Pentingnya Air Dalam Program Pemakanan Pesakit Kencing Manis

“Anda tidak sakit – Anda hanya kehausan”

Pentingnya air dalam program pemakanan pesakit kencing manis

Semua orang tahu yang air penting dalam kehidupan seharian kita, namun bagi pengidap kencing manis, air memainkan peranan yang tersangat mustahak. Oleh kerana diabetis mempunyai potensi untuk menimbulkan komplikasi yang boleh mengakibatkan lumpuh organ dalaman seperti hati, jantung dan buah pinggang, pengidap penyakit ini perlu lebih berhati-hati.

Tubuh kita mengandungi lebih kurang 50 – 60% air. Darah mengandungi 90% air, otak kita mengandungi 85% air, 72% dalam otot, 71% dalam kulit dan 30% dalam tulang. Ellington Darden Ph.D menulis dalam artikelnya “Superhydration” yang air bukan setakat untuk menghilangkan haus, malah :

• bertindak sebagai pelarut untuk vitamin, mineral, asid amino, dan glukos
• membawa nutrisi melalui sistem tubuh
• melancarkan pencernaan makanan
• melumasi sendi
• berfungsi sebagai shock absorber di dalam mata dan sumsum tulang belakang
• mengimbangkan suhu badan
• mengenyahkan bahan kumuh dari melalui air kencing
• menghilangkan panas melalui kulit, paru-paru, dan air kencing
• menjaga kelenturan dan ketegangan kulit
• membantu kontraksi otot

Menurut Dr Batmanghelidj (Dr B), penulis buku “Your Body’s Many Cries For Water” , tanpa air yang cukup, tubuh kita boleh mengalami kemarau air (dehydration). Bagaimana kemarau air dalam tubuh boleh berlaku? Allah menganugerahkan tubuh kita dengan satu sistem yang benar-benar sofistikated. Sistem yang diciptakan Allah mempunyai beberapa lapisan back-up yang saling menyokong antara satu sama lain. Apabila tubuh kita mula kekurangan air, kita akan merasa haus. Bagaimana pun kebanyakan kita memilih untuk meminum minuman manis seperti kopi, teh, sirap atau minuman dalam tin atau botol dan bukannya minum air. Lebih teruk lagi ada juga mereka memilih untuk makan dan bukannya minum. Ini tidak akan mengatasi masalah kekurangan air dalam tubuh. Apabila keadaan ini berlarutan, tubuh kita akan secara otomatis bertindakbalas dengan mengaktifkan sistem back-up sedemikian hingga kita tak rasa haus lagi. Lambat laun kemarau air dalam tubuh akan berlaku. Kita tidak akan sedar yang tubuh kita kemarau air sehingga masalah kesihatan berlaku.

Dr B mengatakan bahwa keadaan ini boleh menimbulkan banyak penyakit seperti asma, arthritis, obesiti, kemurungan, sakit punggung, gout, batu ginjal dan banyak lagi. Bagi pengidap diabetis, kemarau air boleh menjejaskan keefisyenan fungsi insulin dalam mengatur peredaran gula dan mineral ke dalam sel tubuh selanjutnya menyebabkan kadar gula dalam darah bertambah teruk.

Kebanyakan pesakit kencing manis mempunyai masalah kegemukan dan cepat lapar. Dengan mengamalkan meminum air yang cukup setiap hari masalah ini dapat diatasi. Meminum air dapat melemahkan nafsu lapar dan membantu tubuh menghancurkan lemak. Kajian menunjukkan yang meminum air yang cukup membantu mengurangkan lemak sebaliknya kurang minum air boleh meningkatkan simpanan lemak dalam tubuh.

Organ buah pinggang kita tidak dapat berfungsi dengan sempurna tanpa air yang cukup. Dr Donald Robertson yang menulis “The Snowbird Diet” menjelaskan apabila fungsi buah pinggang berkurangan, organ hati terpaksa menanggung sebahagian fungsi buah pinggang. Sedang fungsi utama hati adalah memastikan kelancaran metabolisma lemak simpanan bagi menghasilkan tenaga. Namun jika hati tidak berfungsi sepenuhnya lemak tidak dimetabolisma sepenuhnya dan kegemukan terhasil.

Apabila tubuh kita mendapat air yang cukup:
  • Fungsi kelenjar endokrin bertambah baik;
  • “Fluid retention” atau sembab akan berkurangan;
  • Lemak lebih banyak digunakan sebagai bahan bakar kerana hati bebas untuk memetabolisme simpanan lemak;
  • Rasa haus asli akan kembali; dan
  • Rasa lapar akan berkurangan.
Ok, berapa banyak air perlu kita minum untuk memastikan tubuh mendapat air yang cukup?

Kita sering disaran untuk meminum lapan gelas air sehari. Sebenarnya jumlah ini hanyalah minimum dan ia hanya benar untuk mereka yang mempunyai berat badan yang optimal. Bagi mereka yang berat badan yang berlebihan, maka jumlah ini perlu ditingkatkan. Kita perlu tambah 1 gelas lagi untuk setiap 12 kg berat tambahan.

Dr Donald Robertson menganjurkan supaya kita minum sekurang-kurangnya:
  • 4 gelas air di waktu pagi
  • 4 gelas air di waktu tengahari
  • 4 gelas air di antara jam 5 – 6 petang.
Kaedah minum air yang betul.

Dengan mengambil analogi menyiram  pokok yang hampir mati kekeringan, kita tidak akan mencurahkan sebaldi air terus ke dalam pasu pokok bunga tersebut kerana ia hanya akan menyebabkan pokok tersebut mati kelemasan. Sebaliknya kita kena renjiskan air sedikit demi sedikit sehingga tanah nya dapat meresapkan air dan menghidupkan semula pokok tersebut. Begitu juga dengan manusia. Kita tidak boleh terus menonggengkan sebotol air ke dalam tekak kita kerana ia hanya akan keluar terus dalam air kencing dan tidak dapat dimanfaatkan oleh organ dalam yang sangat memerlukannya. Sebaliknya kita kenalah minum sip by sip teguk demi teguk dan setiap teguk hendaklah dipisahkan dengan helaan nafas. Demikian amalan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Wah panjangnya artikel kali ini. Dua malam Maklong menyiapkannya. Bagaimanapun Maklong berharap ia membantu anda. So apa tunggu lagi. Pergilah minum air.

http://maklongskitchen.wordpress.com/2011/01/16/anda-tidak-sakit-anda-hanya-kehausan/

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...