Apakah Nefropati Diabetes?

Assalamualaikum pembaca sekalian,

 

Nefropati diabetes adalah satu sindrom klinikal yang dicirikan oleh perkara-perkara berikut:
  • Berlaku albuminuria berterusan (> 300 mg / d atau> 200 μg / min) yang telah disahkan berlaku sekurang-kurangnya 2 kali 3-6 bulan.
  • Kemerosotan progresif dalam kadar penurasan glomerular (GFR).
  • Tekanan arteri darah menjadi tinggi .
Proteinuria mula-mula diiktiraf dalam kencing manis di akhir abad ke-18. Dalam tahun 1930-an, Kimmelstiel dan Wilson menyifatkan luka-luka klasik glomerulosclerosis nodular dalam penyakit kencing manis dikaitkan dengan proteinuria dan tekanan darah tinggi.

Menjelang tahun 1950-an, penyakit buah pinggang jelas diiktiraf sebagai komplikasi diabetes yang utama, dengan sebanyak 50% daripada pesakit yang menghidap diabetes lebih daripada 20 tahun akan mempunyai komplikasi ini.

Pada masa ini, nefropati diabetes adalah punca utama penyakit buah pinggang kronik di Amerika Syarikat dan lain-lain negara Barat. Ia juga merupakan salah satu komplikasi jangka panjang yang paling besar dari segi morbiditi dan kematian pesakit bagi individu yang mengidap diabetes. Diabetes juga merupakan punca paling utama ke atas 30-40% daripada semua kes penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESRD) yang berlaku di Amerika Syarikat.

Secara umumnya, nefropati diabetes akan didiagnosis selepas melihat kepada analisis rutin air kencing dan pemeriksaan rutin untuk mikroalbuminuria dalam rawatan diabetes. Pesakit yang mungkin mempunyai penemuan fizikal adalah mereka yang dikaitkan dengan pengidap diabetis mellitus.

Kajian yang telah disahkan mencadangkan agar dilakukan rawatan awal untuk menghalang permulaan nefropati diabetes atau penyakit buah pinggang disebabkan diabetes.

Pemeriksaan susulan yang dilakukan secara kerap adalah kunci penting dalam memastikan kejayaan dalam menguruskan nefropati diabetes..

http://buahpinggangsihat.com/diabetis/apakah-nefropati-diabetis/

Senaman Kawal Kencing Manis

 

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
     
“ADAKAH senaman hujung minggu selama dua setengah jam memberi kesan sama dengan bersenam 30 minit sehari yang dilakukan lima hari berturut-turut? Walaupun hanya bersenam satu atau dua kali, jumlah waktunya sama. Jadi, sepatutnya kesannya juga sama, bukan?” soal seorang teman.
Jawapannya: Tidak. Ini jawapan yang diberikan Ketua Jabatan dan Perunding Perubatan Kanan, Jabatan Perubatan Hospital Taiping, Dr Letchuman Ramanathan. Tidak kira perkara apa pun sama ada soal makan, amal ibadat mahu pun penjagaan kesihatan, yang penting ialah konsisten atau istiqamah; iaitu ia dilakukan secara berterusan; apatah lagi bagi mereka yang menghidap penyakit gaya hidup termasuklah kencing manis.

Kencing manis kini ancaman besar kepada penduduk dunia terutama di Asia; dengan gaya hidup kita hari ini dan semua orang berpeluang mendapat kencing manis kerana risikonya bertambah dengan peningkatan umur. Kajian Kesihatan dan Morbiditi 2006 mendapati 14.9 peratus rakyat negara kita yang berumur 30 tahun ke atas menghidap kencing manis berbanding hanya 8.3 peratus pada 1996.

Antara kaedah terbaik mengawal kencing manis ialah bersenam dan menjaga pemakanan. Ramai pakar kesihatan bersetuju senaman perlu dijadikan preskripsi iaitu ia perlu diambil (dilakukan) setiap hari; bukan untuk pesakit saja bahkan semua orang. Ini kerana senaman boleh mengurangkan risiko kencing manis sebanyak 66 peratus.


