Oleh HD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar IRWAN MAJID
 |
Antara produk keluaran Megaherbs Bioextreme Sdn. Bhd. minuman tenaga berasaskan gula pokok stevia.
|
GULA merupakan bahan pemanis utama dalam menghasilkan sesuatu
masakan. Rasa kemanisan itu menjadi tarikan kepada masyarakat untuk
menikmati masakan seperti kek, kuih muih dan pelbagai minuman.
Sebab itu pengambilan gula merupakan perkara biasa dalam kehidupan
harian kita. Ada orang seolah-olah tidak boleh hidup tanpa gula walaupun
diri diancam pelbagai penyakit.
Antara masalah kesihatan yang berpunca daripada pengambilan gula
berlebihan adalah obesiti, lelah, kencing manis serta penyakit jantung.
Secara ringkas, gula adalah karbohidrat yang mudah diserap tubuh dan
bertujuan untuk membekalkan sumber tenaga kepada tubuh badan kita.
Tetapi tahukah kita terdapat pelbagai sumber lain gula yang boleh
kita dapati secara lebih sihat. Antaranya daripada nasi, mi dan
ubi-ubian.
Selain itu, kita juga boleh mendapatkan bahan penting ini daripada sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai pokok stevia.
Stevia atau nama saintifiknya, stevia rebaudiana merupakan sejenis
tumbuhan herba yang mempunyai lebih 10 peratus stevioside pada daunnya
dan bahan ini mengandungi 200 hingga 300 kali kemanisan berbanding gula
biasa.
Kebaikan stevia
Pokok ini mempunyai pelbagai gelaran antaranya sweetleaf dan
sugarleaf serta bagi sesetengah pihak, ia juga digelar daun ajaib yang
mengeluarkan manisan.
Kemanisan daripada pokok ini sedikit lambat untuk dirasa tetapi ia
akan kekal lebih lama berbanding gula biasa. Ini kerana kelarutan stevia
di dalam air sedikit perlahan.
Walaupun begitu, stevia telah mendapat perhatian daripada pengguna
bahan rendah karbohidrat bagi pengamal diet dan juga pengguna gula
alternatif.
Kajian perubatan yang telah dijalankan menunjukkan keupayaan stevia
untuk mengawal penyakit darah tinggi, kencing manis serta hipertensi.
Ini kerana stevia adalah bahan pemanis bersifat semulajadi yang
memberikan rasa manis tanpa bahan kimia tambahan seperti glukos atau
mana-mana komponen gula lain.
Antara kegunaan stevia dalam produk masakan adalah pemanis untuk pelbagai jenis minuman, ais krim serta gula-gula.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm