Bapa Hidap Penyakit Punca Imran Ajmain Hilang Fokus

Diterbitkan: Rabu, 1 April 2015 5:01 AM



SUBANG JAYA: Penyanyi Imran Ajmain menjelaskan dia menyepi selama empat tahun dalam bidang nyanyian kerana tidak dapat memberi fokus apabila bapanya disahkan menghidap kencing manis.
Imran atau nama sebenarnya Imran Ajmain Ahmad Husaini Ajmain, 34, berkata, sepanjang tempoh bapanya sakit, dia banyak menghabiskan masa dengan menjaga bapanya sehinggalah lelaki itu meninggal dunia pada 5 Mac 2013.

"Apabila mendapat tahu ayah menghidap kencing manis saya tidak dapat memberikan fokus kepada kerjaya dan mengambil keputusan kembali ke Singapura untuk menjaga ayah dengan harapan dia dapat sembuh kembali tetapi Allah lebih sayangkannya," katanya kepada mStar Online.

Imran berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Setulus Kasih di Ruang, Subang Jaya, di sini, Selasa.

Ini merupakan album ketiga Imran yang memuatkan enam buah lagu baharu iaitu Hargailah Dia, Indah, Peluang kedua, Sederhana, Tiada Gementar lagi dan Setulus Kasih.


Imran tampil dengan album ketiga selepas empat tahun menyepi.
Imran sebelum ini pernah popular dengan lagu Seribu Tahun, Selamat Ulang Tahun dan Dikalung Kasihan.

Dalam pada itu, Imran berkata, selepas pemergian bapanya, dia mengambil keputusan untuk menetap di rumah kakaknya di Eropah selama enam bulan.

Jelas Imran, pemergiannya itu adalah untuk menenangkan fikirannya selain memulihkan semangat sebelum kembali ke Singapura.

"Ketika berada di sana saya banyak menghabiskan masa dengan keluarga terutamanya ibu saya yang masih bersedih dengan kematian ayah.

"Kami menetap selama enam bulan di rumah kakak untuk memulihkan semangat kami sebelum benar-benar bersedia untuk pulang," katanya.


Imran menggunakan khidmat komposer baharu untuk album terbaharunya.
Sementara itu, bercakap mengenai Setulus Kasih, Imran berkata, album tersebut turut mendapat kerjasama daripada beberapa komposer baharu yang telah disimpan sejak enam tahun lalu.

Katanya, sepanjang bergelar artis ramai yang menghantar lagu-lagu ciptaan mereka kepadanya dan memilih empat terbaik untuk dimuatkan dalam album terbaharunya itu.

"Daripada 100 koleksi saya cuma memilih empah lagu sahaja yang sedap didengar dan panggil mereka untuk ubah suai lagu tersebut menjadi lebih kormersial," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Imran akan menjelajah 15 lokasi termasuk Melaka, Kedah, Penang, Singapura, Ipoh, Kuching dan Kuala Lumpur bermula 18 April ini hingga 13 Jun depan untuk mempromosikan album berkenaan.

 http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2015/04/01/imran-ajmain-fokus/

Tom Hanks Derita Penyakit Kencing Manis

Diterbitkan: Khamis, 10 Oktober 2013 12:00 AM


Tom Hanks 
Tom Hanks

PELAKON popular Hollywood, Tom Hanks membuat pengakuan terbuka buat pertama kalinya yang dia sengsara akibat penyakit kencing manis - Sebahagian besarnya disumbangkan oleh peranan dan watak yang dibawanya dalam filem sejak 30 tahun lalu.

Penerima Anugerah Oskar itu memberitahu dia mengesan tanda-tanda diabetes sejak dua dekad lalu tetapi kini berada di tahap dua penyakit tersebut.

Hanks, 57, membuat pendedahan tersebut ketika ditemu ramah dalam program bual bicara David Letterman.

Penyakit kencing manis adalah sejenis penyakit hasil daripada kegagalan badan untuk menghasilkan insulin yang mencukupi bagi membolehkan badan manusia berfungsi dengan sempurna ekoran kegagalan badan untuk menukar glukos menjadi sumber tenaga.

