Menewaskan Diabetes Dari Akar Umbi


Menewaskan diabetes dari akar umbi
Penularan diabetes lebih ketara dalam kalangan orang dewasa yang menghidap penyakit arteri koronari dan juga kardiomiopati diabetes. - Gambar hiasan

BAGI pesakit diabetes (kencing manis), penyakit kardiovaskular merupakan satu kebimbangan besar kerana ia menjadi punca utama kematian dan kehilangan upaya dalam kalangan mereka – dua daripada tiga pesakit diabetes meninggal dunia, sama ada disebabkan sakit jantung atau strok (angin ahmar).

Malah, penularan penyakit diabetes di Malaysia kini semakin membimbangkan, hingga menjejaskan 1 dalam 5 orang dewasa berumur 30 tahun dan ke atas, menjadikan bilangan penghidap dewasa mencecah 3.6 juta. Penularan diabetes lebih ketara dalam kalangan orang dewasa yang menghidap penyakit arteri koronari (CAD) dan juga kardiomiopati diabetes, iaitu dua keadaan kardiovaskular yang dikaitkan dengan kemaraan diabetes.

Kini diabetes dengan tersendiri dianggap sebagai faktor risiko paling tinggi bagi penyakit jantung. Malah, diabetes adalah risiko tinggi yang setara dengan penyakit jantung koronari (CHD) – pesakit diabetes mempunyai risiko CHD 10 tahun setinggi 20 peratus. Jika tidak dikawal dengan sewajarnya, diabetes boleh menjadi permulaan lebih banyak komplikasi yang akan berlaku. Kemungkinan pesakit diabetes mendapat penyakit jantung bukan sahaja dua kali ganda, malah mereka juga boleh menghidap penyakit jantung pada usia lebih muda daripada orang yang tidak menghidap diabetes.

Pembunuh senyap diabetes

Penyakit arteri koronari (CAD) adalah komplikasi makrovaskular diabetes, merujuk kepada penyempitan arteri dalam jantung disebabkan enapan lemak, dinamakan plak. Kepecahan mengejut plak kolesterol adalah punca umum, terutama sekali dalam kalangan pesakit diabetes yang juga mengalami dislipidemia, mengakibatkan sekatan arteri dan mengundang serangan jantung atau strok. Hiperglisemia (glukosa darah tinggi) dan rintangan insulin, dua mekanisme yang menentukan diabetes jenis 2, memacu proses aterosklerosis (pengecilan saluran arteri akibat pembentukan plak di bahagian dalam dinding arteri). Hiperglisemia boleh merosakkan bahagian badan, termasuk saluran darah. Apabila ini berlaku, bekalan darah berkurangan atau terputus, mengakibatkan serangan jantung.

Walaupun teknologi dan strategi membolehkan diagnosisi CHD di peringkat lebih awal dalam kalangan pesakit diabetes, hakikatnya pesakit diabetes tetap mengalami kesakitan iskemik tumpul yang meningkat, selalunya mengakibatkan iskemia senyap atau infarksi miokardial senyap (atau serangan jantung). Gejala jantung dalam kalangan pesakit diabetes selalunya terselindung, mengakibatkan terlepas atau terlewat diagnosis serangan jantung, dengan demikian terlepas peluang untuk rawatan pemvaskularan semula dengan segera.
Bagaimanapun, dalam banyak kes, punca kegagalan jantung dalam kalangan pesakit diabetes mungkin tiada kaitan dengan trombosis (pembentukan darah beku). Kardiomiopati diabetes adalah perubahan yang dikaitkan dengan diabetes dalam struktur dan fungsi otot jantung yang bukan berpunca secara langsung daripada sebarang penyakit kardiovaskular lain, seperti CAD atau hipertensi.

Kehadiran komorbiditi seperti sindrom metabolik (kombinasi hipertensi, dislipidemia dan obesiti tidak normal), tabiat merokok dan ketiadaan aktiviti fizikal memperkuat penularannya. Dalam kes kardiomiopati diabetes, perubahan struktur dan fungsi yang berlaku termasuk hipertrofi ventrikular kiri (LV), yang meningkatkan kemungkinan berlaku kecederaan iskemia dan kemungkinan secara keseluruhan mengalami kegagalan jantung. Justeru, pesakit diabetes mudah mengalami kegagalan jantung walaupun pada peringkat awal penyakit.

