Bagaimana Cara untuk Menguji Gula dalam Darah

Ujian pemeriksaan glucose dalam darah adalah penting bagi pesakit diabetik. Glucose yang terhasil dari penghadaman makanan karbohidrat, menjadi sumber utama tenaga dalam badan. Insulin yang dikeluarkan dari organ pancreas membantu tubuh menggunakan glucose ini bagi menghasilkan tenaga.
Biasanya kandungan glucose dalam badan akan meningkat sedikit selepas makan, lalu menyebabkan pancreas mengeluarkan insulin bagi mengawal kandungan gula. Tahap gula yang tinggi akan merosakkan mata, ginjal, saraf dan saluran darah.

Pemeriksaan darah dilakukan dengan mengambil sedikit titisan darah dari hujung jari atau mana-mana bahagian badan dan diletakkan ke atas strip yang disediakan pada mesinglucometer.

Beberapa jenis pemeriksaan glucose yang dijalankan:
  • Fasting blood sugar (FBS) atau pemeriksaan glucose ketika berpuasa. Ia adalah pemeriksaan yang dijalankan apabila seseorang itu tidak mengambil apa-apa makanan sekurang-kurangnya 8 jam.
  • 2-hour postprandial blood sugar (2HPP) atau pemeriksaan glucose 2 jam selepas mula makan. Ia akan menguji keberkesanan pankreas mengeluarkan insulin bagi mengawal gula.
  • Random blood sugar (RBS) atau pemeriksaan gula tanpa perlu berpuasa. Ia adalah ujian rawak bagi mengesan kandungan gula seseorang. Jika bacaannya terlalu tinggi, ia bermakna pesakit mungkin menghadapi masalah  diabetes. Namun ia bukan ujian pengesahkan (confirmatory) untuk mendiagnosa seseorang itu mengalami diabetes.
  • Oral glucose tolerance test (OGTT) ia adalah ujian pemeriksaan gula bagi membuat diagnosis diabetes di kalangan wanita hamil dan orang biasa. Pesakit diminta untuk minum air gula. Pemeriksaan darah dilakukan sebelum dan selepas minum air gula.

Bacaan Glucose yang Normal

 

Bagi ‘Fasting Blood Glucose’

 

Bacaan GlucoseIndikasi
From 70 – 99 mg/dL (3.9 – 5.5 mmol/L)Normal
From 100 – 125 mg/dL (5.6 – 6.9 mmol/L)Berisiko untuk mendapat diabetes
126 mg/dL (7.0 mmol/L) dan ke atasDiabetes

 

Bagi ‘Oral Glucose Tolerance Test’ (OGTT)

Bacaan ini untuk orang biasa (bukan wanita hamil). Pemeriksaan darah selepas 2 jam meminum 75-gram air glucose.
Tahap GlucoseIndikasi
Kurang dari 140 mg/dL (7.8 mmol/L)Normal
140 – 200 mg/dL (7.8 – 11.1 mmol/L)Risiko untuk mendapat diabetes
Lebih 200 mg/dL (11.1 mmol/L)Diabetes

Bacaan glucose yang normal dalam darah ialah kurang dari 5.5 mmol/L, apabila seseorang itu berpuasa dan kurang dari 7.0 jika diuji 2 jam selepas makan. Selepas 3 jam, kandungan glucose akan turun kurang dari 6.0 mmol/L.

Jika bacaan glucose melebih bacaan ini, selalunya akan menyebabkan komplikasi mata, buah pinggang dan jantung. Oleh itu bacaan gula yang baik harus rendah iaitu kurang 5 mmol/L sebelum makan dan kurang 6 mmol/L selepas makan.

Jadi jika anda seorang penghidap diabetes, menguji gula dalam darah adalah sebahagian pengurusan diri yang amat penting. Setiap pesakit diabetes harus mengetahui berapa kerapdan bila ujian pemeriksaan ini harus dilakukan.

Kekerapan ujian dilakukan

Ramai pesakit diabetic yang menyangka pemeriksaan darah untuk mengetahui kandungan glucose dalam darah setiap empat bulan sekali sudah mencukupi.
Inilah yang sering berlaku pada warga tua yang menjalani rawatan di pusat kesihatan kerajaan empat bulan sekali.

Ada yang cuba menipu doktor dengan menjaga pemakanan bersungguh-sungguh beberapa hari sebelum hari pemeriksaan dengan harapan bacaan glucose mereka normal. Jika tidak, tentu dimarahi doktor yang bertugas.
Ini adalah suatu tindakan salah. Pemeriksaan darah untuk mengetahui kandungan glucose dalam darah seharusnya dilakukan sekerap mungkin.
Bilangan kekerapan melakukan ujian darah bergantung kepada tahap kawalan gulanya setiap hari. Ada yang memerlukan pemeriksaan glucose dalam darah hanya sekali dalam sehari dan ada yang memerlukan ujian sebanyak enam kali sehari.
Satu panduan dari American Diabetes Association (ADA), US memberitahu golongan pesakit berikut harus diperiksa sebanyak sekurang-kurangnya 3 kali sehari iaitu:
  • Semua pesakit diabetik jenis 1
  • Semua pesakit diabetik yang mengambil 3 atau lebih suntikan insulin setiap hari.
Panduan ADA juga menasihatkan pesakit diabetic agar memeriksa kandungan glucose mereka sekerap yang boleh untuk memastikan mereka mencapai tahap glucose yang normal.
Bagi pesakit diabetic yang bukan termasuk dalam golongan itu, mungkin berfikir memeriksa gula sebulan sekali memadai. Itu juga tidak betul.