Jadi, kenapa perlu bersenam setiap hari dan tidak boleh ‘dikumpul’ untuk dilakukan pada hujung minggu? Menurut Dr Letchuman, kencing manis jenis 2 yang dihidapi 90 peratus pesakit disebabkan badan mungkin tidak menghasilkan cukup insulin (yang bertindak sebagai pengangkut gula dari dalam darah masuk ke sel) atau badan hilang sensitiviti terhadap insulin (keadaan ini dipanggil kerintangan terhadap insulin) dan mengakibatkan insulin tidak diguna dengan sebaik-baiknya. Kesannya, makin banyak gula terkumpul dalam darah.

“Bersenam mempunyai kesan legasi iaitu ia mampu mengurangkan kerintangan terhadap insulin dan kesan ini boleh berlanjutan sehingga 48 jam. Jadi, sensitiviti badan terhadap insulin meningkat dan boleh menggunakan insulin untuk mengangkut gula dari darah masuk ke dalam sel. Jadi, jumlah gula dalam darah akan menurun.

“Jika kita bersenam setiap hari, kesan legasi ini akan berterusan dan membolehkan paras gula darah sentiasa berada dalam julat normal. Inilah sebabnya kita tidak boleh tunggu hingga hujung minggu saja untuk bersenam. Setiap orang sepatutnya bersenam 30 minit sehari; lima hari seminggu atau jumlah terkumpul 150 minit seminggu jika ia dilakukan selang sehari,” katanya.

Menurutnya, perubahan gaya hidup dengan menjaga pemakanan dan bersenam boleh melengahkan kemunculan penyakit kencing manis terutama bagi golongan berisiko tinggi iaitu yang mempunyai ibu dan ayah penghidap kencing manis serta mempunyai masalah berat badan berlebihan.

“Peningkatan harga gula bukanlah perkara buruk, ia mempunyai manfaat tersirat. Ia secara tidak langsung menyedarkan kita semua untuk mengurangkan penggunaan gula dalam semua makanan dan minuman yang sekali gus membantu memudahkan kawalan penyakit.

“Sebenarnya kita tidak memerlukan gula. Ia hanyalah untuk memuaskan selera lidah. Badan masih boleh mendapatkan gula daripada sumber karbohidrat seperti nasi, mi, bihun, pasta, kentang, ubi dan semua makanan berkanji. Lebih lama badan terdedah kepada gula, makin banyak kerosakan yang berlaku pada tisu,” katanya pada bengkel Kawalan Glisemik dan Pengurangan Risiko Kardiovaskular anjuran GlaxoSmithKline (GSK) sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada 14 November setiap tahun.

Senaman membantu usaha mengawal kencing manis dengan:



  • Memperbaiki keupayaan badan menggunakan insulin;


  • Membakar lebihan lemak, sekali gus membantu mengurangkan berat badan. Pengurangan lemak badan akan meningkatkan sensitiviti badan terhadap insulin;


  • Memperbaiki kekuatan otot;


  • Meningkatkan ketumpatan dan kekuatan tulang;


  • Merendahkan tekanan darah;


  • Memperbaiki dan melancarkan aliran darah;


  • Mengurangkan paras kolesterol buruk dan meningkatkan kolesterol baik, sekali gus memberi perlindungan daripada penyakit jantung;


  • Mengurangkan tekanan dan merangsang penghasilan hormon yang membuat kita berasa tenang dan seronok.

    Dr Letchuman mengakui kencing manis adalah antara penyakit yang sukar dikawal di negara kita. Ada banyak faktor yang menyumbang kepada masalah ini seperti:


  • Pengambilan makanan yang berlebihan dan kurang bersenam;


  • Penyakit lewat dikesan. ramai tidak sedar mereka menghidap kencing manis kerana gejala awalnya tidak jelas. Ini menyebabkan 50 peratus pesakit lewat mendapatkan rawatan;


  • Pesakit bertindak merawat diri sendiri dengan mencuba pelbagai jenis ubat, rawatan alternatif dan persediaan tradisional;


  • Pesakit tidak mematuhi jadual pengambilan ubat; keberatan menjalani rawatan atau bimbang terhadap penggunaan insulin. Salah anggapan terhadap insulin menyebabkan ramai mencuba rawatan alternatif sedangkan insulin boleh membantu memperlahankan perkembangan penyakit;


