Kencing Manis Punca Lemah Syahwat


Penyakit kencing manis adalah penyakit yang banyak dihidapi dalam masyarakat sekarang ini. Menurut survey oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2011, sebanyak 24.38 peratus penduduk Malaysia berumur lebih dari 18 tahun adalah pesakit kencing manis. Kencing manis berpunca daripada pemakanan yang tinggi dengan gula dan karbohidrat berglisemik indeks tinggi serta gaya hidup yang kurang sihat seperti kurang bersenam, merokok dan sebagainya.

Kencing manis adalah penyakit yang menjadi punca kepada masalah lemah syahwat bagi kedua-dua lelaki dan wanita. Selalunya masalah ini di sorokkan oleh pesakit dan tidak mahu berbincang dan mendapatkan pertolongan dari doktor.

Kajian sains terbaru menunjukkan, 60-65% pesakit kencing manis lelaki mempunyai masalah mati pucuk iaitu masalah mencapai ketegangan zakar atau masalah tidak mampu mengekalkan ketengangan zakar. Ini adalah masalah paling biasa berlaku dikalangan pesakit kencing manis. Ia nya berpunca dari saluran darah ke zakar menjadi keras akibat pemendapan kolesterol (atherosclerosis) pada dinding saluran darah dan juga kerana berlaku kerosakan saraf (nephropathy) zakar kerana gula dalam darah yang tinggi. Ia juga kerana berlaku masalah stress atau tekanan akibat rasa rendah diri atau rasa takut zakar tidak cukup keras.

Kerosakan saraf akibat kencing manis berlaku kerana paras gula yang tidak dikawal dan juga kerana saluran darah halus yang rosak (microangiopathy) menyebabkan saraf tidak mendapat bekalan oksigen dan nutrien yang secukupnya. Akibat kerosakan saraf ini maka isyarat dari otak gagal sampai ke zakar yang menyebabkan ianya tidak menegang apabila berlaku stimulasi seksual.

Saluran darah yang menyempit kerana faktor atherosclerosis menyebabkan aliran darah yang lemah dan kurang untuk menegangkan zakar dan mengekalkan ketegangan zakar dengan lebih lama. Kajian mendapati, pesakit kencing manis adalah lebih mudah mendapat masalah penyempitan saluran darah akibat atherosclerosis ini. Kebiasaannya , pesakit kencing manis juga mengalami masalah tekanan darah tinggi yang menambahkan lagi penyempitan saluran darah. Terdapat juga beberapa jenis ubat darah tinggi yang mempunyai kesan sampingan yang menyebabkan masalah mati pucuk ini.
Pesakit kencing manis yang tidak mengambil rawatan dengan betul dan mempunyai masalah gula yang tidak terkawal juga menyebabkan berlakunya kekurangan bahan ‘nitrik oksida’ yang membantu dalam proses menenangkan zakar. Paras gula yang tinggi juga mengurangkan nafsu syahwat atau libido. Mengawal paras gula dengan lebih baik dengan mengikut nasihat doktor maka masalah ini boleh di kurangkan kerana paras gula yang terkawal akan mengembalikan nafsu syahwat tadi.

Rawatan dengan ubat-ubatan boleh diberi oleh doktor dengan ubat seperti sildenafil, taladafil dan vardenafil telah membantu mengatasi masalah mati pucuk dikalangan pesakit kencing manis. Terdapat juga rawatan lain yang boleh diberikan oleh doktor pakar seperti suntikan alprostadil dan pam vakum. Oleh kerana itu dapatkanlah rawatan dengan doktor yang bertauliah jika anda pesakit kencing manis yang menghadapi masalah ini. Masalah mati pucuk ini sangat kerap berlaku dikalangan pesakit kencing manis 10 ke 15 tahun lebih dahulu berbanding lelaki yang tiada penyakit kencing manis tetapi kebanyakan pesakit menyembunyikannya atau mendapatkan rawatan tradisional seperti mengurut atau mengambil pelbagai ubat herba yang belum terbukti berkesan merawat masalah ini. Mengubah gaya hidup kepada gaya hidup yang lebih sihat dengan bersenam dan meninggalkan tabiat buruk seperti merokok boleh membantu mengurangkan masalah mati pucuk dikalangan pesakit kencing manis.

