KUANTAN 1 Februari 2014  – Seorang warga emas dari Rancangan Rumah Murah Permatang Badak, di sini tidak menyangka petanda kaki bengkak serta lembik sebelum ini menyebabkan dia kehilangan lima jari kaki kanannya.

Abdul Rafar Awang Kecik, 73, berkata, kesemua jari kaki kanannya terpaksa dipotong akibat komplikasi diabetes yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, dia kini lebih berhati-hati dalam soal pemakanan dan penjagaan kesihatan kerana bimbang penyakit melarat.

“Dalam tempoh sepuluh hari, kaki saya membengkak dan lembik, lama-kelamaan saya mula rasa sakit yang berdenyut-denyut.

“Pada mulanya, doktor terpaksa potong satu jari kaki sahaja, bagaimanapun ia melarat ke jari lain menyebabkan kesemua jari kaki kanan saya terpaksa dipotong,” katanya yang menjalani pembedahan pada Ogos 2013.

Menurutnya, dia perlu berulang alik ke hospital dua hari sekali untuk mencuci luka selain menempah satu kasut khas bagi memudahkan pergerakan.

“Saya harap tiada lagi kesan sampingan penyakit ini pada masa akan datang kerana mahu meneruskan sisa hidup dengan lebih bermakna,” katanya.

Nasib Abdul Rafar mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail sempena Program Ziarah Komuniti anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Hadir sama, Adun Panching, Datuk Mohd Zaili Besar dan Adun Lepar, Datuk Mohd Shohaimi Jusoh.

Abdul Manan berkata, melalui program ziarah ini, pemimpin setempat akan turun padang melihat keadaan masyarakat dan menghulurkan bantuan yang diperlukan mereka.

Menurutnya, program ini dilaksanakan setiap minggu bagi meninjau keadaan sekeliling untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.



  http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/pahang/hilang-5-jari-kaki-akibat-diabetes-1.246584