KUALA LIPIS - Kaki kirinya sudah dipotong sehingga paras lutut manakala beberapa jari kaki kananya hilang akibat diabetes, itu penderitaan terpaksa ditanggung A Ganesan, 48 yang menghidap penyakit itu sejak 12 tahun lalu.

Ganesan berkata, pekerjaan di ladang terpaksa diambil alih oleh isterinya R Nirmala, 46, bagi mencari pendapatan menyekolahkan tiga anaknya termasuk berbelanja keperluan dapur.

"Hidup saya bertambah derita selepas kehilangan jari-jari kaki, sehingga menyukarkannya membuang air kecil dan besar.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long kerana prihatin menyumbangkan tongkat empat kaki (crosier) yang boleh membantu saya berjalan di kawasan rumah dan mendapat rawatan di hospital,” katanya di Ladang Selborne, Padang Tengku, semalam.

Terdahulu, Mustapa menyampaikan bantuan tongkat empat kaki kepada Ganesan.

Mustapa yang juga Naib Ketua Umno Lipis, berkata, penduduk setempat perlu menjaga kesihatan masing-masing kerana pengalaman melihat penderitaan dalam kalangan jiran mereka yang menghidap diabetes, jantung, darah tinggi, darah rendah dan komplikasi lain sudah cukup memberi keinsafan.   

“Hakikatnya, penderitaan pesakit tanpa mengira usia  sepatutnya dihayati penduduk di sini dan merangsang kesedaran mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri mampu menyediakan peralatan, iaitu tongkat, kerusi roda, kaki palsu, cermin mata, katil, tilam berubat dan peralatan lain untuk jangka masa tertentu, tetapi amalan gaya hidup sihat dan penjagaan kesihatan tidak setanding  dengan wang ringgit.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/pahang/12-tahun-derita-diabetes-1.242599