KUCHING - Kes diabetes di Sarawak meningkat agak mendadak dalam tempoh lima tahun dengan 79,572 kes direkodkan tahun lepas berbanding 46,415 tahun 2008.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini menyifatkan peningkatan ini sebagai membimbangkan dengan sejumlah 9,903 kes baharu dilaporkan setakat ini tahun ini.

Dalam ucapannya merasmikan Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2013 Peringkat Kebangsaan di sini, beliau berkata kurang kesedaran untuk melakukan saringan kesihatan adalah antara punca kes-kes penyakit sebegini meningkat.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti (Kesihatan Awam) negeri, Datuk Dr Jerip Susil.

Menurutnya tinjauan kesedaran diabetes oleh Persatuan Diabetes Malaysia menunjukkan kebanyakan penghidap tidak menyedari simptom penyakit yang berlaku ke atas mereka. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/sabah-sarawak/sarawak-catat-peningkatan-72-kes-diabetes-1.221832