Darah Tinggi & Diabetes: Bagaimana Jadi Doktor Sendiri Berubat Tanpa Kos?

Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:



 

“DARAH tinggi, diabetes dan sakit jantung adalah penyakit 3 beradik atau 3 serangkai. Sama-sama kronik dan berkait rapat antara satu sama lain. Mula-mula 1 penyakit, akan tambah berkembar jadi 2 dan seterusnya.” Kata seorang lelaki peniaga kecil, berumur kira-kira 50 tahun. “PRU 12 ni aku bimbang BN menang lagi, kerana ikut laporannya, kerajaan BN sedang merancang untuk swastakan semua hospital kerajaan Ogos ini. Hai... teruklah kita, dah le keadaan ekonomi mulai merudum!”

“Nabi kata, tiap-tiap penyakit ada ubatnya.” Jawab seorang ustaz, yang kira-kira 5 tahun lebih tua dari lelaki tadi. “10 tahun dulu saya terkejut, rupanya saya sudah 5 tahun mengidap kencing manis (diabetes) , tapi saya tak tahu, walaupun masih belum kronik sangat. Saya berubat di kelinik biasa (allopathy), doktor kata, penyakit ni tak boleh baik cuma boleh bertahan saja. Saya fikir-fikir… tak betul pendekatan doktor itu dan bercanggah dengan kata Nabi tadi… ubat memang boleh bagi baik, buat apa bagi pesakit takut?”

“Ustaz tak berubat ke dengan perubatan allopathy itu?”

“5 tahun saya berubat… memang diabetes itu boleh bertahan. Tapi pada suatu pagi saya bangun dari tidur, tangan saya tak boleh angkat sebelah. Hal ini menyebabkan saya beralih berubat dengan perubatan homeopaty pula. Menurut doktor homeopathy itu, mungkin hal tersebut kesan dari guna ubat allopathy. Saya pun belajar perubatan homeopathy. Baru saya tahu, rupanya pernah berlaku pertembungan hebat di awal kebangkitan ilmu perubatan antara perubatan allopaty dengan homeopathy. Banyak pro dan kontranya.

Antara yang saya ingat kata-kata doktor homeopathy seperti group Dr Semuel Henamhann dulu, ‘…perubatan alleopathy hanya mampu menimbus satu lubang penyakit, dengan terpaksa mengorek lobang penyakit lain yang lebih besar lagi’. Dan ‘ubatan alleopathy lebih banyak membunuh pesakit dari mengubatinya’.

Perubatan homeopathy di bawa masuk ke Malaya dulu oleh Yang Di Pertua Agung PAS ke 3, Prof Dr Burhanuddun Al-Helmy. Ada orang kata, kalau yang bawa masuk homeopathy itu bukan pemimpin PAS (PAS waktu itu menjadi musuh parti Perikatan yang memerintah) ada harapan perubatan homeopathy diiktiraf oleh kerajaan (waktu itu), dan berkembang setanding dengan alleopathy, seperti yang berlaku di beberapa negara Eropah hari ini, termasuk England sendiri.”

“Sekarang ustaz makan ubat apa?” Yang lain menambah.

“Beberapa tahun saya guna ubat homeopathy, tetapi kerana saya terpaksa jimatkan kos saya pilih perubatan herba, yang saya tanam keliling rumah. Kini saya jadi doktor sendiri berubat tanpa kos.” Jelas ustaz itu.

“Okey tu. Kami pun nak jadi doktor sendiri juga, boleh ke ustaz tolong ajarkan untuk penyakit darah tinggi dan diabetes?” Mereka pun nak jadi doktor sendiri juga.

“Mudah saja…” Kata ustaz. “Kamu kenal tak ‘pokok seruntun’?”

Ada yang mengangguk, ada yang geleng kepala.