  • Bimbang kesan sampingan ubat seperti dilihat pada pesakit lain. Pesakit tidak perlu gusar kerana ubat untuk setiap individu berbeza mengikut tahap penyakit masing-masing. Jika ada kesan sampingan, berbincanglah dengan doktor supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

    Senaman apakah yang baik untuk pesakit kencing manis? Pesakit boleh melakukan semua jenis senaman aerobik mengikut kemampuan mereka. Senaman yang paling mudah ialah berjalan kerana ia boleh dilakukan bila-bila masa dan di mana-mana saja hatta di dalam rumah.

    Bagaimanapun, jika anda tidak pernah bersenam, dapatkan nasihat doktor mengenai senaman yang sesuai untuk anda dan dalam keadaan bagaimana anda tidak boleh bersenam atau perlu berhenti bersenam.

    “Apabila doktor kata anda perlukan suntikan insulin, jangan panik dan takut. Suntikan insulin bukan bermakna penyakit anda sudah sampai ke peringkat akhir. Ia boleh memperlahankan atau melengahkan perkembangan penyakit.

    “Jika doktor mencadangkan anda mengambil suntikan insulin, cuba untuk seminggu dan lihat perubahan yang berlaku pada anda. Jika suka boleh teruskan dan jika tidak, boleh kembali kepada ubat.

    “Berdasarkan pengalaman, kebanyakan pesakit berkata kualiti hidup mereka lebih baik selepas mengambil suntikan insulin. Mereka juga tidak lagi kerap bangun malam untuk membuang air kecil,” katanya.

    Mengawal kencing manis bukan saja membuatkan anda lebih selesa, juga mengurangkan risiko mendapat:


  • Penyakit jantung;


  • Strok;


  • Penyakit mata yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan atau kebutaan;


  • Kerosakan saraf pada tangan, kaki atau bahagian lain badan. Ia juga antara punca utama kaki pesakit dipotong kerana apabila saraf rosak, pesakit hilang sensitiviti terhadap rasa sakit. Malah ia juga kerap mengakibatkan pesakit lelaki mati pucuk atau erektil disfungsi.


  • Kegagalan buah pinggang;


  • Penyakit gusi yang menyebabkan kehilangan gigi;

    Pengarah Yayasan Jantung Malaysia, Datuk Dr Khoo Kah Lin; berkata kencing manis yang bertambah teruk boleh memberi kesan buruk kepada salur darah yang menyebabkan pelbagai penyakit. Jika salur darah besar yang terbabit; ia boleh mengakibatkan strok, serangan jantung dan masalah pada kaki (antara penyebab kaki pesakit terpaksa dipotong).

    Kerosakan salur darah halus akibat kencing manis biasanya berlaku pada mata (retinopati diabetes atau kebutaan), kegagalan buah pinggang dan saraf pada kaki.

    “Serangan jantung adalah pembunuh utama di kalangan pesakit kencing manis. Pesakit kencing manis mempunyai risiko meninggal dunia dua hingga tiga kali lebih tinggi akibat serangan jantung berbanding orang normal. Oleh kerana ramai pesakit lewat berjumpa doktor, biasanya ketika kencing manis dikesan, mereka sudah mengalami pelbagai masalah salur darah yang meningkatkan risiko mendapat serangan jantung.

    “Selain pengambilan ubat, saya selalu beri preskripsi diet kepada pesakit kencing manis iaitu isikan separuh pinggan dengan sayur-sayuran, satu perempat untuk sumber karbohidrat (contohnya nasi, mi, roti) dan satu perempat lagi untuk sumber protein sama ada ikan, ayam atau daging,” katanya.

  • http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Senamankawalkencingmanis/Article/index_html

    Diabetes Tidak Membawa Maut - Diabetes Juvana

    DIABETES tidak membawa maut secara segera, tetapi pengidapnya akan terus menderita....

    Lazimnya, pesakit Diabetes akan mengalami kehidupan yang tidak sempurna dan makanan manis menjadi pantang utama. Mereka juga sentiasa terdedah kepada pelbagai masalah lain yang lebih mudharat jika penyakit ini dibairkan berterusan. Pengidap Diabetes yang membiarkan keadaan berpanjangan bakal berhadapan dengan; Kudung Kaki, Buta Penglihatan. Mati Pucuk, Pembuluh Tersumbat, Jantung Lemah, Angin Akhmar! Waspadalah!