Kesan, rawat komplikasi lebih awal

Pada zaman sekarang, kemajuan dalam rawatan perubatan dan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan pesakit diabetes membolehkan diagnosis CHD penghidap diabetes dibuat pada kadar jauh lebih cepat. Alat diagnostik yang lebih canggih dengan ketepatan lebih tinggi kini boleh didapati secara meluas untuk mengesan aterosklerosis dan gejala awal CHD secara lebih awal, bagi membolehkan intervensi awal, mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti (kadar penyakit dan kematian), dan juga menambah baik kualiti hidup.

Sebagai contoh, elektrokardiografi (ECG) rehat adalah alat yang biasa digunakan untuk mengesan infark miokardiumiskemia (MIs) akut atau lama, dan juga aritmia. Untuk menentukan tahap plak aterosklerosis, ujian fungsi (seperti ECG stres, ekokardiografi stres, imbasan radionuklidastres atau imbasan MRI stres), adalah alat yang berguna untuk mengesan sekatan besar hemodinamik (ditakrifkan sebagai lebih 50 peratus penyempitan saluran darah) yang mewajarkan pemvaskularan semula (angioplasti dan pemasangan stent, atau CABG).

Pelancaran pengimbas koronari Tomografi Berkomputer Berbilang Hirisan atau Multislice Computed Tomography (MSCT) dalam beberapa tahun kebelakangan telah banyak mengubah landskap pengesanan dan pengurusan CHD. Angiografi koronari MSCT adalah satu teknik bukan invasif yang membolehkan pengesanan awal CHD, seperti stenosis (penyempitan) koronari. Dengan resolusi ruang dan waktu yang lebih tinggi, MSCT membolehkan pengesanan plak secara lebih boleh dipercayai dan lesi sekatan ketara. Dengan kadar ketepatan pengesanan terbukti 99 peratus, teknologi ini memberi peluang untuk intervensi awal dan memberi kesan terbaik dalam jangka panjang.

Pada masa lepas, terdapat kebimbangan terhadap risiko kanser yang dikaitkan dengan radiasi angiogram koronari tomografi berkomputer (CT), tetapi kemajuan perubatan telah mengubah keadaan. Dengan pengimbas CT terbaharu (pengimbas CT Flash Speed Dual Source Siemen 256 slice) di Sunway Medical Centre, angiogram koronari CT mengeluarkan radiasi yang sangat rendah – kurang dari 10 milisievert (bersamaan 10 X-ray abdomen). Secara keseluruhan, ia adalah alat imbasan yang baik bagi CHD.

http://www.sinarharian.com.my/rencana/menewaskan-diabetes-dari-akar-umbi-1.335907

Sihat, Belum Tentu 'Bebas' Diabetes

Image result for healthy

SUATU yang agak menyedihkan, apabila masih ramai di luar sana begitu yakin terselamat daripada menghidap diabetes atau kencing manis, penyakit yang sering kali dikaitkan puncanya dengan pengambilan gula berlebihan.

Keyakinan itu juga menyebabkan mereka mula mengambil sikap sambil lewa mengenainya serta komplikasi daripada penyakit itu yang berpotensi menjejaskan kehidupan seseorang individu.

Mereka juga terus mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti pengambilan diet tidak seimbang walaupun menyedari semua itu akan menambah risiko menghidap penyakit kronik yang begitu membimbangkan ini.

Semuanya, kerana merasakan tubuh badan mereka 'sihat' dan tidak mengalami sebarang kesakitan yang boleh dikaitkan puncanya dengan diabetes.

Akan tetapi, adakah benar rasa sihat dan yakin itu bererti anda betul-betul 'bebas' daripada penyakit yang juga dikenali sebagai pembunuh senyap ini?.


SAYA SIHAT!
   

"Silap, kerana tanpa disedari anda mungkin penghidap diabetes," kata Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Perubatan, Perunding Kanan Endokrinologi, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Mafauzy Mohamed.

Dianggarkan kira-kira 50 peratus daripada mereka yang ada penyakit ini tidak mengetahui sedang menghidap kencing manis.

Ini susulan pesakit tidak mengalami sebarang tanda peringkat awal sehingga membuatkan mereka terus selesa dan tidak melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Mereka rasa sihat seperti orang biasa sehinggalah mula mengalami simptom-simptom seperti letih lesu, kerap kencing, berkali-kali rasa dahaga dan susut berat badan.

Keadaan ini, agak membahayakan kerana penyakit diabetes ibarat pembunuh yang bersembunyi dan akan muncul apabila ia sudah tidak terkawal.

"Biasanya, seseorang pesakit telah ada diabetes lebih kurang lima tahun sebelum mereka dapat tanda-tanda penyakit itu. Mereka harus sedar bahawa walaupun tidak ada tanda, tetapi kalau paras glukos darah tinggi, mereka berisiko mendapat komplikasi diabetes pada kemudian hari.