Dalam konteks ini Hanks, mengakui peranan yang dimainkannya dalam pelbagai watak menjadi punca kepada penyakitnya itu.

Misalnya untuk watak dalam filem Philadelphia pada tahun 1993, sebagai seorang peguam yang menderita penyakit Aids, Hanks terpaksa menguruskan badan ke tahap yang paling ekstrem.

Watak tersebut membawa kepada kemenangannya sebagai pelakon terbaik dalam Anugerah Oskar.

Bagaimanapun kejayaan itu datang bersama risiko yang sangat besar. Setahun sebelum itu, ketika Hanks membawa peranan sebagai jurulatih besbol dalam drama League of Their Own, dia terpaksa menambah berat badan untuk kelihatan seperti watak sebenar jurulatih tersebut iaitu Jimmy Dugan.

Diet yang tidak sempurna ini telah menyebabkan dia menghidap penyakit kencing manis.

Pada tahun 2000 dalam filem Castaway, Hanks membawa watak Chuck Noland seorang eksekutif syarikat penghantaran barangan yang terkandas selama bertahun-tahun di sebuah pulau kecil di Laut Pasifik selepas pesawatnya terhempas.

Watak tersebut juga sekali lagi menuntut Hanks supaya kelihatan benar-benar kurus bagi menampakkan seorang yang tersadai di sebuah pulau terpencil tanpa manusia dan makanan harian yang sempurna.

Sementara itu, Tom Hanks kini disebut-sebut sebagai salah seorang pesaing terdekat untuk Anugerah Oskar menerusi lakonannya dalam filem Captain Phillips.

Meneyusi filem terbaharunya itu, Hanks membawa watak kapten sebuah kapal kargo yang cuba dirampas oleh lanun-lanun Somalia.

Pelakon popular itu juga mempunyai tujuh juta pengikut tetap dalam laman Twitter.
 
http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2013/10/10/tom-hanks-derita-penyakit-kencing-manis/

Mangsa Culik Minta Duit Beli Ubat Kencing Manis

Diterbitkan: Sabtu, 23 Mei 2015 1:25 PM

KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya tiga panggilan dibuat minggu lalu kepada keluarga dua rakyat Malaysia yang diculik oleh lelaki bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Sandakan.

Pemanggil meminta wang untuk membeli ubat kencing manis dan makanan untuk Thien Nyuk Fun, 50, dan Bernard Then Ted Fen, 39, yang diculik dari restoran makanan laut Ocean King di Sandakan pada 14 Mei lalu.

Thien yang merupakan ahli perniagaan, dikatakan seorang pesakit kencing manis.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata lelaki bersenjata yang mengaku menahan dua orang tawanan meminta wang untuk pembebasan mereka.

"Ya, tuntutan wang tebusan telah dibuat tetapi saya tidak dapat mendedahkan jumlah itu," katanya ketika ditemui di ibu pejabat polis negeri di sini pada Sabtu.

Jalaluddin berkata penculikan secara rambang itu menawan Thien dan Bernard di selatan Filipina, Jolo dan berpindah bagi mengelakkan dikesan pasukan keselamatan di sana.

Thien merupakan pemilik restoran popular di bandar Sandakan manakala Bernard adalah seorang perunding elektrik di Kemboja.
http://www.mstar.com.my/berita/berita-jenayah/2015/05/23/penculikan-di-sandakan/

Kawal Kencing Manis, Lindungi Buah Pinggang Anda

Image result for buah pinggang
Diterbitkan: Khamis, 11 Mac 2010 12:00 AM

HARI Buah Pinggang Sedunia 2010 (WKD) kali kelima yang berlangsung hari ini, 11 Mac akan merangkumi lebih 100 buah negara yang merentasi enam benua termasuk Malaysia.

Kempen WKD merupakan kempen kesedaran global yang memberikan fokus terhadap pripentingnya penjagaan buah pinggang serta bertindak sebagai medan terbaik kepada orang ramai bagi menjalani pemeriksaan buah pinggang.

