KUALA PILAH 28 Oktober 2014 – Seorang lelaki cacat penglihatan selepas mengidap penyakit diabetes tahap kronik sejak dua tahun lalu.

Lai Yen Ting, 34, tinggal bersama bapanya dikenali Lai, 60-an, di sebuah rumah berhampiran Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hua.
Yen Ting berkata, pada awalnya, penyakit diabetes tidak dapat dikesan sehinggalah matanya kabur dan badan menjadi lemah.

“Saya memang jarang melakukan pemeriksaan di klinik kerana beranggapan diri saya sihat kerana tiada tanda-tanda mengidap diabetes.

“Namun lama-kelamaan, saya pergi ke klinik dan dari situlah saya tahu saya ada penyakit diabetes tahap kronik,” katanya.

Menurutnya, kini dia bergantung harap kepada bapanya yang bekerja sebagai seorang tukang emas.

“Ayah saya yang bekerja bagi menyara keluarga dan sudah pasti rasa terbeban. Ada juga rasa simpati terhadap ayah, kerana dia sudah tua tetapi saya tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya yang belum mendirikan rumah tangga.

Sementara itu, Kelab Lions Kuala Pilah diketuai oleh Chin Sin Yin bersama ahli jawatankuasanya melawat Yen Ting sekeluarga dan menghulurkan sumbangan sebanyak RM500.

Sin Yin berkata, pihaknya tahu keluarga berkenaan bersusah payah menjaga Yen Ting dan kerap ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Kami tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini dan menyuntik rasa semangat kepada Yen Ting agar terus tabah,” katanya.

Dalam pada itu, Sin Yin turut menggalakkan orang ramai supaya melakukan saringan kesihatan khususnya ujian air kencing dan pemeriksaan darah bagi mencegah penyakit kronik seperti diabetes, sakit buah pinggang dan pelbagai lagi.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/melaka-ns/buta-selepas-hidap-diabetes-1.328253