"Adalah lebih baik mengawalnya dari awal supaya tidak mendapat komplikasi yang akan menyusahkan mereka dan berisiko maut," katanya.

Antara sebab kelenjar pankreas tidak mengeluarkan insulin yang cukup bagi mengawal paras gula dalam darah adalah disebabkan faktor genetik (keturunan), lanjut usia, kegemukan dan kemusnahan sel pembuat insulin.


TREND MEMBIMBANGKAN
 
Terdapat dua jenis diabetes iaitu jenis 1, merujuk kepada ketiadaan hormon insulin langsung dalam badan manakala jenis 2, badan tidak mengeluarkan hormon insulin secukupnya untuk mengawal paras gula dalam darah.

Kebiasaannya, diabetes jenis 1 yang juga sebelum ini dikenali sebagai 'diabetes juvenil' tidak dapat dielakkan berikutan ia faktor genetik.

Mereka mewarisinya daripada ibu bapa dan selalunya akan didiagnos menghidap diabetes jenis ini sejak kecil mahupun ketika meniti dunia remaja.

Bagaimanapun, komuniti ini tidak menggusarkan kerana peratusan mereka kecil tidak melebihi 10 peratus. Paling membimbangkan negara ketika ini adalah trend peningkatan diabetes jenis 2, yang mana faktor penyumbangnya boleh dikawal tetapi tidak diambil perhatian jitu oleh masyarakat.

"Selain faktor genetik, penyumbang utama diabetes jenis ini adalah disebabkan gaya hidup moden yang sering kali dikaitkan persekitaran kehidupan tidak sihat dan tidak aktif.

"Diabetes jenis 2 adalah paling lazim dan menyumbang kepada 90 peratus kes penyakit ini di seluruh dunia," katanya kepada Bernama.

 
SELURUH DUNIA
 
Kebimbangan terhadap penyakit kronik ini tidak hanya kepada negara malahan meliputi seluruh dunia apabila turut sama terasa terancam dengan peratusannya yang meningkat setiap tahun.

Kajian oleh International Diabetes Federation 2013 (IDF) mendapati sebanyak 382 juta manusia hidup dengan penyakit ini di seluruh dunia dan dijangka jumlahnya akan melonjak kepada 592 juta orang pada tahun 2035.

Di Malaysia jumlah penghidap diabetes juga agak membimbangkan. Menteri Kesihatan Datuk Seri S.Subramaniam dipetik sebagai berkata pada tahun 2013, jumlah penghidap diabetes mengalami peningkatan kepada 2.6 juta penghidap atau 15 peratus daripada jumlah penduduk negara ini berbanding pada tahun 2000 kira-kira 0.94 juta penghidap.

Melihat senario ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil langkah memansuhkan subsidi gula bagi menggalakkan kehidupan sihat selain bertujuan memerangi penyakit kronik ini.

Biarpun pada awalnya tindakan ini dianggap tidak rasional dan membangkitkan rasa ketidakpuasan hati masyarakat, namun ia dilihat wajar berikutan semakin ramai cenderung kepada pengambilan gula tanpa kawalan.


KOMPLIKASI MENAKUTKAN
 
Peningkatan statistik ini juga disebabkan semakin ramai mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti yang dikenalpasti antara punca diabetes.

Di Malaysia, 82 peratus pesakit diabetes jenis 2 dikategori sama ada mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

"Ramai yang sedar sebab-sebab penyakit ini, tetapi mereka tidak mengambil tindakan mengurangkan pengambilan makanan atau meningkatkan aktiviti fizikal bagi mencegah atau mengawal diabetes," kata Dr Mafauzy.

Walhal pengurusan berat badan yang berkesan amat penting terutama bagi pesakit diabetes jenis 2 kerana jika terlebih atau obes, pengawalan paras glukosa darah akan menjadi lebih sukar.

Lantaran itu, sikap dan mentaliti yang tidak kisah dengan penyakit ini dan komplikasinya harus diubah kerana boleh membahayakan nyawa apabila ia tidak terkawal.

Diabetes tidak terkawal berpotensi menyerang organ lain secara senyap sehingga mendatangkan komplikasi yang akhirnya membuatkan mereka berhadapan trauma sepanjang hayat ataupun mengakibatkan maut.

"Komplikasi diabetes bergantung kepada berapa lama paras glukos darah tinggi dan berapa tinggi paras glukos darah. Makin lama pesakit berada dalam situasi paras glukos darah tinggi, maka makin tinggi risiko dia mendapat komplikasi.

