11 Langkah Bijak Kurangkan Pengambilan Gula

Tentu semua tahu tentang kenaikan harga gula sebanyak 20 sen baru-baru ini kan? Kenaikan harga gula kali ini adalah yang keempat selepas kerajaan berbuat demikian sebanyak tiga kali pada tahun lalu iaitu pada Januari (20 sen), Julai (25 sen) dan Disember (20 sen).

Mungkin masih ramai yang tidak sedar implikasi daripada pengambilan gula berlebihan  boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit. Mungkin kenaikan harga ini dapat mengubah gaya hidup masyarakat yang sering menggunakan gula dengan kadar yang tinggi. Berikut dinyatakan 11 langkah bijak kurangkan pengambilan gula:

1. Pilih makanan daripada bahan pemanis semulajadi.

Makanan yang berasal daripada bahan pemanis semulajadi merupakan salah satu alternatif terhadap gula yang diproses. Pemanis semulajadi banyak diperolehi dalam bentuk sirap dan merupakan salah satu jenis makanan yang menyihatkan tubuh badan. Bahkan , ia juga mengandungi lebih banyak nutrisi jika dibandingkan dengan gula biasa.

2. Kurangkan gula dalam resepi masakan

Sebaiknya kurangkan gula dalam setiap resepi masakan. Pakar pemakanan di Truestar Health, Kanada, Sofia Segounis mendapati, seseorang akan mula ketagihan gula kerana adanya ketidakseimbangan dalam hormon insulin. Maka semakin banyak gula yang diambil, semakin banyak insulin yang dikeluarkan oleh tubuh untuk mengubah gula menjadi tenaga. Insulin merupakan hormon yang mengawal tingkat gula di dalam darah. Jadi, kebiasaan menggunakan gula dalam setiap masakan harus dihindari.

3. Kurangkan penggunaan susu pekat   

Hadkan pengambilan gula atau susu pekat manis atau susu isian pekat manis kepada 1 sudu teh sahaja untuk setiap cawan minuman. Atau gantikan dengan susu rendah lemak

4. Kurangkan minuman berkarbonat

Setiap 355 mililiter minuman ringan atau karbonat mengandungi kira-kira 10 camca teh gula. Bersamaan dengan saranan pengambilan gula harian daripada makanan dan minuman. Minuman berkarbonat juga salah satu  penyumbang kepada peningkatan jumlah kanak-kanak obesiti di negara ini. Jika boleh, elakkan terus dari mengambil minuman berkarbonat ini.

5. Kurangkan makanan manis

Segala makanan manis memang sedap dimakan seperti  kek, biskut, coklat, aiskrim, dan snek berperisa. Tetapi jika berlebihan, pelbagai penyakit akan timbul. Setelah mengambil makanan bergula kegemaran, kita akan mengalami pertambahan tenaga, namun setelah beberapa ketika, tahap gula di dalam darah akan turun hingga membuat kita semakin ketagihan gula. Ini kerana tubuh telah terbiasa memiliki tahap gula dalam darah yang tinggi. Terlalu banyak gula akan melemahkan sistem kekebalan dan tubuh mudah berasa letih.

6. Banyak minum air putih

Dengan cara ini, tubuh akan mendapat keperluan air yang mencukupi. Selain itu, cara ini juga mencegah keinginan untuk menikmati sesuatu hidangan, baik makanan bergula atau makanan yang lain. Oleh itu, banyakkan minum air putih untuk menurunkan kecenderungan memilih makanan ringan yang manis.

7. Makan buah-buahan dan sayur-sayuran

Gula sebenarnya boleh terdapat secara semulajadi dalam sayur-sayuran dan buah-buahan. Ia sangat berkhasiat kerana mempunyai kandungan nutrien seperti vitamin, mineral, lemak, protein dan karbohidrat. Kajian mendalam oleh pakar sains membuktikan bahawa kandungan dalam sayur dan buah-buahan berjaya mengatasi masalah seperti kanser, penyakit hati, kencing manis dan darah tinggi.

8. Ambil supplement

Jangan lupa mengambil suplemen tambahan. Contohnya seperti Vitamin C yang sangat bermanfaat untuk mengawal kebiasaan mengambil makanan bergula. Vitamin C semulajadi banyak ditemui dalam buah oren dan buah kiwi. Sementara magnesium membantu mengatur tahap tahap gula dalam darah dan banyak diperolehi daripada sayuran berdaun hijau , kekacang , bijirin , ikan dan daging .

9. Makan secara teratur

Makan sedikit tetapi kerap untuk sepanjang hari. Makan secara teratur akan memberikan tubuh bertenaga sepanjang hari dan mengatur tahap gula dalam darah. Ini kerana gula dapat memasuki aliran darah secara berperingkat. Pilihlah makanan yang tinggi kandungan serat kerana semakin tinggi kandungan serat, semakin lambat gula masuk ke dalam aliran darah.

10. Jaga keseimbangan pola makanan

Jaga keseimbangan hormon tubuh. Gula dan makanan yang mengandungi karbohidrat tinggi seperti pasta dan nasi putih akan segera diubah menjadi gula di dalam darah yang menyebabkan kadar insulin naik. Sebaiknya pola makanan harus terdiri daripada protein, karbohidrat dan lemak yang seimbang. Lemak dan potein akan menghalang penyerapan karbohidrat dalam aliran darah dan memberi sumber tenaga yang stabil.

11. Baca label makanan

Baca label makanan dan pilih produk yang ada kandungan gula yang rendah atau tiada langsung. Sebahagaian makanan, kadar gulanya tersembunyi kerana tidak dilabelkan dengan nama gula tetapi dinamakan sebagai sukrosa, glukosa maltosa, fruktosa dan sebagainya. Berhati-hati dengan makanan yang berlabel sugar free. Ini kerana, kebiasaanya makanan ini mungkin mempunyai tambahan gula. Manakala makanan yang berlabel fat free selalunya menggunakan gula penganti rasa yang hilang ketika lemak tiada.

Kurangkan gula untuk kesihatan kita!:)   

http://www.trymasak.my/blog/posts.php?title=11+langkah+bijak+kurangkan+pengambilan+gula&author=trymasak

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...