Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, peningkatan ini adalah ketara untuk kes yang baru didiagnosis diabetes iaitu 3.8 peratus pada NHMS 2006 kepada 10.1 pada NHMS 2011 di mana keadaan ini membimbangkan.
“Kajian tersebut mendapati prevalen penyakit darah tinggi di kalangan penduduk negeri Selangor yang berumur 18 tahun ke atas adalah sebanyak 27.9 peratus, manakala prevalen penyakit diabetes adalah sebanyak 12.0 peratus.
“Sebanyak 52.1 peratus penduduk negeri Selangor yang berumur 18 tahun ke atas hidup secara tidak aktif, 18.1 peratus adalah merokok, 34.6 peratus mengalami masalah berlebihan berat badan dan 11.6 peratus mengalami masalah obesiti,”katanya dalam ucapan ketika menghadiri Program Berjalan 10,000 Langkah Sehari anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan (JKNS) di sini semalam.
Dr Azman berkata, perubahan gaya hidup masyarakat pada masa ini kepada gaya hidup sedentari (kurang aktif) menyebabkan berlaku peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, darah tinggi dan kardiovaskular.
Menurutnya, Malaysia berada pada kedudukan ke enam di kalangan negara Asia dengan kadar obesiti yang tinggi di kalangan rakyat dewasa.
“Kini hampir satu dari setiap dua orang penduduk dewasa kita menghidap darah tinggi dan 1 dari setiap 8 orang menghidap diabetes. Malah semakin ramai rakyat mati lebih awal (pra-matang) akibat pelbagai penyakit NCD.
“Antara punca utama berlakunya masalah obesiti dan penyakit kronik ini kerana masyarakat dewasa ini kurang melakukan aktiviti fizikal dan tidak mengamalkan pengambilan makanan yang sihat. kurang praktik gaya hidup sihat, tidak tahu bagaimana menangani stres,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, risiko penyakit yang dinyatakan Dr Azman meningkat memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara membangun, tambahan pula Selangor mempunyai populasi kepadatan penduduk tinggi.
Beliau berkata, kementerian alu-alukan penglibatan semua pihak seluruh masyarakat dapat membudayakan gaya hidup sihat sebagai cara hidup masyarakat Malaysia.
Dalam perkembangan sama, MBSA melancarkan program berjalan 10,000 langkah sehari bagi memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga bandar raya Shah Alam di Taman Tasik Shah Alam pagi semalam.
Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Atan berkata, program ini bertujuan memberikan galakan dan semangat jati diri yang tinggi untuk melakukan aktiviti fizikal demi meningkatkan tahap stamina dan seterusnya kesihatan diri seluruh masyarakat Shah Alam.
Sumber: sinarharian.com.my
http://www.jomdiet.com/berita-darah-tinggi/
No comments:
Post a Comment