Pengawalan Diabetes Lindungi Buah Pinggang Anda


DIABETES membahayakan buah pinggang anda. Maka, pengawalan penyakit diabetes yang baik dapat mencegah atau melambatkan proses penyakit buah pinggang.

Andy, seorang pesakit diabetes, berpendidikan tinggi dan mempunyai kerjaya yang mencabar. Dia menganggap penyakit diabetesnya di bawah kawalan.

Oleh kerana terlampau sibuk, dia telah membuat rawatan sendiri. Dia tidak meneruskan rawatan susulannya tetapi membeli ubat dari farmasi atau kedai ubat.

Keadaan ini diteruskan untuk tempoh yang lama sehingga dia mengalami kelesuan dan berasa mual pada waktu pagi. Keputusan pemeriksaan kesihatannya mengesahkan dia mengalami kegagalan buah pinggang.

Diabetesnya juga bertambah teruk. Dia menyesal kerana tidak mendengar nasihat doktor untuk pemeriksaan kesihatan yang patut dilakukan secara kerap.

Anna berusia 40 tahun dan memiliki segalanya; suami yang baik, gaji lumayan dan rumah sendiri. Pada 15 tahun yang lalu, dia menghidap diabetes semasa mengandung dan telahpun dirawat. Dia menyangka akan kembali pulih selepas itu.

Tanpa diketahui, dia telah menghidapi pra-diabetes. Apabila abang sulungnya disahkan menghidapi diabetes, dia menjalankan pemeriksaan kesihatan dan mendapati keputusan pemeriksaan darah menunjukkan dia menghidapi diabetes jenis kedua.

Anna dan Andy pula merupakan dua daripada sebilangan ramai yang menghidapi penyakit diabetes dan juga penyakit buah pinggang.

Ramai antara mereka tidak mengetahui mereka berisiko untuk mendapat penyakit diabetes atau kegagalan buah pinggang. Di sinilah anda perlu tahu kaitan penyakit diabetes dan kegagalan buah pinggang.

Kesan diabetes ke atas buah pinggang

Buah pinggang berfungsi untuk menapis darah daripada bahan-bahan buangan dan cecair yang berlebihan, yang kedua-duanya akan dikeluarkan sebagai air kencing.

Apabila buah pinggang tidak mampu menapis secara normal, pengumpulan cecair dan bahan-bahan buangan akan berlaku dan membahayakan badan manusia.

Kebiasaannya pesakit diabetes mengambil masa 10 hingga 20 tahun untuk menghadapi kegagalan buah pinggang. Jangkamasa ini juga memberi peluang untuk mengelakkan kegagalan buah pinggang.

Ada sesetengah keadaan di mana penyakit diabetes telah berlaku untuk tempoh yang lama sebelum ia dikesan.

Kerosakan organ telah pun berlaku semasa penyakit diabetes disahkan. Oleh itu, pengesanan awal diabetes sangat penting untuk mengawal diabetes dan mencegah kegagalan buah pinggang.

Apakah itu Diabetes Mellitus?

Diabetes Mellitus ialah keadaan di mana insulin yang dihasilkan oleh pankreas tidak mencukupi atau badan tidak mampu bertindakbalas dengan insulin secara normal.

Tahap glukosa dalam badan akan meningkat dan menyebabkan komplikasi seperti kegagalan buah pinggang.

Adakah anda tahu Diabetes Mellitus merupakan punca utama kegagalan buah pinggang peringkat akhir di Malaysia?

Menurut laporan Daftar Tranplan dan Dialisis Malaysia 2006 yang ke-14, sebanyak 57 peratus daripada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang menghidap penyakit kencing manis, iaitu Diabetes Mellitus.

Penjagaan buah pinggang untuk pesakit diabetes

- Mengawal diabetes anda

Pengawalan diabetes yang betul boleh mencegah atau melambatkan perkembangan penyakit buah pinggang. Mencapai dan mengawal tahap kestabilan gula dalam darah dan tekanan darah adalah perlu bagi pesakit buah pinggang.

Antara faktor yang menyebabkan berlakunya penyakit buah pinggang ialah pesakit tidak mengawal kadar gula dalam darah dan tekanan darah tinggi.

Apabila buah pinggang telah gagal, protein akan terkeluar melalui air kencing, ini menyebabkan kerosakan teruk pada buah pinggang. Ini dapat dikawal melalui kestabilan tekanan darah dan juga dengan penggunaan ubat-ubatan tertentu.

Pesakit kencing manis dan buah pinggang juga berisiko tinggi untuk mendapat serangan jantung dan strok. Oleh itu, adalah penting untuk mengawal tahap lemak dengan melakukan senaman, pengawalan berat badan dan berhenti merokok.

- Jangan gagal menghadiri rawatan susulan

Kegagalan menghadiri rawatan susulan boleh menjejaskan kestabilan diabetes yang akan menyebabkan komplikasi pada buah pinggang.