Terdapat juga pesakit kencing manis menhadapi masalah ‘pancutan berbalik’ (retrograde ejaculation) kerana kerosakan pencerut pada leher pundi kencing. Kerosakan ini berlaku kerana saraf yang mengawal pencerut ini rosak akibat paras gula yang tinggi dalam darah dikalangan pesakit kencing manis. Masalah ini boleh menyebabkan kemandulan dikalangan pesakit kencing manis lelaki.

Kajian juga menunjukkan nafsu syahwat menurun kerana paras hormon lelaki iaitu testosteron dikalangan pesakit lelaki yang mengidap kencing manis adalah rendah. Ini adalah kerana paras insulin yang tinggi akan menyebabkan paras testosterone menurun. Oleh kerana itu, kebanyakan pesakit kencing manis mempunyai masalah perut buncit, otot mengecut dan lemah yang merupakan tanda luaran kekurangan hormon testosteron ini. Menurunkan berat badan , pengawalan gula yang lebih baik dan bersenam dengan lebih kerap akan membantu meningkatkan paras hormon testosteron. Terdapat juga rawatan hormon gantian testosteron untuk membantu masalah ini dan anda perlu berjumpa doktor untuk membantu anda mendapatkan rawatan ini.

Bagi wanita juga akan menghadapi masalah kurang nafsu syahwat apabila mengidap penyakit kencing manis. Pesakit kencing manis wanita akan menghadapi masalah kekeringan faraj, sakit semasa bersetubuh, susah mencapai orgasma dan tidak bernafsu jika paras gula tinggi dan tidak terkawal. Masalah kekeringan faraj adalah kerana pengaliran darah yang tidak lancar ke faraj kerana faktor penyempitan saluran darah akibat masalah pengerasan saluran darah (atherosclerosis).

Bagi wanita yang menghadapi masalah kekeringan boleh menggunakan gel pelincir. Rawatan dengan krim estrogen atau pessari boleh diberikan oleh doktor terutama bagi wanita yang menopause atau dekat dengan menopause yang menghidap kencing manis. Wanita yang menghadapi masalah sakit semasa bersetubuh mungkin adalah kerana jangkitan kulat candida pada faraj yang amat selalu berlaku kepada pesakit kencing manis. Rawatan anti kulat oleh doktor akan membantu dalam masalah ini.

Pesakit kencing manis wanita yang mempunyai paras gula yang tidak terkawal akan hilang nafsu seks kerana paras gula yang turun naik akan mengakibatkan rasa lesu dan tidak bermaya. Pengawalan gula yang lebih stabil akan mengembalikan nafsu syahwat ke paras yang normal.

Cara terbaik mengekalkan nafsu syahwat yang sihat ialah dengan tidak mendapat penyakit kencing manis dan jika anda mengidap kencing manis maka pengawalan gula kepada paras yang stabil dan terkawal akan mengurangkan kesan kepada masalah seksual lelaki dan wanita. Kepentingan hubungan seksual diantara lelaki dan wanita amat penting bagi suami dan isteri untuk menjamin kebahagiaan rumah tangga ke akhir hayat.

Pemakanan yang sihat, bersenam dan mengelak faktor risiko seperti merokok amat penting menjaga kesihatan seksual kita sehingga ke usia tua. Jagalah kesihatan anda ke akhir hayat kerana ia amat dituntut dalam Islam.

Wassalam

Dr Norman Mohd Norawi

(MBBS, FAGE, MScAAARM)


http://doknorm.blogspot.com/2013/07/kencing-manis-punca-lemah-syahwat.html

Diabetes, Nasi Lemak & Teh Tarik



Image result for nasi lemak


NASI lemak secara tidak rasminya sudah menjadi hidangan wajib bagi rakyat Malaysia.

Tiada yang boleh mengatasi keenakan nasi putih yang wangi baunya, dimasak dengan santan kelapa dan dibungkus dalam daun pisang serta diperlazatkan lagi dengan sambal ikan bilis, kacang goreng, telur dan timun yang menyelerakan.

Setelah itu ia disudahi dengan tegukan segelas teh tarik – teh yang manis bersusu. Teh tarik juga secara kebetulan menjadi minuman tidak rasmi bagi rakyat Malaysia.

