Diabetes: Komplikasi Bahaya

ENTAH mengapa sejak kebelakangan ini, Aminah berasa kurang selesa. Selain kerap ke bilik air, pandangannya juga semakin kabur.

Seorang teman memberitahu, ia adalah sesuatu yang normal bagi wanita yang berusia lewat 40-an. Justeru Aminah bercadang untuk berjumpa optometris sahaja.

Tekaknya juga sentiasa dahaga, pagi-pagi lagi sudah mencari minuman berais. Namun dahaganya menjadi-jadi sehingga ke malam. Aminah semakin tidak selesa.

Kebetulan terjumpa sahabat baiknya Azizah yang mengesyorkannya untuk ke hospital kerana kemungkinan dia diserang diabetes.

Walaupun terkedu dengan cadangan rakannya itu, Aminah berhasrat ke hospital untuk menjalani pemeriksaan pada hujung minggu.

Sementara menanti hujung minggu, badannya semakin lesu, tidurnya terganggu, berjalan pula bagaikan tidak memijak bumi.
Rakan-rakan sekerja dan ahli keluarganya memaksa Aminah jangan berlengah lagi dan itulah yang Aminah lakukan kerana dia tidak berdaya lagi.

Dia terkejut mendengar keputusan pemeriksaan darah yang mencatatkan bacaan paras gula dalam darahnya 34.5mmol.

``Awak bernasib baik kerana Allah memberi peluang untuk hidup. Amalkan cara hidup sihat. Komplikasi diabetes banyak sekali. Ia boleh membuat hidup anda derita,'' kata doktor.
Aminah merenung hari-hari yang mendung.

Dia sudah terbayang wajah-wajah suram adiknya yang juga penghidap diabetes, arwah bapanya meninggal dalam usia muda dan datuk saudaranya yang terpaksa dipotong kaki juga akibat gangren yang berpunca daripada diabetes.
Pagi dan petang Aminah disuntik insulin. Dia menjaga pantang, bila gula sudah menurun ke tahap stabil, Aminah sudah tidak memerlukan insulin tetapi cukup dengan ubat-ubatan.

Hari ini Aminah bersyukur kerana tidak mengalami komplikasi yang teruk.

Tetapi, dia tidak boleh lalai kerana diabetes biarpun dianggap `biasa' namun kesannya cukup luar biasa dan tragis kerana ia pembunuh senyap.

Mengimbas pengalaman benar yang dilalui Aminah membuat penulis berasa terpanggil untuk menyertai ceramah kesihatan anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), baru-baru ini.

Pakar Perubatan, Hospital Putrajaya, Dr. Nurain Mohd. Noor menjelaskan perihal diabetes serta komplikasi dalam ceramahnya `Kenali Diabetes dan Rawatan'.

``Walaupun hari ini ramai yang biasa dengan diabetes dan setidak-tidaknya mendengar mengenai penyakit itu, namun masih ada yang tidak menyedari betapa penyakit ini boleh membuat seseorang pesakit itu menderita dan membawa maut.
``Ini kerana diabetes kalau tidak dikawal akan mengundang banyak komplikasi kepada pesakit dari hujung rambut hingga ke hujung kaki,'' katanya.

Menurutnya, komplikasi ini boleh menyebabkan pesakit menjadi buta, kegagalan buah pinggang, kejang perut, cirit-birit, darah tinggi, koma, gangren atau kecederaan tapak kaki dan kanser.
Sementara itu, saluran darah tersumbat boleh menyebabkan seseorang itu diserang sakit jantung, angin ahmar dan mengurangkan peredaran darah di tangan dan kaki.

``Pendek kata, diabetes boleh menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan.
``Oleh itu, adalah penting bagi pesakit mengenali dengan lebih dekat penyakit ini, simptom serta rawatan yang boleh dilakukan untuk mengawalnya,'' kata Dr. Nurain.

Tambahnya, diabetes boleh dicegah dengan mengekalkan berat badan unggul, makan makanan sihat dan selalu bersenam.
Sekalipun ia tidak dapat disembuhkan tetapi berita baiknya, diabetes boleh dikawal.

``Jika anda pesakit diabetes, kawallah diabetes dengan berkesan dan elakkan daripada berlakunya komplikasi,'' pesan Dr. Nurain.

Apa itu diabetes?

Diabetes atau sinonim sebagai kencing manis merupakan satu keadaan di mana paras gula dalam darah adalah tinggi.

Ia disebabkan oleh berlakunya kekurangan insulin atau fungsi terjejas atau kedua-duanya sekali.

