Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto Dr Rahmah Mohd Amin and Dr Noraishah Jaafar
BANGI, 14 Ogos 2012 – Satu tinjauan kualitatif terhadap pesakit-pesakit kencing manis berusia lebih 60 tahun mendapati sokongan keluarga yang mereka perlukan untuk mengawal pengambilan glukosa tidak wujud.
Tinjauan
itu juga merumuskan bahawa pengidap kencing manis itu sendiri perlu
sedar dan berazam untuk mengawal gula dalam darah mereka.
Profesor
Madya Dr Rahmah Mohd Amin dan Dr Noraishah Jaafar dari Jabatan
Kesihatan Masyarakat, Pusat Perubatan UKM (PPUKM) yang melakukan
tinjauan itu mencadangkan agar
beberapa pembaikan dilakukan terutama memberi pengetahuan dan nasihat
kepada ahli keluarga pengidap mengenai penyediaan makanan yang betul
untuk mengawal penyakit mereka itu.
Penyelidikan
mereka bertajuk “Tanggapan pesakit kencing manis yang berumur terhadap
sokongan keluarga mengawal glukosa” telah dijalankan di Kulim Kedah dari
bulan Feb hingga Mei 2009. Ia telah diterbitkan dalam International Journal of Public Health Research Vol 1 No 1 2011.
Ia adalah sebahagian daripada kajian penentuan kawalan glukosa di kalangan pesakit kencing manis yang sudah berumur.
Sepuluh orang responden dipilih berdasarkan tahap kawalan glukosa mereka. Lima
daripada mereka terdiri dari kumpulan pengawalan glukosa yang baik
(mempunyai ukuran HbA1c 6.5 peratus atau kurang) manakala lima responden
lagi terdiri dari mereka yang lemah pengawalan glukosa.
Semua mereka ditemuramah dengan semua perbualan dirakam dan dianalisis.
Responden
terdiri daripada tiga lelaki dan tujuh wanita. Semuanya adalah orang
Melayu berumur antara 60 dan 73 tahun. Lima daripada wanita itu adalah
janda yang tinggal dengan anak perempuan mereka dengan seorang bersama
cucunya manakal yang dua lagi tinggal bersama suami masing-masing.
Semua
lelaki tinggal bersama isteri mereka dengan seorang daripadanya berumur
66 tahun, seorang lepasan universiti dan menerima pencen RM2000
sebulan.
Dr
Rahmah dan Dr Noraishah menerangkan bahawa kawalan penggunaan gula yang
lemah adalah satu isu di kalangan pesakit kencing manis.
Oleh
kerana mereka ini berumur, mereka juga mengalami beberapa kekangan lain
akibat kelihatan yang semakin kabur, lemah pendengaran dan berkurangan
tenaga fizikal. Ini menyebabkan mereka memerlukan bantuan ahli keluarga
untuk kegiatan seharian.
Golongan yang berusia 60 tahun ke atas
dipilih kerana jumlah yang berumur sedang meningkat di dunia. Pada
1950, terdapat hanya 8.2 peratus orang tua dalam dunia. Peratusan mereka
bertambah kepada 10 peratus pada 2000 dan dijangka meningkat hingga
21.1 peratus pada 2050.
“Kalangan orang tua sering dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial
dan kesihatan. Mereka tinggal bersendirian, menghadapi masalah
penglihatan dan pendengaran, keupayaan fizikal yang lemah selain
diserang penyakit-penyakit seperti sakit saluran jantung, angin ahmar,
nyanyuk, darah tinggi dan kencing manis,” kata Prof Madya Rahmah dan Dr
Noraishah.
Mereka
merumuskan bahawa institusi kekeluargaan berperanan penting untuk
memberikan sokongan sosial yang diperlukan golongan berumur.
Sokongan
utama adalah daripada pasangan mereka sendiri, anak-anak dan ahli
keluarga yang lain yang boleh menyediakan sokongan emosi, fizikal dan
maklumat.
“Sokongan emosi termasuklah dikasihi dan disayangi serta berkongsi masalah peribadi dengan pasangan atau anak-anak.
“Mereka
memerlukan seseorang untuk bercakap dengan mereka supaya boleh
mengurangkan masalah yang mereka hadapi. Isteri juga perlu menolong
menyedia makanan atau memasak, membersihkan rumah dan menjaga mereka
apabila sakit selain menyediakan ubat-ubatan, memantau glukosa dalam
darah dan membawa mereka ulang-alik klinik.
“Anak-anak juga boleh membantu dalam soal kewangan terutama bagi orang tua yang tidak ada pendapatan tetap”.
Mereka
menerangkan bahawa walaupun wujud perpindahan dari luar bandar ke
bandar, institusi keluarga masih merupakan penyokong sosial yang utama
dan kerana itu sistem kekeluargaan sedia ada dan hubungan di antara ibu
bapa dengan anak-anak perlu diperkukuhkan.
Mereka
mendapati walaupun responden kajian menganggap ahli keluarga mereka
tidak memainkan peranan dalam pengawalan glukosa, makanan disediakan
oleh ahli keluarga mempengaruhi pengambilan makanan responden terutama
mereka yang lemah mengawal pengambilan glukosa.
“Biasanya
tidak ada makanan khas disediakan untuk responden menyebabkan mereka
makan makanan yang disediakan untuk semua ahli keluarga mereka tanpa
adanya makanan khusus untuk mereka.
“Oleh
itu, maklumat mengenai khasiat makanan penting bukan saja untuk pesakit
kencing manis tetapi juga ahli keluarga mereka dalam usaha membantu
mereka memilih dan menyediakan makanan”.
Tinjauan
itu juga menunjukkan bahawa semua responden daripada kumpulan baik
mempunyai motivasi yang tinggi dan mengamalkan pemakanan yang sihat
manakala responden daripada kumpulan pengawalan glukosa lemah tidak
mengamalkan pemakanan sihat. Kebanyakan daripada mereka tidak dapat
menolak makanan yang manis walaupun diberitahu agar mengawal pemakanan.
Mereka akan makan mengikut selera masing-masing dan tidak berupaya membuat pertimbangan sendiri.
Jalan
keluar menghadapi situasi demikian adalah dengan meningkatkan
pengetahuan terhadap pemakanan bukan saja dikalangan pesakit tetapi juga
ahli keluarga yang menjaga mereka.
Mereka
berpendapat bahawa ahli keluarga perlu juga meluaskan pengetahuan
mereka mengenai kawalan khasiat makanan dan pengurusan kencing manis.
Prof
Madya Rahmah dan Noraishah mengakui terdapat kekangan dalam kajian
mereka itu kerana dilakukan di kalangan orang Melayu saja. Oleh itu
hasilnya tidak boleh diunjurkan bagi meliputi penduduk berbilang bangsa
negara ini.
Mereka juga tidak mengkaji satu lagi aspek mengenai galakkan ahli keluarga dalam kegiatan fizikal dan senaman pesakit.
Dua
aspek ini mungkin boleh mempengaruhi tahap glukosa mereka. Lantas
pesakit kencing manis berumur perlu digalak mempunyai keazaman sendiri
untuk mengubah gaya hidup dengan mengamalkan makanan sihat dan mengawal
pengambilan glukosa serta digalakkan melakukan kegiatan fizikal. Info : //www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-penyelidikan/1159-family-support-crucial-for-elderly-diabetics-.html
No comments:
Post a Comment