Diabetes Mellitus Punca Sakit Ginjal

Diabetes adalah sakit kronik yang terjadi apabila badan tidak dapat menghasilkan atau menggunakan insulin dengan betul, hormon yang diperlukan untuk memproses gula, kanji dan makanan lain kepada tenaga yang diperlukan untuk aktiviti seharian.

PENJAGAAN makanan dari awal merupakan langkah yang terbaik terutamanya bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai diabetes.


Punca penyakit ini masih menjadi misteri walaupun genetik dan persekitaran dikatakan memainkan peranan dan tiada penawar untuk menyembuhkannya.

Mungkin ramai yang tidak tahu diabetes antara sebab utama kegagalan buah pinggang atau ginjal di Malaysia dengan kira-kira 52 peratus berada tahap akhir disebabkan olehnya.

Setiap tahun, 4,000 hingga 5,000 pesakit baru disahkan menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan mereka melakukan dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Pakar Perunding Nefrologi Pusat Perubatan Tropicana, Kota Damansara Selangor, Dr. Soehardy Zainudin berkata, bagi mereka yang tidak menghidap diabetes, buah pinggang mampu memproses albumin iaitu protein.

“Namun, bagi pesakit diabetes, antara kesan awal pada buah pinggang adalah penghasilan kuantiti kecil protein dalam urin yang dipanggil microalbuminuria.

“Ia sukar untuk dikesan bagi tempoh lima tahun pertama malah pesakit akan mendapati semuanya normal walaupun melakukan ujian darah.

“Apabila memasuki tahun kelapan hingga ke-10, pesakit akan mendapati urin mereka berbuih banyak dan bila jumlahnya semakin bertambah, ia tanda awal penyakit buah pinggang,” katanya.

Antara simptom lain rasa letih, selera makan berkurangan, ruam dan gatal-gatal di kulit, muntah-muntah, kencing semakin kurang dan kaki mulai bengkak.

Komplikasi akibat penyakit ini apabila ia mencapai peringkat akhir iaitu pesakit susah bernafas, paru-paru berair, pengumpulan toksik di dalam badan, senang terkena serangan jantung dan akhirnya buah pinggang rosak yang menyebabkan pesakit melakukan dialisis.

Jika ada antara ahli keluarga anda mempunyai sejarah diabetes, selalulah melakukan pemeriksaan kesihatan dengan memeriksa paras gula dan kolestrol di dalam badan serta melakukan ujian urin khas untuk buah pinggang iaitu ujian mengesan albumin.

“Apabila ke klinik atau hospital, minta doktor melakukan ujian air kencing untuk memeriksa kandungan albumin di dalamnya kerana ada sesetengah pemeriksaan kesihatan hanya melakukan ujian urin yang biasa,” katanya.

Pengawalan makanan juga perlu diterapkan dari peringkat awal dan dapatkan khidmat pakar diet untuk senarai makanan yang sesuai bagi pesakit diabetes agar dapat mengawal tahap gula di dalam badan.

Pesakit diabetes juga perlu mengawal tekanan darahnya, mengawal berat badan dan melakukan senaman sebanyak tiga hingga lima kali seminggu iaitu sekurang-kurangnya 15 minit bagi setiap sesi.

“Mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti berhenti merokok dan mengawal pengambilan gula perlu diterapkan terutamanya kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap diabetes,” ujarnya.

http://n9kini.com/diabetes-mellitus-punca-sakit-ginjal/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...