kencing manis adalah penyakit yang sangat mahal untuk dirawat. Pada 2002, Amerika Syarikat membelanjakan kira-kira RM435 bilion untuk rawatan kencing manis dan jumlah ini dijangka meningkat kepada RM633 bilion menjelang 2020. Rawatan untuk obesiti saja melebihi RM330 bilion setahun.

Dr Faridah berkata, pesakit masih boleh makan apa yang diingini tetapi dalam kuantiti yang kecil dengan melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan. Begitu juga sayur-sayuran berkanji seperti kentang, keledek, ubi kayu dan labu, jika sudah makan nasi, jangan lagi makan makanan yang mengandungi kanji termasuklah yang dijadikan kerepek.

Untuk sajian utama, pilih makanan yang mengandungi mil penuh seperti nasi beras perang, roti, pasta atau mi hun diperbuat daripada tepung mil penuh; bersama ikan atau daging tanpa lemak untuk dua hingga tiga kali seminggu.

“Isi separuh pinggan dengan sayur, satu perempat untuk nasi dan bakinya untuk lauk. Cara begini akan mengurangkan tekanan kepada badan yang secara tidak langsung mengurangkan risiko mendapat kencing manis.

“Untuk pencuci mulut, ambillah buah-buahan segar dan kongsi makan bersama keluarga. Elakkan minum jus buah terutama jika makan di restoran kerana ia mungkin ditambah gula. Selain itu paling utama jangan minum minuman segera berpaket seperti kopi atau teh 3-dalam-1 yang banyak kandungan gulanya.

“Elakkan krimer kerana ia dibuat daripada sirap glukos. Jika mahu teh tarik pun boleh tetapi hadkan kepada seminggu sekali. Semua langkah ini secara perlahan-lahan boleh membantu anda menguruskan penyakit dan mengurangkan berat badan. Pengurangan berat badan sebanyak lima hingga 10 peratus boleh menurunkan risiko kencing manis sebanyak 58 peratus,” katanya.

Eksekutif Chef, Rezuan Sulaiman dalam demonstrasi masakan untuk pesakit kencing manis berkata, keluarga dan pesakit perlu bijak mengubah suai resipi bagi menyediakan sajian sihat contohnya menggunakan bahan-bahan berkhasiat seperti yogurt untuk menggantikan santan dan pes kurma bagi pengganti gula.

Sebagai contoh, selain menumis sayur yang menggunakan minyak, dia menyarankan supaya sayur berkenaan dicelur dulu dan sos atau kuahnya dimasak berasingan tanpa menggunakan minyak. Paling penting ialah makan makanan yang dimasak di rumah kerana anda boleh mengawal penggunaan bahan-bahan mengikut keperluan.

Untuk permulaan anda boleh mencuba resipi sihat yang sudah diuji dan diluluskan pakar pemakanan seperti Sup Tauhu Lembut, Rendang Ayam dan Sayur Campur Bersos.



Senaman dan ubat

Perunding Perubatan Rehabiliasi, Dr Tunku Nor Taayah Tunku Zubir, berkata selain penjagaan makanan senaman adalah ubat paling mujarab untuk mengawal penyakit jika dijadikan rutin harian. Bagi pesakit kencing manis senaman boleh meningkatkan sensitiviti badan terhadap insulin.

Peningkatan ini akan membuatkan lebih banyak gula diangkut masuk ke sel dan mengurangkan paras gula dalam darah. Senaman yang dilakukan secara teratur dan berterusan akan memudahkan pengurusan penyakit dan mengembalikan paras gula ke julat normal.

“Semua orang tahu senaman boleh mengurangkan risiko banyak penyakit seperti sakit jantung, strok, masalah kolesterol, memperbaiki emosi dan kesihatan secara keseluruhan. Semua orang boleh bersenam tetapi untuk pesakit kencing manis, perlu ketahui tahap gula dalam darah terlebih dulu untuk mengelakkan masalah lain seperti pitam jika paras gula terlalu rendah.

“Bagi yang tidak pernah bersenam, mulakan dengan sesi pendek selama 10 minit yang diulang tiga kali dalam satu hari. Apabila sudah biasa, tambahkan masa dan aktiviti untuk meningkatkan stamina. Jika diamalkan berterusan pesakit boleh melihat kesannya.