Sekali lagi ia bergantung kepada keputusan pemeriksaan glucose dalam darah mereka. Jika pesakit mendapati bahawa paras gula dalam darah mereka adalah normal, maka mungkin mereka boleh kurangkan pemeriksaan. Namun jika mereka mendapati paras glucose mereka tidak normal, harus diperiksa sekerap yang mungkin untuk mengesan punca yang menyebabkan paras glucose dalam darah tidak terkawal.
Selain itu, ada masanya pesakit memerlukan pemeriksaan tahap glukos yang lebih kerap jika :
  • Baru memulai ubat diabetes atau baru mula ditukar ubat diabetes yang berlainan jenis
  • Sedang menukar dos ubat
  • Sedang dalam keadaan sakit eg. demam, batuk, selsema atau ada bisul
  • Sedang dalam latihan fizikal atau riadah yang berat
  • Sedang hamil
  • Sedang dalam musafir menyebabkan rutin seharian bertukar
Setiap pesakit diabetic (terutama pesakit diabetic yang berumur 30an ke atas) perlu mempunyai mesin glukometer bagi memudahkan mereka memeriksa sendiri kandungan glucose dalam darah mereka.

Memeriksa sendiri tidak harus menjadi janggal kerana saya selalu mengumpamakan ‘penyakit diabetes telah menjadi sebahagian hidup kita’. Jadi kita harus tahu apa yang boleh dimakan, apa yang tidak boleh dimakan, nama ubat dan cara melakukan pemeriksaan. ‘Alah tegal menjadi biasa’, segala perkara yang mustahil akan mudah dilakukan jika kita ada kesungguhan melakukannya.

Sebagai pesakit diabetic, fikirkan secara realistik. Penyakit diabetic akan memberikan masalah selepas 10-15 tahun.  Jadi nasib kita 10-15 tahun akan datang ditentukan oleh pesakit itu sendiri.
Oleh itu  jika mereka mengetahui paras glucose dalam darah adalah tinggi, mereka harus meningkatkan kekerapan memeriksa dari sekali sehari kepada tiga kali sehari sehingga kita dapat mencapai tahap glucose yang normal.

Masa sesuai untuk pemeriksaan glukose

Ramai pesakit diabetic yang menganggap bahawa pemeriksaan glucose harus dilakukan apabila telah puasa lebih lapan jam. Ia adalah nasihat yang benar. Namun ada beberapa waktu yang digalakkan untuk melakukan pemeriksaan glucose bagi memastikan kandungan glucose dalam darah di tahap yang normal.
Antaranya :
  • Sebelum makan
  • Selepas dua jam setelah makan
  • Sebelum tidur
  • Sebelum, semasa dan selepas melakukan riadah
  • Sebelum mengendalikan mesin berat atau memandu dalam masa yang panjang
  • Ketika mengalami tanda-tanda hypoglycemia (kekurangan glucose) atauhyperglycemia (lebihan glucose)
Pemeriksaan yang kerap juga memerlukan kos yang tinggi. Setiap glucostix yang digunakan berharga RM2. Bayangkan jika menggunakannya enam kali sehari. Ini bermakna membelanjakan RM360 sebulan.
Walau bagaimana pun saya menganggap harga itu berbaloi untuk orang yang mampu. Apabila kandungan glucose sudah stabil bolehlah dilakukan ujian sebanyak dua kali sehari selama sebulan. Caranya seperti ini :
  • Minggu 1: Sebelum sarapan dan dua jam selepas sarapan
  • Minggu 2: Sebelum makan tengahari, dan dua jam selepas makan
  • Minggu 3: Sebelum makan malam dan dua jam selepas makan
  • Minggu 4: Sebelum tidur dan sebelum sarapan
Pemeriksaan ini akan memberikan gambaran bagaimana pesakit mengamalkan pemakanannya. Dari corak ini dapat dilihat bila masanya seseorang mempunyai tahap kandungan glucose yang tinggi. Jadi di lain masa, pemeriksaan boleh diteruskan untuk waktu itu saja.
Jadi kekerapan pemeriksaan darah mungkin dapat dikurangkan dan menjimatkan kos. Jika kita tidak ada kemampuan untuk menguji enam kali sehari, cubalah lakukannya dua kali sehari. Catatkan dalam diari dan berbincang dengan doktor mengenai bacaan kandungan glucose dalam darah terkawal apabila melakukan rawatan susulan.

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (090511)

http://drzubaidi.com/blog/?p=1720

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...