Tetapi malangnya, mengambil nasi lemak dan teh tarik untuk sarapan pagi setiap hari bukan suatu pilihan yang terbaik dari segi kesihatan. Bacalah seterusnya...

Apa yang terjadi kepada nasi putih dalam badan kita?

Sebaik sahaja ia dimakan, nasi putih akan ditukarkan menjadi glukosa dan akan diserap dengan cepatnya ke saluran darah.

Sebarang peningkatan gula darah akan memberi isyarat kepada pankreas untuk mengeluar dan melepaskan insulin. Hormon ini akan mengarahkan sel-sel untuk mengusap glukosa.

Tanpa insulin, glukosa akan hanyut terapung-apung di sekitar aliran darah, tidak dapat memasuki ke dalam sel-sel yang memerlukannya.

Diabetes akan muncul apabila badan tidak dapat mengeluarkan insulin dengan cukup atau tidak dapat menggunakannya dengan baik.

Nasi putih mengandungi apa yang dikenali sebagai Indeks Glisemik (GI) yang tinggi. Ini bermakna ia akan menyebabkan peningkatan paras gula darah dan insulin secara berlanjutan.

Karbohidrat yang tidak begitu mudah dihadamkan akan menyebabkan peningkatan gula darah dan insulin yang lebih rendah dan lebih perlahan.

Dengan itu, ia memberi kurang tekanan terhadap jentera pembuat insulin dalam badan kita serta membantu mencegah diabetes jenis 2.

Makanan-makanan seperti ini dikatakan mempunyai Indeks Glisemik yang rendah. Contohnya termasuklah gandum asli lengkap, beras perang, lain-lain jenis bijirin yang lengkap, dan kebanyakan kacang dan kekacang.

Sel-sel kita bergantung kepada satu gula tunggal ringkas iaitu glukosa, yang sebahagian besar diperlukan oleh sel-sel berkenaan untuk membina tenaga.

Itulah sebabnya mengapa badan kita mempunyai mekanisme yang rumit untuk memastikan paras glukosa dalam aliran darah tidak menurun terlampau rendah atau melambung naik terlampau tinggi.

Glukosa datangnya daripada pencernaan sukrosa (gula biasa) dan juga daripada karbohidrat seperti nasi, roti, ubi kentang, roti canai, dan lain-lain.

Jenis-jenis diabetes yang berlainan

Satu bentuk diabetes akan berlaku apabila sistem imun menyerang dan melumpuhkan buat selama-lamanya sel-sel pembuat insulin dalam pankreas.

Ini dikenali sebagai diabetes jenis 1 yang pada suatu ketika dahulu dikenali sebagai permulaan juvana (juvenile onset) ataupun diabetes bergantung insulin.

Satu bentuk lagi suka menjalar dalam badan manusia, dan ia mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang menjadi penyakit diabetes sepenuhnya.

Ia bermula apabila otot dan sel-sel lain berhenti memberi tindak balas terhadap isyarat buka pintu untuk glukosa yang diberikan oleh insulin.

Badan bertindak balas dengan membuat lebih banyak lagi insulin, sebenarnya ia cuba menggasak dan memaksa gula darah ke dalam sel-sel.

Akhirnya, sel-sel pembuat insulin menjadi lemah dan mengalami kegagalan. Ini dikenali sebagai diabetes jenis 2.

Mereka yang menghidapi pradiabetes mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi daripada normal tetapi tidak cukup tinggi untuk disahkan sebagai pesakit diabetes sepenuhnya.

Penghidap pradiabetes mempunyai glukosa semasa berpuasa yang terjejas (6.1 hingga kurang daripada 7mmol/l).

Pada paras ini ia mengisyaratkan wujud risiko tinggi untuk menghidapi diabetes jenis 2 dalam masa 10 tahun yang berikutnya.

Sama ada pradiabetes akan berkembang menjadi diabetes jenis 2 sepenuhnya, sebahagian besarnya bergantung kepada individu itu sendiri yang seharusnya mengambil perhatian terhadap berat badan dan kegiatan senaman.

Cara pemakanan bukan sahaja dapat mencegah pradiabetes daripada menjadi diabetes, tetapi juga dapat mengembalikan semula paras glukosa darah ke julat yang normal.