“Bagaimana hendak mengetahui sama ada senaman anda cukup atau tidak? Caranya ialah melalui ujian bercakap; jika anda boleh bercakap macam biasa bermakna senaman tidak mencukupi sebaliknya sekiranya anda tidak boleh bercakap langsung tandanya anda terlebih bersenam. Senaman mencukupi bila anda terasa penat tetapi masih boleh bercakap,” katanya.

Pesakit kencing manis lebih berisiko mendapat penyakit jantung (50 peratus lebih tinggi berbanding bukan pesakit). Justeru itu ada banyak jenis ubat dicipta khusus untuk mengurangkan masalah kesihatan ini termasuklah fenofibrate yang dikatakan berkesan dalam pengurusan tahap lipid (lemak).

Kajian Selaan Fenofibrate dan Mengurangkan Kejadian Dalam Kencing Manis (FIELD ) membuktikan terapi yang merendahkan lipid untuk jangka panjang boleh mengurangkan akibat makrovaskular (salur darah besar) dan mikrovaskular (salur darah halus) pada pesakit.

Walaupun kencing manis boleh menjadi ‘pencetus’ kepada pelbagai masalah kesihatan lain tetapi melalui penjagaan teliti pesakit mampu menjalani kehidupan yang baik. Perkataan diabetes itu sendiri boleh menjadi peringatan kepada kita iaitu:

# Di - diet (pemakanan)

# Ab - Saiz abdomen (perlu kekalkan saiz pinggang kurang daripada 90 sentimeter untuk lelaki dan 80 sentimeter bagi perempuan)

# E - senaman ; sekurang-kurangnya 30 minit sehari, tiga kali seminggu

# Tes - Buat ujian paras gula dalam darah secara berkala

Cegah Diabetes untuk Jantung Sihat


Oleh: DATUK PROF. MUSTAFFA EMBONG

ANDA telah membaca tentang penyakit jantung yang merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia. Anda juga telah membaca tentang diabetes yang dikatakan ‘ibu kepada semua penyakit’.

Tetapi, tahukah anda bahawa penyakit jantung dan diabetes sebenarnya mempunyai banyak persamaan?

Jika anda kurang pasti, rencana ini yang merupakan rencana pertama daripada enam bahagian bersiri tentang penjagaan jantung dan diabetes, akan menambahkan lagi pengetahuan anda tentang penyakit jantung dan diabetes.

Bagaimana kedua-duanya saling berkait dan langkah-langkah mudah yang boleh diambil untuk mencegah kedua-duanya daripada menjadi sebahagian daripada hidup anda.

Apakah penyakit jantung kardiovaskular?

Penyakit-penyakit jantung (kardio) merupakan satu daripada komponen-komponen utama penyakit kardiovaskular (CVD); di mana yang lagi satu merupakan penyakit-penyakit saluran darah (vaskular).

Penyakit saluran darah yang paling lazim adalah aterosklerosis, yang menyebabkan pengerasan saluran-saluran darah. Ia merupakan proses di mana kolesterol dan bahan-bahan lain akan terkumpul di dinding dalam arteri dan membentuk plak (enapan lemak).

Plak-plak ini akan menyempitkan saluran darah arteri, mengehadkan bekalan darah dan mungkin juga menjadi pecah. Ini akan menyebabkan pembentukan darah-darah beku yang dinamakan emboli.

Jika emboli ini bergerak ke bahagian lain badan anda danf menyekat sebahagian atau sepenuhnya pengaliran darah ke sesuatu organ, contohnya jantung anda, maka ini boleh menyebabkan anda terkena serangan jantung.

Jika emboli menyekat arteri dalam otak yang mungkin telah pun menjadi sempit akibat aterosklerosis, maka ini mungkin akan menyebabkan anda terkena strok.

Kehadiran plak, walaupun ia tidak pecah, kadangkala sudah memadai untuk menyempitkan saluran-saluran darah jantung anda dan mengakibatkan simptom-simptom penyakit arteri koronari (CAD) seperti angina (sakit dada).