Pemeriksaan itu bertujuan bagi mengetahui sama ada seseorang individu berisiko untuk menghidap penyakit buah pinggang atau sebaliknya.

Kempen tahun ini juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang kawalan penyakit kencing manis bagi menghindari daripada serangan penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Penyakit CKD itu akan berlaku apabila seseorang individu mengalami pembuangan albumin yang berlebihan dalam air kencing atau kemerosotan ketara dalam fungsi buah pinggang.

Sehingga kini, lebih daripada 500 juta penduduk dunia menderita akibat beberapa penyakit buah pinggang dan setiap tahun menyaksikan penduduk seluruh dunia mati akibat masalah buah pinggang yang berpunca daripada penyakit kencing manis.

Jika penyakit itu tidak dikawal pada peringkat awal sehingga boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, pesakit perlu menjalani rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang. Ekoran kesukaran untuk mendapatkan buah pinggang baru untuk proses pemindahan, ramai pesakit memilih kaedah rawatan haemodialysis atau peritonel dialysis.

Pihak kerajaan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan kini sedang giat mengenal pasti pesakit yang benar-benar memerlukan rawatan kerana negara kita telah mencatatkan seramai 20,000 pesakit dialisis.

Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF) yang melantik Datuk Chef Wan sebagai dutanya pada tahun ini mempunyai 23 buah pusat dialisis dan bertindak sebagai pembekal perkhidmatan dialisis utama di negara ini. NKF yang bukan sahaja memyediakan pusat dialisis telah maju setapak dengan memberi tumpuan kepada langkah-langkah bagi memupuk kesedaran awal kepada masyarakat tentang pencegahan penyakit buah pinggang.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengurus NKF, Datuk Dr. Zaki Morad Zaher, pendedahan awal dan terperinci mengenai kaedah rawatan yang sedia ada perlu diberikan kepada masyarakat supaya mereka dapat merancang kaedah yang sesuai dengan gaya hidupnya.

Tema sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2010 adalah "Kawal Kencing Manis- Lindungi Buah Pinggang Anda,". Di Malaysia, hampir 55 peratus daripada pesakit dialisis baru adalah penghidap kencing manis.

Penyakit kencing manis 2, yang tidak dapat dikesan sejak bertahun-tahun dahulu akhirnya dapat dikesan akibat pengambilan gula berlebihan tanpa kawalan.

Di Malaysia, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), Persatuan Nephrology Malaysia (MSN), dan Kementerian Kesihatan sekali lagi telah berganding bahu menganjurkan kempen kesedaran penjagaan buah pinggang peringkat kebangsaan pada Mac ini.

Bagi menjayakan kempen ini, NKF, MSN, dan MOH telah melancarkan unit pemeriksaan kesihatan bergerak NKF (NKF Life Check), iaitu dengan sebuah bas yang boleh memuatkan seramai 40 orang penumpang.

Perkhidmatan bas itu juga telah berada di Kota Bharu, Kelantan pada 6 Mac lalu dan bakal berada di Terengganu, Pahang dan Selangor untuk mengendalikan ujian saringan kesihatan secara percuma bagi orang awam.

Forum tersebut yang menyentuh mengenai penyakit buah pinggang dan penyakit kelenjar akan diadakan di negeri Terengganu, manakala pameran kesihatan buah pinggang dan kempen menderma organ pula akan berlangsung di semua lokasi sambuta WKD.

Di Kota Bharu, perasmian program akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, manakala di Kuala Terengganu pula akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar. Manakala di Pahang pula perasmian program akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Hoh Khai Mun.

Acara kemuncak kempen dan pemeriksaan kesihatan itu adalah acara perasmian sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2010 yang akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa, Hal-Ehwal Pekerja Ladang, Pembasmian Kemiskinan dan Masyarakat Penyanyang, Dr. Xavier Jayakumar di pusat Membeli belah One Utama pada 14 Mac ini.

 http://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2010/03/11/kawal-kencing-manis-lindungi-buah-pinggang-anda/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...