Langkah-langkah yang mudah

Dengan melakukan beberapa perubahan boleh mengurangkan secara mendadak kemungkinan untuk menghidapi diabetes jenis 2. Contoh-contohnya termasuklah:

Kawal berat badan anda. Berat badan berlebihan merupakan satu penyebab yang paling penting bagi diabetes jenis 2.


Mempunyai berat badan berlebihan akan meningkatkan tujuh kali ganda kemungkinan untuk menghidapi diabetes jenis 2.

Berbadan gemuk akan membuatkan anda 20 hingga 40 kali lebih berkemungkinan untuk menghidapi diabetes berbanding dengan mempunyai berat badan yang sihat.

Mengurangkan berat badan boleh membantu sekiranya berat badan anda berada di atas paras berat badan yang sihat.

Mengurangkan 7 hingga 10 peratus daripada berat badan anda sekarang dapat menurunkan separuh kemungkinan untuk anda menghidapi diabetes jenis 2.

Bertindak sekarang. Ketidakaktifan menggalakkan diabetes jenis 2.

Bagi setiap dua jam anda duduk menonton TV selain daripada melakukan kegiatan aktif lain, akan meningkatkan kemungkinan untuk menghidapi diabetes sebanyak 14 peratus.

Menggiatkan otot-otot anda dengan kerap dan membuatkannya bekerja lebih keras akan meningkatkan keupayaannya untuk menggunakan insulin dan menyerap glukosa.

Ini akan mengurangkan tekanan ke atas sel-sel pembuat insulin anda.

Perbaiki cara pemakanan anda. Perubahan terhadap cara pemakanan boleh mendatangkan kesan yang besar terhadap risiko diabetes jenis 2.

Pilihlah produk yang berbijirin lengkap berbanding karbohidrat yang diproses seperti nasi putih, roti putih, roti canai, kuih-muih, dan lain-lain.

Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Lagi banyak warna lagi baik.

Adalah penting juga untuk mengurangkan pengambilan gula yang bertapis (gula putih). Apabila minum teh tarik, minta kurangkan gula atau kurangkan minum teh tarik.

Suplemen-suplemen nutrisi. Membekalkan pesakit diabetes dan pradiabetes dengan nutrien-nutrien penting terbukti dapat memperbaiki pengawalan gula di samping mencegah atau mengurangkan perkembangan komplikasi-komplikasi diabetes.

Contoh khusus nutrien-nutrien penting yang diperlukan oleh pesakit diabetes dan pradiabetes dengan jumlah yang lebih tinggi daripada yang terdapat dalam formula multivitamin dan mineral harian biasa – Vanadil Sulfat, Kromium, Biotin, vitamin B1, B6, B12, Niacinamide, vitamin C, vitamin E, Mangan, Zink dan Selenium.

Asid Alfa Lipoik (ALA) juga telah pun terbukti dapat memberi manfaat kepada pesakit diabetes, demikian juga kepada pesakit pradiabetes.

ALA telah digunakan lebih 30 tahun di Jerman untuk menentang kerosakan saraf termasuk retinopati (kerosakan retina) bagi mereka yang menderita diabetes (jenis 1 dan 2).

Kajian-kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa ALA mencegah diabetes bagi mereka yang berbadan gemuk dengan mengurangkan pengumpulan lipid dalam tisu lemak.

http://www.nccc.org.my/v2/index.php/nccc-di-pentas-media/2007/932-utusan-malaysia--diabetes-nasi-lemak-a-teh-tarik

Pemuda Derita Diabetes Kronik Akibat Minuman Berkarbonat


Diabetes kronik
BUKIT MERTAJAM – Tiada siapa menyangka seorang pemuda yang pernah mencapai berat badan 100 ki­logram (kg) suatu masa dahulu kini menderita akibat penyakit diabetes yang kronik.

Malah, Khairul Helmi Roslan yang baru berumur 25 tahun itu juga menderita penyakit berkenaan hanya kerana kegemarannya me­minum air berkarbonat sehingga menyebabkan dia kini kurus kering dengan berat badan hanya 36 kg.