Jika tidak dirawat, ini mungkin akan menyebabkan anda mendapat serangan jantung atau kegagalan jantung kardiak kongestif.

Adakah anda berisiko?

Mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap penyakit jantung dan faktor usia meningkat adalah risiko-risiko yang tidak boleh diubah.

Merokok, gaya hidup sedentari, tabiat makan yang tidak sihat, mudah mendapat tekanan serta rasa marah dan berat badan berlebihan pula adalah faktor-faktor risiko yang boleh diubah. Begitu juga dengan tekanan darah tinggi (hipertensi) dan kolesterol darah tinggi (hiperkolesterolaemia).

Amnya, kaum lelaki lebih berisiko untuk mendapat CAD berbanding wanita, namun begitu risiko bagi kaum wanita juga akan meningkat selepas menopaus.

Walau bagaimanapun, berbanding kesemua faktorfaktor ini, diabetes masih lagi merupakan satu faktor risiko yang utama. Hayatilah statistik-statistik berikut:

* Orang dewasa yang menghidap diabetes adalah dua hingga empat kali lebih cenderung terkena penyakit jantung atau strok berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes.

* Dua daripada tiga penghidap diabetes meninggal dunia akibat penyakit jantung atau strok.

* Penghidap diabetes lebih berkemungkinan akan meninggal dunia akibat serangan jantung berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes.

* Risiko kematian akibat serangan jantung di kalangan penghidap diabetes yang tidak diketahui ada menghidap penyakit jantung adalah sama dengan mereka yang tidak menghidap diabetes tetapi pernah mengalami serangan jantung.

* Bagi mereka yang menghidap diabetes, serangan jantung biasanya berlaku lebih awal dan berkemungkinan besar akan mengakibatkan kematian.

Kaitan antara penyakit jantung dan diabetes

Punca utama kematian awal di kalangan penghidap diabetes yang tidak dikawal dengan baik adalah disebabkan penyakit kardiovaskular. Sebenarnya, penyakit jantung merupakan komplikasi diabetes yang paling lazim dan serius.

Ini kerana diabetes yang tidak diuruskan dengan baik akan mengganggu paras glukosa darah anda dan menyebabkan metabolisme lain badan menjadi tidak menentu, yang juga akan menghasilkan paras lemak darah (seperti kolesterol) yang tidak normal.

Diabetes juga lebih cenderung meningkatkan tekanan darah anda.

Kombinasi paras glukosa darah yang tinggi, paras lemak darah yang tidak normal dan tekanan darah yang tinggi akan merosakkan saluran-saluran darah (arteri-arteri) badan anda dan memudahkan pembentukan plak di dinding dalam arteri.

Ini mempercepatkan pembentukan aterosklerosis, yang akhirnya boleh menyebabkan serangan jantung atau kegagalan jantung.

Jangan menjadi statistik

Statistik-statistik penyakit jantung dan diabetes mungkin menakutkan, tetapi anda boleh mencegah kedua-duanya dengan membuat beberapa perubahan positif dalam gaya hidup anda sekarang.

Sebenarnya, kajian di China, Eropah dan Amerika Syarikat telah menunjukkan bahawa risiko diabetes boleh dikurangkan menerusi diet yang sihat, melakukan senaman secara kerap dan mengurangkan berat badan.

Walaupun terdapat faktor-faktor risiko penyakit jantung yang tidak boleh anda ubah namun terdapat banyak lagi langkah pencegahan yang berkesan yang boleh anda ambil seperti:

Ambil diet yang seimbang

Pilih diet untuk jantung sihat yang terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh serta yang mengandungi rendah kandungan lemak tepu, kolesterol dan sodium (garam).

Anda perlu mengurangkan pengambilan kalori harian jika mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes. Kebanyakan kalori datang dari makanan berlemak dan yang digoreng.

Menjadi lebih aktif

Anda perlu melakukan senaman atau aktiviti fizikal lain selama sekurang-kurangnya 30 minit setiap kali dan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu (sebaik-baiknya aktiviti ini dilakukan pada setiap hari!).

Anda perlu bersenam dengan lebih kerap dan untuk jangka masa yang lebih lama jika mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes, untuk menurunkan berat badan anda.

