Saya Ada Diabetes. Apa Perlu Saya Makan?

 

MAKANAN sihat sering kali dianggap hidangan yang tidak menyelerakan kerana untuk menyediakannya, kebanyakan bahan perisa digunakan perlu dikurangkan atau langsung tidak dimasukkan dalam masakan. Keadaan itu sudah tentu menyebabkan rasa hidangan berkenaan ‘lari’ daripada keenakannya yang sebenar atau berasa hambar, sekali gus membuatkan putus selera untuk menikmatinya.
Bagi yang menghidap penyakit pula, makanan sihat bermakna - perlu berpantang banyak jenis makanan supaya tahap kesihatan tidak terjejas. Kata-kata seperti “tidak boleh makan itu, tidak boleh makan ini” lazim kedengaran semata-mata bimbang pengambilan makanan berkenaan akan menyebabkan kesihatan terjejas.

Penghidap diabetes antara yang sering kali terpaksa `ikat selera’.
Mereka selalu diingatkan supaya jangan mengambil karbohidrat dan kurangkan kadar penggunaan gula dalam masakan. Malah, segala makanan berkarbohidrat atau mempunyai kandungan gula tinggi tanpa ada pilihan diberikan, dilarang sama sekali bagi memastikan paras glukosa tidak naik.

Perunding Dietetik, At 19 Culinary Studio, Goo Chui Hoong, berkata memastikan pengambilan makanan sihat, khususnya buat mereka yang berpenyakit bukan bermakna langsung tidak boleh makan, sebaliknya perlu ada kawalan dan kadar sesuai ketika mengambilnya.
Kata Chui Hoong, makanan sihat bukan hanya untuk individu yang ada penyakit tetapi juga sesuai dan bermanfaat kepada semua bagi menjaga kesihatan serta mencegah penyakit.

Pesakit diabetes, bukan tidak boleh langsung mengambil karbohidrat dan gula kerana hakikatnya, pengambilan makanan sedemikian amat penting bagi memastikan pemakanan nutrisi yang seimbang. Cuma, kadar diambil perlu seimbang dan berpatutan.

“Karbohidrat ditukar kepada glukosa dan darah membawa glukosa ke seluruh tubuh serta diserap tubuh untuk menjadi sumber tenaga. Jumlah glukosa yang diperlukan oleh tubuh kita akan dikendalikan insulin dan jika tidak cukup ia boleh memberi kesan, tubuh menjadi lemah.

“Tetapi jika karbohidrat terlalu tinggi dalam diet, ia juga tidak elok kerana tahap glukosa dalam darah akan tinggi dan menyebabkan risiko kepada pesakit diabetes,” katanya ketika mengendalikan bengkel masakan sihat bertajuk, Saya Ada Diabetes - Apa Yang Perlu Saya Makan, anjuran At 19 Culinary Studio, di Damansara Heights, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bengkel masakan itu adalah antara siri bengkel Kesihatan & Nutrisi, dikendalikan At 19 Culinary Studio, yang dibuka sejak setahun lalu. Selain membincangkan corak pemakanan sihat serta kesan terhadap kesihatan, bengkel itu turut memberi tunjuk ajar menyediakan beberapa resipi sihat dan enak.

Jelas Chui Hoong, karbohidrat terbahagi kepada dua jenis iaitu sederhana dan kompleks. Karbohidrat sederhana ialah gula, termasuk glukosa dan fruktosa daripada buah-buahan, sayuran serta laktosa daripada susu dan sukrosa daripada tebu atau gula tebu.

Karbohidrat kompleks pula kebanyakannya diperoleh daripada sumber yang tidak perlu banyak diubahsuai. Biasanya adalah makanan ruji seperti nasi, roti dan dan ubi.

Penghidap diabetes perlu hadkan jumlah pengambilan jenis karbohidrat yang diambil dalam menu harian. Mereka juga dinasihatkan tidak meninggalkan waktu makan, bagi mencegah kandungan glukosa dalam darah terlalu tinggi atau rendah.

Lebih baik lagi jika dapat mensasarkan menyediakan pengambilan 50 peratus tenaga daripada karbohidrat dengan meningkatkan pengambilan karbohidrat kompleks atau makanan yang kaya serat.

“Satu mangkuk nasi sudah memadai untuk diambil pada satu masa. Tetapi ada yang memang suka makan nasi dan ingin makan dua mangkuk. Bagi mengelakkan kadar karbohidrat diambilnya tinggi pada satu masa, dia mungkin boleh asingkan dua mangkuk nasi itu dengan mengambilnya dalam masa berbeza.

“Selain itu, penghidap diabetes juga perlu tetapkan waktu pengambilan makanannya supaya dapat mengetahui kesan ubat-ubatan diabetes yang diambil,” katanya sambil menambah jumlah sebenar karbohidrat perlu diambil adalah mengikut keperluan individu.

