Menewaskan Diabetes Dari Akar Umbi


Menewaskan diabetes dari akar umbi
Penularan diabetes lebih ketara dalam kalangan orang dewasa yang menghidap penyakit arteri koronari dan juga kardiomiopati diabetes. - Gambar hiasan

BAGI pesakit diabetes (kencing manis), penyakit kardiovaskular merupakan satu kebimbangan besar kerana ia menjadi punca utama kematian dan kehilangan upaya dalam kalangan mereka – dua daripada tiga pesakit diabetes meninggal dunia, sama ada disebabkan sakit jantung atau strok (angin ahmar).

Malah, penularan penyakit diabetes di Malaysia kini semakin membimbangkan, hingga menjejaskan 1 dalam 5 orang dewasa berumur 30 tahun dan ke atas, menjadikan bilangan penghidap dewasa mencecah 3.6 juta. Penularan diabetes lebih ketara dalam kalangan orang dewasa yang menghidap penyakit arteri koronari (CAD) dan juga kardiomiopati diabetes, iaitu dua keadaan kardiovaskular yang dikaitkan dengan kemaraan diabetes.

Kini diabetes dengan tersendiri dianggap sebagai faktor risiko paling tinggi bagi penyakit jantung. Malah, diabetes adalah risiko tinggi yang setara dengan penyakit jantung koronari (CHD) – pesakit diabetes mempunyai risiko CHD 10 tahun setinggi 20 peratus. Jika tidak dikawal dengan sewajarnya, diabetes boleh menjadi permulaan lebih banyak komplikasi yang akan berlaku. Kemungkinan pesakit diabetes mendapat penyakit jantung bukan sahaja dua kali ganda, malah mereka juga boleh menghidap penyakit jantung pada usia lebih muda daripada orang yang tidak menghidap diabetes.

Pembunuh senyap diabetes

Penyakit arteri koronari (CAD) adalah komplikasi makrovaskular diabetes, merujuk kepada penyempitan arteri dalam jantung disebabkan enapan lemak, dinamakan plak. Kepecahan mengejut plak kolesterol adalah punca umum, terutama sekali dalam kalangan pesakit diabetes yang juga mengalami dislipidemia, mengakibatkan sekatan arteri dan mengundang serangan jantung atau strok. Hiperglisemia (glukosa darah tinggi) dan rintangan insulin, dua mekanisme yang menentukan diabetes jenis 2, memacu proses aterosklerosis (pengecilan saluran arteri akibat pembentukan plak di bahagian dalam dinding arteri). Hiperglisemia boleh merosakkan bahagian badan, termasuk saluran darah. Apabila ini berlaku, bekalan darah berkurangan atau terputus, mengakibatkan serangan jantung.

Walaupun teknologi dan strategi membolehkan diagnosisi CHD di peringkat lebih awal dalam kalangan pesakit diabetes, hakikatnya pesakit diabetes tetap mengalami kesakitan iskemik tumpul yang meningkat, selalunya mengakibatkan iskemia senyap atau infarksi miokardial senyap (atau serangan jantung). Gejala jantung dalam kalangan pesakit diabetes selalunya terselindung, mengakibatkan terlepas atau terlewat diagnosis serangan jantung, dengan demikian terlepas peluang untuk rawatan pemvaskularan semula dengan segera.
Bagaimanapun, dalam banyak kes, punca kegagalan jantung dalam kalangan pesakit diabetes mungkin tiada kaitan dengan trombosis (pembentukan darah beku). Kardiomiopati diabetes adalah perubahan yang dikaitkan dengan diabetes dalam struktur dan fungsi otot jantung yang bukan berpunca secara langsung daripada sebarang penyakit kardiovaskular lain, seperti CAD atau hipertensi.

Kehadiran komorbiditi seperti sindrom metabolik (kombinasi hipertensi, dislipidemia dan obesiti tidak normal), tabiat merokok dan ketiadaan aktiviti fizikal memperkuat penularannya. Dalam kes kardiomiopati diabetes, perubahan struktur dan fungsi yang berlaku termasuk hipertrofi ventrikular kiri (LV), yang meningkatkan kemungkinan berlaku kecederaan iskemia dan kemungkinan secara keseluruhan mengalami kegagalan jantung. Justeru, pesakit diabetes mudah mengalami kegagalan jantung walaupun pada peringkat awal penyakit.

Kesan, rawat komplikasi lebih awal

Pada zaman sekarang, kemajuan dalam rawatan perubatan dan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan pesakit diabetes membolehkan diagnosis CHD penghidap diabetes dibuat pada kadar jauh lebih cepat. Alat diagnostik yang lebih canggih dengan ketepatan lebih tinggi kini boleh didapati secara meluas untuk mengesan aterosklerosis dan gejala awal CHD secara lebih awal, bagi membolehkan intervensi awal, mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti (kadar penyakit dan kematian), dan juga menambah baik kualiti hidup.

Sebagai contoh, elektrokardiografi (ECG) rehat adalah alat yang biasa digunakan untuk mengesan infark miokardiumiskemia (MIs) akut atau lama, dan juga aritmia. Untuk menentukan tahap plak aterosklerosis, ujian fungsi (seperti ECG stres, ekokardiografi stres, imbasan radionuklidastres atau imbasan MRI stres), adalah alat yang berguna untuk mengesan sekatan besar hemodinamik (ditakrifkan sebagai lebih 50 peratus penyempitan saluran darah) yang mewajarkan pemvaskularan semula (angioplasti dan pemasangan stent, atau CABG).

Pelancaran pengimbas koronari Tomografi Berkomputer Berbilang Hirisan atau Multislice Computed Tomography (MSCT) dalam beberapa tahun kebelakangan telah banyak mengubah landskap pengesanan dan pengurusan CHD. Angiografi koronari MSCT adalah satu teknik bukan invasif yang membolehkan pengesanan awal CHD, seperti stenosis (penyempitan) koronari. Dengan resolusi ruang dan waktu yang lebih tinggi, MSCT membolehkan pengesanan plak secara lebih boleh dipercayai dan lesi sekatan ketara. Dengan kadar ketepatan pengesanan terbukti 99 peratus, teknologi ini memberi peluang untuk intervensi awal dan memberi kesan terbaik dalam jangka panjang.

Pada masa lepas, terdapat kebimbangan terhadap risiko kanser yang dikaitkan dengan radiasi angiogram koronari tomografi berkomputer (CT), tetapi kemajuan perubatan telah mengubah keadaan. Dengan pengimbas CT terbaharu (pengimbas CT Flash Speed Dual Source Siemen 256 slice) di Sunway Medical Centre, angiogram koronari CT mengeluarkan radiasi yang sangat rendah – kurang dari 10 milisievert (bersamaan 10 X-ray abdomen). Secara keseluruhan, ia adalah alat imbasan yang baik bagi CHD.

http://www.sinarharian.com.my/rencana/menewaskan-diabetes-dari-akar-umbi-1.335907

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...