Keturunan: Darah Tinggi Dan Diabetes Waktu Mengandung


"Masalah kencing manis dan tekanan darah tinggi di kalangan wanita hamil berlaku kebanyakannya dari faktor keturunan. Mereka dianggap sebagai golongan yang berpotensi mengidap hipertensi dan diabetes. Sekiranya mengandung pada usia yang muda dan kemudiannya mengandung kali kedua pada lewat usia, seseorang itu berkemungkinan akan menghidap masalah tersebut seumur hidup" demikian ujar Dr Amimah Ibrahim.

Hipertensi dan Diabetes merupakan antara gejala yang paling kerap berlaku dikalangan wanita hamil dan boleh menimbulkan komplikasi menjelang kelahiran. Masalah ini merupakan igauan ngeri kepada ibu-ibu hamil.

Lazimnya inilah di antara banyak rungutan yang diterima daripada kebanyakan ibu-ibu hamil. Ada yang bertanya apakah produk yang sesuai untuk merawat masalah tersebut kerana khuatir serta bimbang tentang keselamatan bayi dalam kandungan, selain takut menghadapi pembedahan.

Pembedahan

Merujuk kepada hal tersebut Dr Aminah menjelaskan bahawa pembedahan adalah merupakan kaedah alternatif yang terakhir yang diberikan kepada mereka yang mengalami masalah tekanan darah tinggi. Namun begitu, hakikatnya lebih ramai yang bersalin normal, berbanding dengan jumlah yang bersalin secara pembedahan. Ini adalah disebabkan oleh penjagaan pemakanan serta penggunaan ubat-ubatan untuk mengawal tekanan darah.

Beliau juga berpendapat faktor makanan dapat memberi sumbangan secara tidak langsung kepada masalah hipertensi dan diabetes. Faktor risiko awal perlu dijaga. Sekiranya tidak merencanakan diet yang sesuai seperti gemar memakan makanan segera, makanan manis atau makanan yang diawet, menjadikan anak yang dilahirkan itu berkemungkinan mengalami masalah contohnya menghadapi masalah obesiti @ kolestrol tinggi dan masalah buah pinggang.

Tabiat makan untuk berdua juga sering disalah tafsir sehingga ada yang makan sampai berempat! Ibu hamil akan mengalami peningkatan berat badan yang mendadak dan saiz anak juga menjadi lebih besar dari biasa.

Di samping itu, diabetes juga ada potensi untuk melahirkan bayi yang besar kerana kandungan gula yang banyak dalam tubuh.

Simptom-Simptom

Simptom-simptom darah tinggi sewaktu mengandung ialah gelap mata, sakit ulu hati, dan kadang kala jadi sawan sekiranya berlaku kenaikan tekanan darah yang mendadak. Di samping itu boleh juga berlakunya keguguran uri lekang. Risiko bayi mati dalam kandungan juga tinggi.

Namun begitu ada juga kes-kes tekanan darah tinggi ini dapat dikawal dan ibu dapat bersalin secara normal dengan selamatnya.

Turun Darah

Tekanan darah tinggi, ibu yang berpenyakit, masalah pendarahan asal ibu, kencing manis, rahim bermasalah (seperti fibroid) tidak kuat kerana rahim tidak mampu mengecut juga mengakibatkan masalah turun darah.

Bagi ibu-ibu yang kerap mengandung atau mengandung terlalu rapat, masa untuk otot-otot rahim mengecut menjadi lambat dan pendarahan akan berpanjangan.

Ibu yang mengandung anak kembar juga kerap mengalami pendarahan yang melebihi 24 jam selepas bersalin terjadi kerana adanya bahan mengandung yang teritnggal di dalam rahim. Dalam kebanyakan kes membran (dikenali sebagai uri kecil) yang tertinggal, menyebabkan rahim tidak boleh mengecut. Selalunya membran ini akan keluar bersama-sama dengan darah nifas dan tidak mendatangkan masalah.

Makanan Dalam Pantang

Ibu-ibu selepas bersalin disarankan makan banyak sayur-sayuran hijau, buah oren yang kaya dengan vitamin C khusus untuk merawat saraf dan otot rahim, dan minum banyak air. Air perlu untuk tubuh mengeluarkan toksin.

Di dalam masyarakat Melayu, ibu-ibu yang di dalam pantang tidak digalakkan makan benda-benda yang sejuk kerana dikhuatiri boleh menyebabkan bentan. Bahkan dalam perubatan Cina juga tidak menggalakkan makanan jenis sejuk seperti minuman ais, sayuran jenis menjalar seperti labu, kangkung, timun dan sebagainya.

Masalah sama ada perlu berpantang atau tidak bergantung kepada kemampuan badan seseorang. Ada orang yang tidak boleh tahan dengan makanan yang terlalu sejuk atau terlalu panas. Ada pula yang alergik kepada ubat atau makanan tertentu. Jadi ia bergantung kepada individu itu sendiri. Yang penting zat dan vitamin perlu cukup kerana waktu dalam pantang, tubuh sedang mengalami proses pemulihan.

Sebelum mengakhiri temubual, beliau telah menyarankan bakal-bakal ibu supaya kerap membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengelak atau mengesan sekiranya berlaku sebarang komplikasi kehamilan. Tindakan awal boleh diambil untuk membantu mereka menghadapi masla yang dinyatakan tadi.

Sekian.

http://www.mengandung.com/artikel/artikel06-01.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...