Global: Diabetes Landa China


DALAM tempoh 30 tahun, penduduk China melalui perubahan yang banyak - daripada selalu tidak cukup makan kepada bimbang saiz pinggang yang semakin berkembang. Ini membuatkan sistem penjagaan kesihatan di negara itu terpaksa berusaha keras untuk mengekang peningkatan penyakit ‘orang kaya’ seperti diabetes.

Lonjakan kos penyakit kronik akan memperlahankan usaha China untuk menawarkan penjagaan kesihatan asas kepada 1.4 bilion penduduknya. Menurut laporan yang disiarkan dalam jurnal perubatan, The Lancet, satu daripada lapan keluarga di China dibebani dengan perbelanjaan kesihatan yang mahal.

Pembaharuan semula penjagaan kesihatan diperlukan untuk menseimbangkan ekonomi kerana penduduk China menyimpan sedikit pendapatan mereka berikutan bimbang jika mereka sakit teruk.

Tetapi beban penyakit kronik boleh menjadi semakin tinggi kerana kini penduduk China bukan saja makan lebih banyak malah hidup lebih lama. Diabetes atau kencing manis contohnya kini menyerang hampir 10 peratus orang dewasa di China - jumlah yang hampir sama dengan jumlah pesakit di Amerika Syarikat - peningkatan satu peratus berbanding 1980.


“Dalam tempoh 20 tahun, semakin ramai orang menghidap diabetes tetapi hanya kini ia muncul dalam sistem penjagaan kesihatan China,” kata Dr Tong Xiaolin, Naib Presiden Hospital Guanganmen di Beijing yang merawat berpuluh pesakit pada setiap hari Isnin.

“Jumlah pesakit diabetes semakin banyak, membanjiri sistem penjagaan kesihatan di sini. Dalam 10 tahun akan datang, lebih banyak wang perlu dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan pesakit diabetes,” katanya.

Berdasarkan Pusat Pengajian Kesihatan Awam Singapura dan Fakulti Kesihatan Awam Harvard, perbelanjaan penjagaan diabetes di China pada 2011 mencecah RM51 bilion tetapi jumlah yang dianggap kecil jika dibandingkan dengan RM1,735 bilion yang dibelanjakan di seluruh dunia.

Ia mewakili hampir lima peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan penjagaan kesihatan di China tetapi ia dianggarkan akan meningkat sebanyak 13 peratus.

Menurut laporan Persatuan Diabetes Amerika, di negara itu di mana kos hidup menjulang tinggi, satu daripada sepuluh dolar akan dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan bagi penyakit diabetes.

Jika wang yang dibelanjakan di Amerika iaitu sebanyak RM603 bilion setahun digunakan untuk diabetes di China, bermakna tiada lagi peruntukan untuk penyakit lain.

Kini dianggarkan ada 92 juta pesakit diabetes di China tetapi ia dijangkakan akan bertambah kepada 130 juta menjelang 2030.

“Kami sangat terkejut dan tidak percaya bagaimana semua ini boleh berlaku dengan cepat,” kata pakar perubatan daripada Hospital Kolej Perubatan Peking Union, Xiang Hongding, sambil menghirup kopi selepas merawat 22 pesakit dalam tempoh empat jam.

Peningkatan yang cepat ini menandakan diabetes biasanya tidak disedari sehinggalah gejala peringkat kedua muncul yang membuatkan rawatan menjadi lebih sukar.

Liu Yuxiang terpaksa pergi ke Beijing yang terletak lima jam perjalanan dari rumahnya setiap bulan untuk berjumpa Dr Tong, mengakui dia membelanjakan 30,000 yuan (RM14,100) membeli ubat tradisional Cina bagi merawat kakinya yang sakit dan bengkak. Ubat moden yang mengawal paras gula darahnya pula berharga 12,000 yuan (RM5,843), hanya 80 peratus daripadanya dilindungi oleh insurans.

“Jika kami tiada ahli keluarga yang menjadi doktor, saya tidak tahu pun saya menghidap diabetes. Tiada orang yang tahu mengenai penyakit ini,” kata wanita berumur 64 tahun itu yang bertahun-tahun mengalami gejala cepat dahaga dan pitam sehinggalah menantunya mengagak dia menghidap diabetes.

