SUATU yang agak menyedihkan, apabila masih ramai di
luar sana begitu yakin terselamat daripada menghidap diabetes atau
kencing manis, penyakit yang sering kali dikaitkan puncanya dengan
pengambilan gula berlebihan.
Keyakinan itu juga menyebabkan mereka mula mengambil sikap sambil lewa
mengenainya serta komplikasi daripada penyakit itu yang berpotensi
menjejaskan kehidupan seseorang individu.
Mereka juga terus mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti
pengambilan diet tidak seimbang walaupun menyedari semua itu akan
menambah risiko menghidap penyakit kronik yang begitu membimbangkan ini.
Semuanya, kerana merasakan tubuh badan mereka 'sihat' dan tidak
mengalami sebarang kesakitan yang boleh dikaitkan puncanya dengan
diabetes.
Akan tetapi, adakah benar rasa sihat dan yakin itu bererti anda
betul-betul 'bebas' daripada penyakit yang juga dikenali sebagai
pembunuh senyap ini?.
SAYA SIHAT!
"Silap, kerana tanpa disedari anda mungkin penghidap diabetes," kata
Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Perubatan, Perunding Kanan
Endokrinologi, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Mafauzy
Mohamed.
Dianggarkan kira-kira 50 peratus daripada mereka yang ada penyakit ini tidak mengetahui sedang menghidap kencing manis.
Ini susulan pesakit tidak mengalami sebarang tanda peringkat awal
sehingga membuatkan mereka terus selesa dan tidak melakukan pemeriksaan
kesihatan secara berkala.
Mereka rasa sihat seperti orang biasa sehinggalah mula mengalami
simptom-simptom seperti letih lesu, kerap kencing, berkali-kali rasa
dahaga dan susut berat badan.
Keadaan ini, agak membahayakan kerana penyakit diabetes ibarat pembunuh
yang bersembunyi dan akan muncul apabila ia sudah tidak terkawal.
"Biasanya, seseorang pesakit telah ada diabetes lebih kurang lima tahun
sebelum mereka dapat tanda-tanda penyakit itu. Mereka harus sedar
bahawa walaupun tidak ada tanda, tetapi kalau paras glukos darah tinggi,
mereka berisiko mendapat komplikasi diabetes pada kemudian hari.
"Adalah lebih baik mengawalnya dari awal supaya tidak mendapat
komplikasi yang akan menyusahkan mereka dan berisiko maut," katanya.
Antara sebab kelenjar pankreas tidak mengeluarkan insulin yang cukup
bagi mengawal paras gula dalam darah adalah disebabkan faktor genetik
(keturunan), lanjut usia, kegemukan dan kemusnahan sel pembuat insulin.
TREND MEMBIMBANGKAN
Terdapat dua jenis diabetes iaitu jenis 1, merujuk kepada ketiadaan
hormon insulin langsung dalam badan manakala jenis 2, badan tidak
mengeluarkan hormon insulin secukupnya untuk mengawal paras gula dalam
darah.
Kebiasaannya, diabetes jenis 1 yang juga sebelum ini dikenali sebagai
'diabetes juvenil' tidak dapat dielakkan berikutan ia faktor genetik.
Mereka mewarisinya daripada ibu bapa dan selalunya akan didiagnos
menghidap diabetes jenis ini sejak kecil mahupun ketika meniti dunia
remaja.
Bagaimanapun, komuniti ini tidak menggusarkan kerana peratusan mereka
kecil tidak melebihi 10 peratus. Paling membimbangkan negara ketika ini
adalah trend peningkatan diabetes jenis 2, yang mana faktor
penyumbangnya boleh dikawal tetapi tidak diambil perhatian jitu oleh
masyarakat.
"Selain faktor genetik, penyumbang utama diabetes jenis ini adalah
disebabkan gaya hidup moden yang sering kali dikaitkan persekitaran
kehidupan tidak sihat dan tidak aktif.
"Diabetes jenis 2 adalah paling lazim dan menyumbang kepada 90 peratus
kes penyakit ini di seluruh dunia," katanya kepada Bernama.