Kebiasaannya penglibatan penyakit buah pinggang ini berlaku tanpa disedari kecuali pada peringkat lewat. Penyakit buah pinggang ini tidak mempunyai gejala dan tanda fizikal awal untuk memberi amaran kepada pesakit.

Walau bagaimanapun, doktor dapat mengawal keadaan pesakit dan mengesan penglibatan buah pinggang melalui ujian asas seperti memeriksa kadar tekanan darah dan mengambil sampel air kencing dan ujian darah.

Ingat, penyakit diabetes berpotensi merosakkan sistem organ yang lain dalam badan dan bukan sahaja buah pinggang. Menghadiri rawatan susulan secara kerap boleh melindungi jantung, saluran darah, otak, saraf, mata dan juga kulit.

- Ubat-ubatan membantu, bukan menjadikannya teruk.

Ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor anda adalah untuk membantu mengawal diabetes, tekanan darah dan juga keadaan yang lain.

Ramai pesakit bimbang dengan pengambilan ubat-ubatan yang banyak kerana mereka salah faham ini akan memudaratkan.

Perlu ditekankan di sini kemungkinan kesan sampingan pengambilan ubat yang berterusan adalah minimum. Adalah lebih merbahaya untuk membiarkan penyakit tersebut tidak dirawat dan terkawal.

Anda juga tidak digalakkan mengambil ubat tradisional dan penggunaan ubat tahan sakit kerana ini boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.

- Makan secara sihat

Sekiranya anda pesakit diabetes, anda seharusnya menjaga keseimbangan pemakanan. Anda boleh mengamalkan diet seperti biasa tetapi utamakan kawalan pengambilan karbohidrat dan juga lemak.

Seandainya anda telah mengalami kegagalan buah pinggang, anda perlu mengawal pengambilan protein, natrium, potassium dan fosforus mengikut pelan pemakanan oleh doktor atau pakar pemakanan anda.

Pencegahan diabetes

Seseorang yang mempunyai tahap glukosa dalam darah yang tinggi tetapi tidak setinggi dengan tahap diabetes diklasifikasikan sebagai pra-diabetes.

Kajian dijalankan oleh Program Pencegahan Diabetes (DPP) lima tahun lalu menunjukkan lebih kurang 11 peratus pesakit pra-diabetes akan lama-kelamaan menghidapi diabetes jenis kedua. Oleh itu, pengesahan awal pra-diabetes adalah penting.

Seperti Anna, dia menghabiskan banyak masa dengan kehidupan harian dan tidak sedar pra-diabetes yang dialaminya kerana tanda-tanda penyakit berkembang secara perlahan ataupun tidak muncul.

Sekiranya anda dalam kumpulan berisiko tinggi, anda seharusnya membuat pemeriksaan untuk memastikan jika anda mempunyai pra-diabetes.

Permulaan gaya hidup yang sihat

Gaya hidup yang sihat boleh mencegah anda daripada menghidapi diabetes jenis kedua. Ini adalah langkah permulaan untuk mencegah kegagalan buah pinggang pada peringkat akhir disebabkan diabetes.

Program Pencegahan Diabetes menunjukkan orang yang mempunyai pra-diabetes boleh mencegah atau melewatkan menghidap diabetes jenis kedua dengan mengurangkan lima hingga 10 peratus berat badan melalui senaman dan pengambilan diet yang mengandungi kalori dan lemak yang rendah. Anda dicadangkan melakukan senaman 30 minit sehari sebanyak lima kali seminggu.

Penyakit diabetes dan buah pinggang kronik adalah penyakit yang kian meningkat dan membahayakan. Walau bagaimanapun, perkara yang paling penting ialah rawatan dan pengesanan awal.

Ia amat penting untuk bekerjasama dengan doktor bagi mencegah ataupun mengurus diabetes dengan rawatan yang sesuai.

Bahaya perubatan sendiri

Pesakit diabetes dinasihatkan tidak merawat diri sendiri dengan membeli ubat-ubatan dari kedai ubat atau merawat secara tradisional.

Ramai penghidap diabetes berbuat demikian dan menghentikan rawatan doktor. Keadaan penyakit ini mungkin menjadi lebih teruk dan buah pinggang anda mungkin berada di peringkat akhir apabila dikesan.

Oleh itu, anda dinasihatkan untuk mematuhi arahan doktor dan mengambil ubat- ubatan yang disyorkan. Jika anda mempunyai persoalan tentang ubat-ubatan, sila rujuk kepada doktor anda untuk mendapatkan nasihat lanjut.

Sokongan keluarga

Keluarga memainkan peranan penting untuk memberi bantuan kepada warga emas yang berpenyakit. Kadang-kala mereka tidak faham atau mengingati nasihat doktor.

Temanilah mereka semasa menghadiri rawatan susulan. Pastikan mereka mengambil pemakanan yang betul dan mengikut nasihat yang diberi oleh pakar pemakanan ataupun doktor.

Anda juga boleh mengetahui tahap kesihatan ahli keluarga anda dan membantu memantau keadaan mereka.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_09.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...