Ramai doktor terutama di luar bandar tidak sedar bahawa diabetes menjadi punca kepada banyak masalah kesihatan lain termasuk kehilangan penglihatan, kebas kaki, masalah pencernaan dan aliran darah.

“Diabetes sangat mudah untuk dikesan tetapi ramai doktor tidak tahu bagaimana hendak melakukannya,” kata Xiang, 68, yang mendapat pendidikan awal ketika Revolusi Kebudayaan China dan kini mengajar doktor di luar bandar mengenai pengesanan penyakit itu.

Dengan adanya perlindungan insurans seluruh negara yang bermula tiga tahun lalu membuatkan semakin ramai orang berjumpa doktor dan mampu menanggung kos rawatan. Hampir sembilan peratus pesakit tinggal di hospital pada 2011 berbanding kurang daripada empat peratus pada 2003.

Di China, harga ubat asas yang diberikan kepada pesakit diabetes agak murah iaitu hanya 2,000 yuan (RM960) setahun. Tetapi rawatan bagi pesakit yang penyakitnya sudah melarat boleh mencecah sehingga 18,000 yuan (RM8,765) setahun. Sama jumlahnya dengan purata pendapatan tahunan warga kota di China.

Ubat yang biasa digunakan ini termasuk dalam perlindungan insurans tetapi peralatan untuk menguji dan mengawal paras gula darah - yang kosnya mencecah 400 yuan (RM195) sebulan tiada dalam perlindungan.

Berdasarkan maklumat daripada Saw Swee Hock, penduduk Asia yang berumur 30 hingga 50 tahun lebih berkemungkinan menghidap diabetes berbanding penduduk Barat.

“Saya sangat sedih bila mengetahui menghidap penyakit ini. Saya bimbang nanti saya tidak mampu menanggung keluarga,” kata Wang Yuanqing, pesakit diabetes yang mempunyai seorang anak lelaki berumur lapan tahun. Diabetes memberi kesan besar dalam hidupnya walaupun dia cuba mengawal paras gula darahnya sejak disahkan menghidap penyakit itu setahun lalu.

Pengeluar ubat insulin di China seperti Novo Nordisk dan Bayer yang menghasilkan ubat makan bagi mengurangkan penyerapan gula selepas makan, turut terbabit dalam usaha memberi kesedaran mengenai penyakit itu.

Malah pengambilan ubat tradisional juga boleh membantu pesakit. Hospital Tong Xiaolin menerima lebih 9 juta yuan (RM4.4 juta) daripada kerajaan untuk menyelidik bagaimana ubat tradisional ini boleh menawarkan rawatan bagi komplikasi diabetes pada harga yang lebih murah dan berkesan.

“Perubatan Cina memainkan peranan penting dalam merawat komplikasi diabetes. Ia boleh mengawal rasa mual atau kemurungan akibat kesakitan. Sesetengah pesakit mengalami kesakitan yang teruk sehingga tidak boleh tidur. Ada juga yang mahu membunuh diri,” katanya.

Pendidikan yang lebih baik mengenai diabetes sama ada kepada pesakit atau doktor, serta menyelaraskan dos ubat dalam perubatan Cina boleh mengurangkan masalah kebergantungan terhadap ubat yang semakin meruncing terutama di bandar besar.

Walaupun rawatan diabetes dijadikan sesuatu yang biasa tetapi kebanyakan doktor berpendapat, pengumuman perbelanjaan penjagaan kesihatan yang mencecah RM525 bilion sehingga 2015 ini hanyalah langkah permulaan.

Ini kerana kementerian kesihatannya sudah memulakan program perintis yang merangkumi sesetengah penyakit kronik, dialisis dan rawatan untuk kegagalan buah pinggang akibat diabetes.

“Buat masa ini kami tidak tahu berapa banyak wang akan digunakan dalam pembaharuan semula sistem penjagaan kesihatan. Apapun, kami tetap komited. Walaupun kosnya tinggi, kami tetap akan cari jalan menyelesaikan masalah ini.

“Ini negara sosialis. Jika kerajaan mahu satu-satu perkara dilaksanakan, maka ia akan dilaksanakan dengan apa cara pun,” katanya. - Reuters

http://www.hmetro.com.my/articles/Global_DiabeteslandaChina/Article

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...