    Diabetes Juvana - Takrif

    Diabetes Mellitus (Juvana) adalah satu gejala metabolisma yang tidak mengikut peraturan lazim tubuh, menyebabkan paras gula lebih tinggi yang tidak sepatutnya berlaku. Keadaan ini disebabkan kelemahan Pankreas gagal atau tidak cekap menghasil atau merembeskan INSULIN.

    Penerangan Kejadian Diabetes Juvana

    Setelah seorang itu makan, sebahagian daripada makanan yang diambil akan diruntuhkan kepada gula (glukosa). Gula ini kemudiannya akan memasuki saluran darah untuk dihantar kepada seluruh sel tubuh melalui sejenis hormon - INSULIN yang dirembeskan oleh Kelenjar Pankreas.

    Lazimnya, kelenjar pankreas akan menghasil dan merembeskan insulin dengan kadar yang sesuai mengikut kadar sama banyak untuk mengiringi penghantaran gula. Bagaimanapun, bagi seorang pengidap diabetes, pankreasnya samada; a) tidak menghasilkan insulin atau b) kurang merembeskan insulin atau c) sel tubuh sendiri tidak bertindak balas dengan insulin seperti lazimnya. Justeru, kadar gula di dalam darah akan meningkat lebih tinggi dan kemudiannya akan melimpah ke dalam air kencing, dibuang dari tubuh tanpa digunakan.

    Jika keadaan ini berlarutan dan berpanjangan, Diabetes akan menyebabkan banyak kerumitan besar lain melibatkan organ penting seperti mata, ginjal, jantung, saraf, pembuluh dan sebagainya.

     
    http://myshape.my/default.asp?id=1&ACT=5&content=2&mnu=1

    Diabetes Boleh Sebabkan Penyakit Jantung

    Hampir 70 peratus kematian pesakit jantung berpunca daripada diabetes


    LEBIH BERISIKO...wanita lebih mudah mendapat jangkitan penyakit apabila mempunyai diabetes

    JIKA anda menghadapi masalah berat badan berlebihan, kurang bersenam, mempunyai ibu bapa berpenyakit kencing manis, kerap membuang air dan sentiasa letih, anda sepatutnya melakukan sesuatu atau berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan.

    Ini kerana semua yang disebutkan petanda awal anda bakal menghidap penyakit kencing manis.

    Menurut Pakar Perubatan dan Perunding Endokrin, Fakulti Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin, penyakit diabetes tidak boleh dipandang ringan kerana kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada 1996 menunjukkan pesakit diabetes berumur 18 tahun ke atas meningkat peratus kepada 11.5 peratus pada 2006.

    Satu daripada tujuh orang dewasa berumur 30 tahun ke atas pula penghidap diabetes malah lebih memeranjatkan apabila kanak-kanak berusia enam tahun adalah pesakit diabetes termuda di Malaysia.

    "Daripada statistik ini sepatutnya seluruh rakyat Malaysia mempunyai tahap kesedaran tinggi mengenai bahaya penyakit ini dan mula mendapatkan rawatan apabila mempunyai tanda seperti kerap buang air, mudah letih serta demam," katanya.

    Menurut Dr Nor Azmi, diabetes berlaku apabila badan mengeluarkan terlalu sedikit insulin atau insulin dikeluarkan tidak berkesan. Ini akan mengakibatkan paras gula dalam darah tidak normal dan jika dibiarkan menyebabkan komplikasi yang serius.

    "Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan dalam pankreas. Ia berfungsi mengekalkan gula dalam darah pada paras normal dan membantu mengeluarkan glukosa memasuki sel badan. Akibat kandungan insulin tidak mencukupi atau tidak berkesan dalam kalangan pesakit diabetes, gula tidak dapat memasuki sel badan dan ia kekal dalam darah menyebabkan paras gula dalam darah meningkat.

    "Sebab itu penghidap kerap kencing dan rasa letih serta mudah mendapat jangkitan kuman pada buah pinggang, kulit serta paru-paru," katanya.