Mengekalkan berat badan normal adalah amat penting kepada penghidap diabetes kerana berat badan berlebihan boleh menyebabkan glukosa dalam darah tinggi dan ini membahayakan kesihatan.

Bagi memastikan berat badan normal, individu terbabit perlu bergerak aktif dan mengelakkan makanan berlemak serta memperbanyakkan pengambilan serat. Apatah lagi, diet yang mengandungi lemak tinggi juga boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.

“Banyakkan pengambilan serat yang boleh diperoleh daripada sayuran dan buah-buahan. Namun, harus ingat, kurangkan atau elakkan mengambil jus buah-buahan kerana kandungan gulanya agak tinggi,” kata Chui Hoong.

Penyelaras Program At 19 Culinary Studio, Hellen Fong berkata, pihaknya turut menyediakan bengkel masakan sihat bagi mencegah kolesterol tinggi, antibarah, kesihatan mata serta makanan sihat untuk kanak-kanak.

“Kami meningkatkan keprihatinan pengguna mengenai pemakanan sihat. Hari ini, semakin ramai yang bimbang mengenai amalan diet mereka dan ingin tahu bagaimana hendak makan dengan betul serta hidup sihat,” katanya.


Menu sihat

Ikan Tenggiri Panggang Bersama Halia Muda


Bahan:

2 keping ikan tenggiri
Kunyit
2 ulas bawang putih
2 sentimeter halia
1 sudu teh serbuk cili
1 sudu teh serbuk kari ikan
Sedikit serbuk kunyit
4 sudu teh dadih rendah lemak
2 sudu teh puri tomato
1 biji limau purut
1 sudu teh minyak
Halia muda

Cara menyediakan:

1. Gaulkan ikan tenggiri dengan serbuk kunyit, garam dan lada hitam.
2. Panggang ikan tenggiri dalam ketuhar selama 15 minit. Ketepikan.
3. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bawang putih, bawang merah dan halia muda yang sudah dikisar.
4. Masukkan dadih, serbuk cili, serbuk kari, puri tomato, serbuk kunyit dan halia yang sudah dicincang.
5. Tuang sambal ke atas ikan tenggiri panggang.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sayaadadiabetes/Article/

Obesiti & Diabetes / Kencing Manis

Kajian yang diterbitkan oleh jurnal Lancet yang terkini menunjukkan diabetes (atau nama tempatannya “kencing manis”) telah meningkat sebanyak 2 kali ganda di serata dunia sejak tahun 1980. Angka itu meningkat dari 153 juta pengidap kepada 327 juta pengidap pada tahun 2011! Kajian ini dilakukan oleh para pengkaji dari Imperial College London dan Harvard University. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan juga, rata-rata mereka adalah tergolong dari kategori ke-2 (diabetes tahap ke-2) yang mana kewujudannya tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan oleh gaya hidup yang lemah dan obesiti.

Bulatan biru ini merupakan lambang universal untuk penyakit kencing manis.

Situasi di Hospital
Menurut sebuah firma yang mengeluarkan ubat-ubatan (IMS Health), perbelanjaan untuk menghasilkan ubat-ubatan kencing manis ini yang mana dianggarkan bernilai £22 billion setahun mungkin akan terus meningkat kepada £30 billion setahun menjelang 2015! Ini fakta gila, memang gila.

 

Kadang-kadang terasa sadis ada, sedih pun ada. Apabila aku sakit dan berkunjung ke hospital kerajaan, semestinya ruangan menunggu di hadapan farmasi pasti dipenuhi dengan para pesakit yang hendak mengambil ubat. Untuk mengambil ubat apa sebenarnya? Jangan tanya aku, tetapi tanyalah mereka yang pernah bekerja di hospital kerajaan. Kawan aku (umur dalam lingkungan 25 tahun) yang bekerja sebagai seorang ahli farmasi di sebuah hospital kerajaan pernah menceritakan sebuah kisah yang bagi aku ngeri untuk didengari.