"Diabetes tidak terkawal akan menyebabkan kerosakan saluran darah, mata, buah pinggang, saraf dan kaki. Ini juga akan menyebabkan sakit jantung, strok, kurang penglihatan atau buta, kehilangan deria rasa dan kaki terpaksa dipotong," jelas Dr Mafauzy.

  
TANYA DIRI ANDA
   
Hakikat ini, mengasak akan keperluan mengamalkan budaya pemakanan seimbang, mengawal pengambilan gula serta mengaplikasikan persekitaran hidup yang sihat.

Apatah lagi, penyakit ini tidak ada penawarnya tetapi boleh dicegah atau bertahan dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Ketika ini, rawatan diabetes selain daripada amalan pemakanan betul dan meningkatkan aktiviti fizikal adalah ubat-ubatan dan suntikan, kata Dr Mafauzy.

"Diabetes jenis 1 memerlukan suntikan insulin kerana mereka tiada insulin langsung yang dikeluarkan oleh pankreas. Jenis 2 pula boleh dirawat dengan ubat-ubatan yang boleh membantu insulin yang ada dalam badan mengawal paras glukos darah," katanya. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/rencana/sihat-belum-tentu-bebas-diabetes-1.284289

Stevia: Berita Baik Untuk Diabetes

Sebelum ni Mak Long pernah bercakap tentang Splenda sebagai pengganti gula dalam makanan. Hari ini Mak Long nak bercerita teng stevia pulak. Berbanding Splenda, stevia lebih mudah didapati di Malaysia. Bagaimana pun Mak Long masih belum berpengalaman lagi dalam masakan Mak Long, jadi jom kita teroka sama-sama.
Kembang stevia rebaudiana - ihsan Wikipedia

Stevia berasal dari sejenis herba bernama Stevia rebaudiana yang juga dikenali sebagai sugarleaf/sweetleaf atau daun manis. Ekstrak steviol glycoside yang didapati dari tumbuhan ini mengandungi kemanisan 300 kali lebih tinggi dari gula. Oleh kerana stevia tidak memberi kesan negatif terhadap kadar gula dalam darah, ia sangat sesuai untuk pengidap diabetes. Stevia kini menjadi semakin popular di kalangan pengamal diet rendah karbohidrat.

Malaysia kini adalah salah sebuah negara yang sudah mengusahakan stevia sebagai tumbuhan makanan. Sebagai pemanis stevia tidak mempunyai rasa pahit yang biasa terdapat dalam bahan pemanis lain seperti saccharin atau cyclamate. Selain pemanis seperti Equal stevia, Mak Long dapati banyak juga produk berunsurkan stevia yang kini terdapat di pasaran Malaysia. Ini termasuklah sirap kordial yang telah dimaniskan dengan stevia seperti produk Stevia Sweet. Ini cukup baik untuk pengidap diabetes terutama di saat menghampiri hari raya.

Setakat ini Mak Long sudah pernah menggunakan stevia untuk memperisakan masakan bagi menggantikan gula tapi Mak Long masih lagi mencari cara untuk menggunakan stevia untuk membuat kuih-muih. Sesiapa yang berpengalaman dan pernah menggunakan stevia dalam pembuatan kuih-muih harap dapat dikongsikan disini untuk kebaikkan bersama ya..

http://maklongskitchen.wordpress.com/2011/08/18/stevia-berita-baik-untuk-diabetes/

Kesan Gula Terhadap Kesihatan

 

Walaupun gula banyak kegunaannya kepada kita, tetapi kita masih perlu berwaspada terhadap kesan penggunaannya kepada kesihatan. Di sini saya senaraikan kesan-kesan gula terhadap kesihatan manusia:-

1)  Meningkatkan risiko berlebihan berat badan dan obesiti. Seterusnya mendorong kepada masalah kencing manis / diabetes dan penyakit jantung.
2)  Mengakibatkan gangguan gastrousus.
3)  Menggalakkan pembentukan karies gigi.
4) Mengakibatkan kekurangan nutrien kerana kecenderungan individu yang mengambil berlebihan gula menggantikan makanan lain yang lebih berkhasiat.

Oleh itu, marilah kita mengurangkan penggunaan gula dalam makanan dan minuman kita seharian. Ini adalah untuk menjaga kesihatan tubuh badan kita juga.

http://kimirekonen.com/2010/08/11/kesan-gula-terhadap-kesihatan/
gambar: http://www.istockphoto.com/file_thumbview_approve/2503670/2/istockphoto_2503670_happy_tooth.jpg
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...