    Terdapat dua jenis diabetes iaitu bergantung pada insulin dan tidak bergantung pada insulin. Diabetes yang bergantung pada insulin sering berlaku kepada kanak-kanak atau remaja.

    Rawatan hanya boleh dikawal menerusi suntikan insulin, kawalan pemakanan dan senaman. Biasanya pesakit mempunyai ahli keluarga penghidap diabetes.

    Jenis kedua atau tidak bergantung pada insulin selalunya berlaku dalam kalangan orang dewasa berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai berat badan berlebihan. Rawatan dilakukan menerusi kawalan makanan, senaman atau gabungan pemakanan, senaman dan ubat. Biasanya berlaku kepada individu yang mempunyai ahli keluarga menghidap diabetes.

    Sama ada pesakit menghidap diabetes atau sebaliknya, menurut Dr Nor Azmi, setiap individu perlu membuat pemeriksaan awal ini kerana menerusi ubat-ubatan, diabetes boleh dikawal. Ramai tidak tahu diabetes boleh membawa kepada penyakit jantung yang menyebabkan kematian awal malah kebanyakan penghidap sakit jantung yang meninggal pada usia muda selalunya mempunyai diabetes.

    "Hampir 70 peratus kematian disebabkan sakit jantung dan berpunca daripada diabetes. Ini kerana penyakit jantung hanya berlaku apabila usia meningkat 50 tahun ke atas.

    "Namun, jika seseorang itu mempunyai diabetes dan sakit jantung dia mempunyai peratusan yang lebih tinggi untuk meninggal dunia pada usia muda. Begitu juga dengan kematian disebabkan penyakit buah pinggang semakin meningkat disebabkan diabetes," katanya.

    Katanya, kajian yang dijalankan pada 2008 oleh lima universiti di Malaysia mengenai Sindrom Metabolik di Malaysia dalam kalangan masyarakat Melayu menunjukkan 50 peratus pesakit diabetes berpendapatan bulanan RM500 saja.

    "Bayangkan bagaimana pesakit diabetes yang berpendapatan rendah ini menjalani rawatan sedangkan kos untuk rawatan bernilai ribuan ringgit. Ini juga memberi implikasi kepada ekonomi negara kerana rawatan membabitkan penyakit jantung, buah pinggang dan kencing manis memerlukan kos yang besar. Justeru secara tidak langsung, ia akan memberi bebanan kepada ekonomi negara," katanya.

    Menurut Dr Nor Azmi, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah menukar minda serta persepsi masyarakat supaya penghidap penyakit ini mendapatkan rawatan awal. Jangan tunggu sehingga sudah sampai ke peringkat serius atau apabila kaki sudah perlu dipotong baru berjumpa doktor.

    Apabila berada pada tahap ini sukar untuk pakar perubatan merawat atau mengurangkan masalah yang berlaku.

    Katanya, berbanding lelaki yang kuat ketahanan badan, wanita lebih mudah mendapat jangkitan penyakit apabila menghidap diabetes. Justeru kebanyakan wanita mudah diserang sakit buah pinggang, jantung dan masalah lain apabila menghidap diabetes.

    Bagi wanita yang mendapat diabetes ketika mengandung, menurut Dr Nor Azmi, ini berlaku disebabkan perubahan hormon dan faktor pemakanan. Bagaimanapun, wanita mengandung tidak boleh mengambil mudah perkara ini kerana ia petanda awal kemunculan diabetes apabila mereka berusia 40-an.

    "Wanita mengandung yang menghidap diabetes apabila tidak dikawal akan menyebabkan keguguran, terencat pembesaran dan berkemungkinan mengalami masalah jantung berlubang. Malah bayi akan membesar secara tidak normal di dalam kandungan yang akan menyebabkan kesukaran ibu melahirkan anak secara normal," katanya.

    Menurut kajian, satu daripada tiga bayi akan mendapat diabetes sekiranya mempunyai ibu penghidap penyakit itu, satu daripada empat bayi akan mendapat kencing manis jika bapanya mempunyai penyakit itu dan sekiranya kedua-duanya mempunyai penyakit berkenaan enam daripada tujuh bayi berkemungkinan mendapatnya.