Apa itu insulin?

Insulin merupakan hormon yang dihasilkan oleh pankreas bagi mengawal paras glukosa dalam darah. Tanpanya, paras glukosa darah akan meningkat.

Paras glukosa darah sentiasa tinggi menyebabkan gangguan metabolisme karbohidrat, lemak dan protein dalam badan.

Tanda-tanda diabetes

Kerap membuang air kecil, berasa terlalu dahaga, sentiasa lapar, penglihatan kabur, nafas berbau manis, penurunan berat badan, keletihan dan luka yang lambat sembuh.

Diagnosis

Diabetes boleh didiagnosa dengan mengambil ujian darah.

Apa yang mereka patut lakukan ialah berpuasa di malam hari dan keesokan harinya bolehlah diambil ujian darah.

Bacaan pesakit diabetes mestilah tidak melebihi 7.0mmol/ sementara mereka yang pradiabetes 5.6 mmol.

Dua jam selepas makan pula bacaan bagi pesakit diabetes sekitar 11.1mmol manakala individu pradiabetes pula, 7.8mmol.

Pradiabetes adalah keadaan biasa yang berkaitan dengan diabetes di mana paras gula dalam darah adalah lebih tinggi dari biasa tetapi tidak terlalu tinggi untuk disahkan sebagai pesakit diabetes.

Rawatan

Rawatan bagi pesakit diabetes jenis 1 ialah mengamalkan pemakanan seimbang dan suntikan insulin manakala jenis 2 pula ialah pemakanan seimbang, senaman, makan ubat dan suntikan insulin bagi kes-kes tertentu.

Apabila diet dan senaman tidak efektif atau gagal, pesakit akan mengalami simptom teruk seperti glukosa darah sangat tinggi, ketosis dan lain-lain.

Pesakit perlu mengambil ubat sama ada sejenis, dua jenis atau tiga jenis mengikut arahan doktor. Jika perlu, ditambahkan insulin.

Doktor juga akan menasihatkan pesakit mengambil ubat-ubatan yang sesuai dan jumlah dos yang patut diambil.

Andainya ubat oral tidak berkesan, insulin digunakan kepada pesakit diabetes jenis 1 tetapi ia juga diperlukan sekiranya pesakit jenis 2 tidak mencapai tahap yang dikehendaki.

Semua ubat-ubatan mestilah mendapat preskripsi doktor terlebih dahulu.

Pengurusan diabetes

Amalkan pemakanan sihat seperti kurangkan makanan yang bergula, berlemak dan berminyak.

Makanan berprotein seperti ikan, makanan laut daging merah, telur, keju rendah lemak juga hendaklah diambil secara sederhana.

Banyakkan memakan kacang, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran. Makan makanan berkarbohidrat dalam sajian yang sesuai pada setiap hari.

Adalah penting untuk tidak mengelak atau melangkau waktu makan. Ikut waktu yang telah ditetapkan. Cuba aturkan masa makan yang sesuai sepanjang hari. Padankan waktu makan dengan waktu makan ubat.

Makanlah mengikut umur dan tahap aktiviti fizikal anda. Lakukan senaman ringan atau sederhana dan bersenamlah selama setengah jam.

Antara aktiviti kecergasan yang boleh anda lakukan mengikut kesesuaian usia adalah berjalan pantas, mengayuh basikal, berkebun, berenang, memancing, mencuci rumah, mengemop lantai, bermain bola tampar, golf dan lain-lain.

Hipoglisemia

Hipoglisemia atau kekurangan gula di dalam darah boleh berlaku dari semasa ke semasa di kalangan pesakit diabetes.

Ia terjadi akibat pengambilan ubat-ubatan yang berlebihan, melangkau waktu makan, senaman berlebihan, pengambilan alkohol yang tinggi atau mengambil ubat-ubatan lain bagi penyakit-penyakit lain.

Tanda-tanda hipoglisemia adalah lapar, berpeluh, tidak dapat memberi tumpuan, berdebar, semakin resah dan loya.

Apa yang boleh anda lakukan adalah membuat pilihan seperti berikut:

  • Minum sedikit jus buah-buahan.
  • Ambil setengah tin minuman ringan, dua sudu teh gula.
  • Makan sedikit snek, tujuh biji kekacang jeli atau gosokkan serbuk glukosa ke gusi.

Anda dinasihatkan membawa gula-gula pada bila-bila masa sebagai persediaan seandainya paras gula di dalam darah menurun.
http://www.biovco.com/diabetes-k-bahaya-wg02.php?ref=yg

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...