Penyusutan mendadak berat badannya itu juga menyebabkan tiada lagi keceriaan pada wajah Khairul Helmi yang kini terpaksa menumpang kasih adik perem­puannya di Kampung Tok Panjang, dekat sini sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, sejak dua tahun lalu sebaik sahaja disahkan menghidap penyakit itu, selera makannya mula berkurangan dan berat badannya juga menyusut sehingga kurus kering.

Malah keadaannya amat menyedihkan kerana kadang-kala hanya mampu terlantar di rumah akibat penyakitnya itu dan terpaksa dipapah oleh adiknya, Nurul Athirah, 24.

“Dulu badan saya pernah mencecah 100 kg malah saya dikate­gorikan berbadan besar tapi sihat dan mampu bekerja sebagai operator kilang dekat Perai.

“Namun segalanya berubah pada 2012 apabila saya disahkan menghidap diabetes yang kronik menyebabkan berat badan menyusut serta kini hanya mampu terlantar di rumah dan dijaga oleh adik perempuan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Tambahnya, sejak ibu bapanya berpisah, ibunya, Rosmah Sulaiman, 44, berkahwin lain dan kini menetap bersama bapa tirinya dan hanya sesekali datang menjenguk­nya di rumah.

Jelas Khairul Helmi, biarpun sedih dengan nasib yang menimpanya namun, dia reda dan pasrah atas ketentuan itu.

“Kalau dapat diputar kembali masa, saya mahu kembali sihat macam dulu dan tinggalkan amalan buruk suka minum air berkarbonat yang menjadi punca penyakit ini,” ujarnya.

Sementara itu, rakannya, Mahazan Mohamad, 34, berkata, dia tidak menyangka Khairul Helmi menjadi kurus akibat menghidap penyakit yang kronik kerana menyangka rakannya itu selama ini mengamalkan diet.

“Memang saya terkejut apabila dimaklumkan yang dia menghidap diabetes kronik kerana saya sangka dia hanya berdiet. Apapun saya tetap akan berada di sisinya dan memberi sokongan agar dia kembali sihat.

“Selain itu saya berharap ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan kepada Khairul Helmi untuk membiayai rawatannya,” katanya. – UTUSAN

http://www.suara.tv/2015/06/27/pemuda-derita-diabetes-kronik-akibat-minuman-berkarbonat/

Seorang Daripada Lima Hidap Penyakit Diabetes

 Image result for diabetes

Oleh : NewsDesk
Tarikh Disiarkan : 05-May-2015

KUCHING, Isnin – Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, satu daripada lima rakyat Malaysia mengidap diabetes. Sarawak Indian Society ( SIS ) memulakan langkah proaktif menangani situasi ini dengan menganjurkan Seminar Kesedaran Diabetes pada Ahad, 10 Mei di bangunan Indian Association Kuching di Jalan Rock dari jam 8 pagi hingga 2 petang.

Di samping itu, sesi ujian darah, pengiraan Body Mass Index (BMI) dan sesi kaunseling berkenaan perubatan secara percuma untuk peserta turut dijalankan. Pendaftaran peserta adalah percuma dan seluruh masyarakat dijemput hadir. Penceramah seminar yang akan berkongsi tip dan pengalaman adalah wakil Malaysian Diabetes Association (MDA) bahagian Sarawak iaitu bekas pakar nutrisi berpengalaman di peringkat antarabangsa.

Turut dijemput ialah pakar diet dari Hospital Umum Sarawak, bekas pengarah hospital, dan guru yoga. Objektif utama penganjuran seminar ini adalah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya penyakit ini.

Hasil tinjauan Kementerian Kesihatan, mendapati 24.9 peratus pengidap diabetes adalah dari kalangan kaum India, diikuti 17 peratus Melayu, dan 13.9 peratus Cina. Menurut kenyataan daripada MDA, terdapat dua faktor umum yang menyumbang kepada diabetes iaitu cara pengambilan pemakanan yang salah dan kurangnya aktiviti bersenam. Namun, komplikasi penyakit ini boleh dicegah awal atau permulaannya dilewatkan dengan rawatan yang betul dan perubahan gaya hidup yang lebih sihat.

http://www.utusansarawakonline.com/news/24877/Seorang-daripada-lima-hidap-penyakit-diabetes/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...