    Cara mencegah dan mengawal diabetes adalah dengan mengawal pemakanan kepada makanan sihat dan berkhasiat. Ambil makanan seimbang mengikut piramid makanan yang disyorkan Kementerian Kesihatan.

    "Pada masa sekarang rakyat Malaysia lebih memberi penekanan kepada makan malam dengan mengabaikan sarapan dan mengurangkan makan tengah hari. Corak pemakanan ini salah, sepatutnya individu melebihkan sarapan, mengambil makan tengah hari serta mengurangkan makan malam. Ini kerana makanan yang dimakan pada waktu malam akan bertukar menjadi lemak disebabkan tiada aktiviti fizikal dilakukan. Kebanyakan mereka akan tidur dan menonton televisyen selepas makan malam," katanya.

    Diabetes boleh dikawal jika individu mengamalkan cara hidup sihat dengan bersenam setiap hari. Namun, sering kali alasan tidak sempat, banyak kerja atau tiada masa diberikan kebanyakan warga kota. Sekiranya terikat dengan tugasan pejabat sehingga ttidak dapat bersenam, sepatutnya individu mengambil peluang membuat pergerakan fizikal dalam tugasan harian. Misalnya menukar amalan dengan menaiki tangga setiap hari, banyak berjalan atau bagi wanita lakukan kerja rumah yang boleh mengeluarkan peluh walaupun kerja itu boleh dilakukan pembantu rumah.

    Penjagaan kesihatan awal kepada kanak-kanak sangat membantu mengurangkan obesiti yang menjadi punca kepada masalah ini. Ibu bapa perlu membuang tanggapan anak terlalu kurus tidak cantik dan comel justeru ibu bapa memberi makan secara berlebihan sehingga mengalami masalah berat badan.

    "Apa yang penting ibu bapa perlu mengawal pemakanan anak-anak. Biarlah anak itu kurus asalkan dia sihat dan aktif. Jangan kerana mahukan anak yang comel dan besar sehingga membiarkan anak makan apa saja. Pemakanan yang sihat bermula dari rumah. Oleh itu ibu bapa perlu menetapkan apa yang perlu dimakan anak.

    "Misalnya menyediakan makanan berkhasiat dengan melebihkan makanan bervitamin dan berprotein seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Memberi air kosong dan mengurangkan air bergula dan berkarbonat. Memberi makanan yang dimasak sendiri untuk mengelak makanan segera, bercoklat, berlemak dan bergula secara berlebihan.

    "Sekiranya ibu bapa tidak menjaga pemakanan anak sejak kecil, berkemungkinan mereka akan mendapat obesiti apabila dewasa," katanya.

    Fakta angka

    * Kaum India paling ramai mendapat diabetes iaitu 19 peratus diikuti Melayu 12 peratus dan Cina 11 peratus (Kajian pada 2006 oleh Kementerian Kesihatan).

    * Kira-kira 70 peratus daripada pesakit jantung yang meninggal adalah penghidap diabetes, ini bermakna enam daripada 10 pesakit jantung adalah penghidap diabetes.

    * Kira-kira 40 peratus penghidap diabetes tidak mengalami masalah berat badan, tetapi disebabkan keturunan dan kurang bersenam.

    * Kira-kira lima peratus daripada wanita mengandung akan mendapat diabetes.

    * Kanak-kanak yang tidak menjaga pemakanan 50 peratus daripadanya akan mengalami masalah berat badan dan satu daripada tiga kanak-kanak akan mendapat diabetes pada usia muda.

    * Negeri Sembilan mencatatkan penghidap diabetes tertinggi iaitu 15 peratus manakala terendah Sabah dan Sarawak sebanyak enam peratus.

    * Sekiranya masyarakat Malaysia menukar corak pemakanan, diabetes hanya dapat dikurangkan dalam jangka masa 20 tahun lagi.

    * Kira-kira 22 peratus pesakit diabetes bukan kakitangan kerajaan, 50 peratus hanya berpendapatan RM500 sebulan saja.
    Source : Harian Metro
    By : Siti Zarinah Sahib
    15 Nov 2010 http://www.harum.com.my/female.php?id=614
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...