Kawan aku: Dik, datang nak ambil ubat apa? Sakit apa? Boleh tengok resit? (Ramah kawan aku ni)
Pesakit: (Dengan muka sugul dan masam, tidak berkata apa-apa, lalu menyerahkan sekeping kertas)
Kawan aku: Metformin..? Kencing Manis ke dik?
Pesakit: (tak berkata apa-apa, tetapi mengangguk lemah)
Kawan aku: Astaghfirullah… muda-muda lagi dah kena…

Serius sebenarnya masalah kencing manis ni di Malaysia. Kita tak berapa nampak situasi ini kerana kita tidak bekerja di Hospital. Orang yang bekerja di Hospital kerajaan sahaja (sebab kos rawatan murah, ubat disubsidikan oleh kerajaan) yang nampak akan gambaran sebenar situasi ini. Ayat seorang lagi rakan yang bekerja sebagai pembantu perubatan mungkin lebih kurang ajar, tapi realitinya, itulah dia Hospital di Malaysia – “Hospital sekarang ni setiap pagi dah jadi tempat melepak orang kencing manis, darah tinggi, sakit itu, sakit ini…”. Dan perlu anda tahu juga, selalunya kencing manis ini tidak akan bersendirian. Kalau tak hypertension (darah tinggi), mesti lemah jantung atau “sakit paru-paru”, atau kombinasi kesemuanya sekali.


Diabetic Foot Ulcer… arwah tok wan sebelah ayah meninggal kerana ini. Kaki dia terluka kerana terpijak kaca, dan lukanya pula lambat sembuh. Doktor menasihatkan dia supaya memotong kakinya (dah kronik) tetapi dia enggan. Akibatnya, dia meninggal dunia ketika usia aku tak sampai setahun. Kini, seluruh keluarga (adik-beradik) ayah kesemuanya mengidap kencing manis. Andaikata ini adalah disebabkan genetik, maka aku pasti tidak terlepas dari ancaman “lahanat” yang satu ini.

Sinonim dengan kematian

Kematian di kalangan manusia secara umumnya boleh dikelaskan kepada kategori berikut:
  1. Kemalangan – Kecuaian, kemalangan jalan raya, terbunuh.
  2. Penyakit berjangkit (communicable disease) – Malaria, AIDS, Tuberculosis, Wabak H5N1.
  3. Penyakit bukan berjangkit (non communicable disease) – Kanser, Kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung
  4. Sakit kerana terlalu tua
Walaubagaimanapun, berdasarkan statistik terbaru PBB, 2 daripada 3 kematian yang berlaku di seluruh dunia adalah berpunca daripada penyakit bukan berjangkit (non communicable disease) sama ada dari kanser (terutamanya paru-paru), kencing manis, darah tinggi, dan penyakit berkaitan jantung! Sekali lagi, ini merupakan fakta gila! Memang gila! Lebih gila lagi apabila “kencing manis” juga mahu tumpang glamer dengan berdiri sebaris di situ.

Malah, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon menambah dalam laporan berkenaan bahawa empat penyakit utama bukan berjangkit ini telah muncul perlahan-lahan di negara-negara maju dan membangun, dan tanpa disedari mereka kini telah menjadi satu wabak global yang dahsyat!

Tahukah anda, datangnya penyakit bukan berjangkit di atas adalah disebabkan oleh gaya hidup yang SANGAT lemah? Ya, gaya hidup orang Malaysia yang SANGAT lemah seperti merokok, terlalu sibuk menghasilkan “stress” menerusi kerjaya masing-masing sampai tiada masa untuk bersukan mahu pun bersenam, kurang pengetahuan tentang amalan pemakanan sihat (tetapi lebihkan pula pengambilan makanan yang tidak sihat), dan kurangnya kesedaran terhadap tahap kesihatan seawal usia muda (bila dah tua, baru nak terhantuk, masa tu terngadah di atas katil pun tak berguna lagi), semua itu merupakan faktor kepada tahap kesihatan yang lemah. Obesiti ada di mana-mana, dan tak keterlaluan sekiranya aku berkata, “Anda sebenarnya sedang membunuh diri anda secara perlahan-lahan, mereka adalah pembunuh bersiri yang ada di mana-mana, kewujudan mereka (makanan ringan, rokok, dll) dianggap seperti kawan, walhal mereka adalah musuh di dalam selimut“. Aku tak mahu kupas faktor-faktor ini panjang-panjang kerana aku pernah tulis akan hal ini dahulu (rujuk sini).


Belum terlambat
Masih belum terlambat untuk bertaubat. Tak susah sebenarnya nak bertaubat dan caranya adalah, kembali merujuk kepada faktor-faktor tadi, katakan tidak faktor-faktor tadi. Adakah itu sesuatu yang susah?

Dan dikesempatan ini, aku nak kongsikan juga satu penemuan baru berkenaan rawatan diabetes tahap 2. Kajian yang diterbitkan oleh jurnal Diabetologia baru-baru ini oleh para penyelidik dari Newcastle University telah merumuskan diet ekstrim dengan mengambil 600kcal sehari untuk 8 minggu mampu untuk merawat penyakit kencing manis tahap 2 di peringkat awal. Kalau berminat, aku akan cerita lagi tentang penemuan ini dalam entri yang akan datang. Permintaan boleh dilakukan pada ruangan komen.

http://sususejat.com/cerita-terkini-obesiti-dan-diabetes/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...