Kurang Tidur Mudah Peroleh Kencing Manis

 

William Shakespeare mengatakan tidur itu umpama penyubur utama bagi kehidupan – manakala dari segi perubatan, tidur boleh merehatkan tubuh dan minda sekali gus mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik.

Para penyelidik Universiti Pusat Perubatan di Chicago, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mendapati bahawa gangguan tidur akan menyebabkan keupayaan badan untuk mengawal tahap gula di dalam darah tergendala dan berkemungkinan meningkatkan risiko berkembangnya penyakit kencing manis tahap kedua.

Lebih daripada 18 juta rakyat ASmengalami penyakit kencing manis yang kebanyakannya adalah tahap kedua, di mana badan hanya bergantung kepada insulin dan tidak mampu mengeluarkannya dengan cukup bagi mengawal gula di dalam aliran darah.

Dalam satu ujian yang telah dibuat oleh penyelidik-penyelidik yang diketuai oleh Penolong Profesor Perubatan universiti tersebut, Dr. Esra Tasali mendapati, gangguan masa tidur nyenyak ke atas responden yang diuji, telah mengurangkan keupayaan mereka untuk mengawal tahap gula di dalam darah dengan pantas.

Penemuan itu telah dilaporkan dalam edisi Monday’s Online, Prosiding Akademi Sains Kebangsaan AS. Para penyelidik juga membuat kajian mengenai corak tidur sembilan responden, lima lelaki dan empat wanita, yang mempunyai berat badan normal, kesihatan yang baik dan berumur lingkungan 20 hingga 31 tahun.

Tidur yang normal terbahagi kepada beberapa peringkat yang dipanggil tidur gelombang perlahan yang dianggap sebagai paling nyenyak.

Dalam ujian itu, penyelidik-penyelidik membuat bunyi bising ketika responden dalam keadaan tidur gelombang perlahan. Bunyi bising itu cukup untuk mengganggu tidur walaupun tidak sepenuhnya menyedarkan mereka.

Menurut laporan daripada penyelidik tersebut, selepas tiga hari, keupayaan mereka untuk mengawal gula di dalam darah telah berkurangan sebanyak 25 peratus.

Sementara itu, kajian-kajian terdahulu telah menunjukkan bahawa kurang tidur boleh mengurangkan keupayaan untuk mengawal gula, dan laporan ini mengukuhkan lagi sesiapa yang tidak mempunyai kualiti tidur yang baik juga berisiko memperoleh kencing manis.

“Pengurangan di dalam tidur gelombang perlahan ini samalah seperti pertukaran dalam corak tidur yang disebabkan oleh penuaan selama 40 tahun,” kata Dr. Tasali.

Orang dewasa akan berada selama 80 hingga 100 minit setiap malam dalam tidur gelombang perlahan, manakala individu yang berumur lebih 60 tahun hanya berada kurang daripada 20 minit.

Justeru itu, menurut seorang lagi profesor perubatan dari universiti yang sama, Dr. Eve Van Cauter, dalam usaha melambatkan risiko kencing manis jenis kedua, langkah-langkah perlu diambil segera oleh orang ramai dalam meningkatkan kualiti dan kuantiti tidur terutama ketika usia mereka masih masih muda.

https://intim.wordpress.com/2008/02/02/kurang-tidur-mudah-peroleh-kencing-manis/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...