Kekalkan berat badan dan ukur lilitan pinggang yang sihat

Mempunyai berat badan yang berlebihan terutama sekali pada bahagian abdomen akan meningkatkan risiko anda menghidap diabetes jenis 2 dan penyakit jantung.

Sebagai panduan, anda perlu mengekalkan Indeks Jisim Tubuh (IJT) sekitar 18-23 kg/m2. Ukur lilitan pinggang orang Asia pula sepatutnya berukuran kurang daripada 90sm bagi lelaki atau kurang daripada 80sm bagi wanita.

Periksa profil lipid darah anda
Paras kolesterol darah yang tinggi (kolesterol-LDL atau kolesterol jahat) akan meningkatkan risiko anda menghidap penyakit jantung. Keadaan akan menjadi bertambah buruk jika anda turut mempunyai paras kolesterol-HDL atau kolesterol baik yang rendah.

Sebaik-baiknya, anda perlu mengekalkan paras kolesterol-LDL kurang daripada 3.0 mmol/L dan kolesterol baik (HDL-C) lebih tinggi daripada 1.02 mmol/L bagi lelaki atau lebih tinggi dari 1.3 mmol/L bagi wanita.

Sentiasa periksa tekanan darah anda
Tekanan darah tinggi boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kardiovaskular. Periksalah tekanan darah anda sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun serta berusaha untuk mengekalkannya pada tahap yang rendah (130/80 mmHg atau kurang) tanpa mengira usia anda.

Menjalani pemeriksaan kesihatan berkala

Pemeriksaan kesihatan yang berkala akan dapat mengesan dan merawat penyakit diabetes dan jantung pada peringkat yang awal. Minta doktor untuk memeriksa paras glukosa darah anda.

Jika anda berisiko tinggi menghidap diabetes atau mempunyai paras glukosa darah yang tinggi daripada normal, doktor anda mungkin akan mengatur untuk anda menjalani ujian Toleransi Glukosa Oral (OGTT).

Sebagai rutin, doktor anda juga akan memeriksa berat badan dan ukur lilit pinggang, tekanan darah dan paras kolesterol jahat dan baik darah anda.

Berhentilah merokok

Jika anda merokok, tolong hentikannya sekarang. Menghisap rokok boleh menyebabkan saluran-saluran darah menjadi sempit dan seterusnya akan mengurangkan bekalan darah ke organ-organ penting seperti jantung anda. Merokok juga akan memburukkan aterosklerosis.

Kurangkan tekanan atau stres

Kajian terkini menunjukkan bahawa stres berkaitan pekerjaan merupakan faktor penting ke arah pembentukan diabetes jenis 2 dan komponen-komponen lain sindrom metabolik yang boleh mengakibatkan anda menghidap penyakit jantung.

Bersenam secara kerap, mengikuti suatu hobi, mengamalkan yoga serta meditasi atau kerap sembahyang adalah contoh-contoh aktiviti mengurangkan tekanan yang mungkin ingin anda ikuti untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit diabetes jenis 2 dan penyakit jantung.

Serat Larut Oat (beta glucan) & Tahap Kolesterol Yang Lebih Rendah: Bagaimanakah mereka berkait?

Tahukah anda bahawa serat larut oat beta glucan telah terbukti dapat membantu menurunkan tahap kolesterol dalam darah atau lebih tepat lagi, mengurangkan paras kolesterol-LDL (kolesterol jahat)?

Beta glucan membantu memerangkap asid-asid hempedu yang mengandungi kolesterol dan kolesterol dari makanan, dalam saluran pencernaan. Bahan-bahan ini kemudiannya akan dikeluarkan dari sistem badan sebagai bahan buangan.

Ini bermakna badan anda hanya akan menyerap kolesterol yang sedikit. Paras kolesterol yang lebih rendah akan mengurangkan risiko penyakit jantung.

Prof. Mustaffa Embong merupakan Pakar Perunding Diabetes, Institut Diabetes Negara (NADI).

- Artikel ini adalah sumbangan dari Program Menangani Wabak Diabetes – Penjagaan Jantung anjuran NADI dengan usaha sama Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia.

http://www.serikasih.com/cegah-diabetes-untuk-jantung-sihat
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...