Berjaya Cipta Penawar Diabetes

Berjaya cipta penawar diabetes
Dr Daing (tengah) melihat produk yang dihasilkan Hui Ni.

KUANTAN  - Penuntut tahun tiga Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Seah Hui Ni dinobatkan sebagai penerima anugerah ‘Best of the Best’ kategori pelajar melalui Ekspo Rekacipta, Inovasi, Teknologi dan Penyelidikan (Citrex) sempena Hari Terbuka UMP di kampus Gambang di sini.

Gadis berusia 23 tahun berasal dari Pontian, Johor itu berjaya menghasilkan penawar penyakit diabetes atau kencing manis daripada pokok misai kucing dalam bentuk kapsul.
Kajian dan penyelidikan yang dihasilkan bertajuk ‘Phenolic-Rich Microcapsule From Orthosiphon Stamineus itu berjaya menewaskan 23 penyertaan lain. Malah, Hui Ni turut menerima pingat emas bagi penyelidikan itu.

Nui Hui akui berbangga dan berpuas hati apabila hasil usahanya selama ini membuahkan kejayaan.
“Produk ini akan dikomersialkan dan saya sudah menandatangani perjanjian bersama sebuah syarikat iaitu Cosway pada 2014. Syarikat berkenaan akan memasarkan kapsul misai kucing ini,” katanya kepada pemberita pada majlis itu, kelmarin.

Katanya, keputusan untuk menghasilkan kapsul misai kucing dipilih atas beberapa faktor iaitu selain membantu pesakit diabetes, bahan asas ini sangat mudah diperoleh tanpa melibatkan kos yang tinggi.
Malah katanya,  ramai masyarakat di negara ini menghidap diabetes dan itu antara sebab dia sedaya upaya mencuba menghasilkan produk untuk merawat penyakit berkenaan.

Pada majlis itu, turut diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UMP dan Institut Sukan Negara serta Silterra Malaysia Sdn. Bhd.

Sementara itu,  Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim berkata, Citrex 2016 yang memasuki tahun keempat penganjuran menyaksikan pengembangan skopnya dengan membuka penyertaan kepada sekolah menengah.

“Saya harap jawatankuasa penganjuran akan melipatgandakan promosi agar lebih banyak pihak khususnya swasta, industri dan badan korporat tampil menyokong terutama dalam penajaan hadiah.

“Selain itu, dengan adanya 24 buah sekolah kluster di bawah UMP maka aspirasi pembudayaan inovasi dan kreativiti dapat dikembangkan lagi dengan menjemput semua sekolah berkenaan menyertai Citrex secara tetap mulai tahun depan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/berjaya-cipta-penawar-diabetes-1.495424

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...