SELURUH DUNIA
Kebimbangan terhadap penyakit kronik ini tidak hanya kepada negara
malahan meliputi seluruh dunia apabila turut sama terasa terancam dengan
peratusannya yang meningkat setiap tahun.
Kajian oleh International Diabetes Federation 2013 (IDF) mendapati
sebanyak 382 juta manusia hidup dengan penyakit ini di seluruh dunia dan
dijangka jumlahnya akan melonjak kepada 592 juta orang pada tahun 2035.
Di Malaysia jumlah penghidap diabetes juga agak membimbangkan. Menteri
Kesihatan Datuk Seri S.Subramaniam dipetik sebagai berkata pada tahun
2013, jumlah penghidap diabetes mengalami peningkatan kepada 2.6 juta
penghidap atau 15 peratus daripada jumlah penduduk negara ini berbanding
pada tahun 2000 kira-kira 0.94 juta penghidap.
Melihat senario ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mengambil langkah memansuhkan subsidi gula bagi menggalakkan kehidupan
sihat selain bertujuan memerangi penyakit kronik ini.
Biarpun pada awalnya tindakan ini dianggap tidak rasional dan
membangkitkan rasa ketidakpuasan hati masyarakat, namun ia dilihat wajar
berikutan semakin ramai cenderung kepada pengambilan gula tanpa
kawalan.
KOMPLIKASI MENAKUTKAN
Peningkatan statistik ini juga disebabkan semakin ramai mempunyai berat
badan berlebihan dan obesiti yang dikenalpasti antara punca diabetes.
Di Malaysia, 82 peratus pesakit diabetes jenis 2 dikategori sama ada mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
"Ramai yang sedar sebab-sebab penyakit ini, tetapi mereka tidak
mengambil tindakan mengurangkan pengambilan makanan atau meningkatkan
aktiviti fizikal bagi mencegah atau mengawal diabetes," kata Dr Mafauzy.
Walhal pengurusan berat badan yang berkesan amat penting terutama bagi
pesakit diabetes jenis 2 kerana jika terlebih atau obes, pengawalan
paras glukosa darah akan menjadi lebih sukar.
Lantaran itu, sikap dan mentaliti yang tidak kisah dengan penyakit ini
dan komplikasinya harus diubah kerana boleh membahayakan nyawa apabila
ia tidak terkawal.
Diabetes tidak terkawal berpotensi menyerang organ lain secara senyap
sehingga mendatangkan komplikasi yang akhirnya membuatkan mereka
berhadapan trauma sepanjang hayat ataupun mengakibatkan maut.
"Komplikasi diabetes bergantung kepada berapa lama paras glukos darah
tinggi dan berapa tinggi paras glukos darah. Makin lama pesakit berada
dalam situasi paras glukos darah tinggi, maka makin tinggi risiko dia
mendapat komplikasi.
"Diabetes tidak terkawal akan menyebabkan kerosakan saluran darah,
mata, buah pinggang, saraf dan kaki. Ini juga akan menyebabkan sakit
jantung, strok, kurang penglihatan atau buta, kehilangan deria rasa dan
kaki terpaksa dipotong," jelas Dr Mafauzy.
TANYA DIRI ANDA
Hakikat ini, mengasak akan keperluan mengamalkan budaya pemakanan
seimbang, mengawal pengambilan gula serta mengaplikasikan persekitaran
hidup yang sihat.
Apatah lagi, penyakit ini tidak ada penawarnya tetapi boleh dicegah
atau bertahan dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Ketika ini, rawatan diabetes selain daripada amalan pemakanan betul dan
meningkatkan aktiviti fizikal adalah ubat-ubatan dan suntikan, kata Dr
Mafauzy.
"Diabetes jenis 1 memerlukan suntikan insulin kerana mereka tiada
insulin langsung yang dikeluarkan oleh pankreas. Jenis 2 pula boleh
dirawat dengan ubat-ubatan yang boleh membantu insulin yang ada dalam
badan mengawal paras glukos darah," katanya. - Bernama
http://www.sinarharian.com.my/rencana/sihat-belum-tentu-bebas-diabetes-1.284289