“Akar seruntun, disebut juga patawali (atau putawali), brotowali, atau batang wali. Nama saintifik atau botaninya disebut ‘tinospora krispa (miers) atau tinosprora tuberculata. Dari jenis (famili) menispermaceae. Selalu dijumpai di pagar-pagar lama atau rumah tinggal. Saya tanam sendiri di tepi rumah. Sejengkal batang patawali saya gantung tepi pagar kira-kira 1 kaki atas tanah. Beberapa hari kemudian, tumbuh akar dan pucuk terus hidup. Amat mudah. Sekarang sudah penuh pagar dan menjalar hingga ke bumbung rumah. Berjurai-jurai, nampak cantik pula, boleh buat tanaman hiasan.”

“Ya. Ya. Saya juga terbaca dalam keterangan dari MARDI..” Tambah kawan yang mengangguk tadi. “Pokok jenis memanjat, berkayu lembut. Batangnya berbintil-bintil (berkerutu), kulit nipis dan mudah terkupas (dipisahkan). Garis pusat batang ialah antara 1.0-1.5 cm, mengeluarkan getah putih dan berlendir. Rasanya pahit. Ya. Aku ingat, isteri jiran aku nak pisahkan bayinya jangan hisap susu ibu lagi, dia sapu sikit di kepala payudaranya, bayinya dah tak mahu hisap lagi terus berhenti. Bayi pun tahu pahitnya!”

Masing-masing tertawa dengar cerita itu.

Dia menyambung lagi, “Daunnya bersifat ringkas, nipis, lembut, berbentuk hati dan tersusun secara berselang. Ukurannya ialah lebih kurang 9-10 cm panjang dan 7-8 cm lebar. Permukaan di bahagian atas dan bawah daun adalah licin. Bahagian hujung daun berkeadaan runcing. Peruratan palmat dengan 7 urat utama, nampak jelas pada permukaan bawah daun. Tangkai daun berukuran 4-5 cm panjang. Itu, antara keterangan yang aku dapat dari MARDI.”

Ustaz itu menyambung lagi, “Batangnya mempunyai kandungan air yang tinggi. Tumbuhan ini dijadikan bahan, dicampur dalam minyak urut oleh tukang urut tradisional. Bunganya berwarna hijau muda, mempunyai 6 mahkota berupa tunas. Bunganya kemudian akan berubah warna menjadi merah dan putih bila matang. Buahnya pula berwarna merah muda, kulit batangnya mengandungi alkaloid dan dammar… Manakala akarnya mengandungi berberin dan kolumbin.”

“Apa khasiatnya dan macam mana nak guna?”

“Batangnya adalah bahagian utama mengandungi khasiat. Digunakan untuk merawat tekanan darah tinngi, kencing manis, penyakit kelamin (gonorea atau sifilis), sakit perut, demam, demam malaria (kerana mengandungi jatrorhizine), turunkan suhu panas (kerana terdapat pikroretin), sakit pinggang, sengal-sengal dan masalah cacing bagi kanak-kanak. Malah diFilipina dibuat tonik yang digunakan untuk mengubat orang sakit jiwa atau tekanan mental.

Caraguna, dengan merebus batangnya, ditapis dan diminum segelas sehari. Air rebusan juga boleh digunakan untuk membersihkan darah, membunuh kuman, merawat kudis buta dan menyembuhkan luka (boleh juga dicampur dengan sedikit belerang). Untuk penyakit kelamin juga digunakan daunnya.”

“Ya aku ingat lagi…” Yang tadi mencelah lagi. “Ada orang kampungku yang kerjanya mencari rotan di rimba. Dia membawa bekal pokok seruntun ini selilit pinggang, dalam perjalanannya. Dimakannya begitu saja sehari seinci.”

“Makan begitu saja, tak pahit ke?”

“Pahit le. Sehingga nyamuk pun tak mahu gigit! Itulah khasiatnya, sehingga boleh bermalam berminggu-minggu di hutan tanpa kelambu atau ubat nyamuk!”

“Itulah jalan selesainya, bila kita takde duit nak berubat. Satu lagi jalan selesai ialah…”

“Jangan undi BN!!” Jawab mereka ramai-ramai.

Sekian. Wallahu ‘aklam.


Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
29-01-08. KL.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...