Saya Ada Diabetes. Apa Perlu Saya Makan?

 

MAKANAN sihat sering kali dianggap hidangan yang tidak menyelerakan kerana untuk menyediakannya, kebanyakan bahan perisa digunakan perlu dikurangkan atau langsung tidak dimasukkan dalam masakan. Keadaan itu sudah tentu menyebabkan rasa hidangan berkenaan ‘lari’ daripada keenakannya yang sebenar atau berasa hambar, sekali gus membuatkan putus selera untuk menikmatinya.
Bagi yang menghidap penyakit pula, makanan sihat bermakna - perlu berpantang banyak jenis makanan supaya tahap kesihatan tidak terjejas. Kata-kata seperti “tidak boleh makan itu, tidak boleh makan ini” lazim kedengaran semata-mata bimbang pengambilan makanan berkenaan akan menyebabkan kesihatan terjejas.

Penghidap diabetes antara yang sering kali terpaksa `ikat selera’.
Mereka selalu diingatkan supaya jangan mengambil karbohidrat dan kurangkan kadar penggunaan gula dalam masakan. Malah, segala makanan berkarbohidrat atau mempunyai kandungan gula tinggi tanpa ada pilihan diberikan, dilarang sama sekali bagi memastikan paras glukosa tidak naik.

Perunding Dietetik, At 19 Culinary Studio, Goo Chui Hoong, berkata memastikan pengambilan makanan sihat, khususnya buat mereka yang berpenyakit bukan bermakna langsung tidak boleh makan, sebaliknya perlu ada kawalan dan kadar sesuai ketika mengambilnya.
Kata Chui Hoong, makanan sihat bukan hanya untuk individu yang ada penyakit tetapi juga sesuai dan bermanfaat kepada semua bagi menjaga kesihatan serta mencegah penyakit.

Pesakit diabetes, bukan tidak boleh langsung mengambil karbohidrat dan gula kerana hakikatnya, pengambilan makanan sedemikian amat penting bagi memastikan pemakanan nutrisi yang seimbang. Cuma, kadar diambil perlu seimbang dan berpatutan.

“Karbohidrat ditukar kepada glukosa dan darah membawa glukosa ke seluruh tubuh serta diserap tubuh untuk menjadi sumber tenaga. Jumlah glukosa yang diperlukan oleh tubuh kita akan dikendalikan insulin dan jika tidak cukup ia boleh memberi kesan, tubuh menjadi lemah.

“Tetapi jika karbohidrat terlalu tinggi dalam diet, ia juga tidak elok kerana tahap glukosa dalam darah akan tinggi dan menyebabkan risiko kepada pesakit diabetes,” katanya ketika mengendalikan bengkel masakan sihat bertajuk, Saya Ada Diabetes - Apa Yang Perlu Saya Makan, anjuran At 19 Culinary Studio, di Damansara Heights, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bengkel masakan itu adalah antara siri bengkel Kesihatan & Nutrisi, dikendalikan At 19 Culinary Studio, yang dibuka sejak setahun lalu. Selain membincangkan corak pemakanan sihat serta kesan terhadap kesihatan, bengkel itu turut memberi tunjuk ajar menyediakan beberapa resipi sihat dan enak.

Jelas Chui Hoong, karbohidrat terbahagi kepada dua jenis iaitu sederhana dan kompleks. Karbohidrat sederhana ialah gula, termasuk glukosa dan fruktosa daripada buah-buahan, sayuran serta laktosa daripada susu dan sukrosa daripada tebu atau gula tebu.

Karbohidrat kompleks pula kebanyakannya diperoleh daripada sumber yang tidak perlu banyak diubahsuai. Biasanya adalah makanan ruji seperti nasi, roti dan dan ubi.

Penghidap diabetes perlu hadkan jumlah pengambilan jenis karbohidrat yang diambil dalam menu harian. Mereka juga dinasihatkan tidak meninggalkan waktu makan, bagi mencegah kandungan glukosa dalam darah terlalu tinggi atau rendah.

Lebih baik lagi jika dapat mensasarkan menyediakan pengambilan 50 peratus tenaga daripada karbohidrat dengan meningkatkan pengambilan karbohidrat kompleks atau makanan yang kaya serat.

“Satu mangkuk nasi sudah memadai untuk diambil pada satu masa. Tetapi ada yang memang suka makan nasi dan ingin makan dua mangkuk. Bagi mengelakkan kadar karbohidrat diambilnya tinggi pada satu masa, dia mungkin boleh asingkan dua mangkuk nasi itu dengan mengambilnya dalam masa berbeza.

“Selain itu, penghidap diabetes juga perlu tetapkan waktu pengambilan makanannya supaya dapat mengetahui kesan ubat-ubatan diabetes yang diambil,” katanya sambil menambah jumlah sebenar karbohidrat perlu diambil adalah mengikut keperluan individu.

Mengekalkan berat badan normal adalah amat penting kepada penghidap diabetes kerana berat badan berlebihan boleh menyebabkan glukosa dalam darah tinggi dan ini membahayakan kesihatan.

Bagi memastikan berat badan normal, individu terbabit perlu bergerak aktif dan mengelakkan makanan berlemak serta memperbanyakkan pengambilan serat. Apatah lagi, diet yang mengandungi lemak tinggi juga boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.

“Banyakkan pengambilan serat yang boleh diperoleh daripada sayuran dan buah-buahan. Namun, harus ingat, kurangkan atau elakkan mengambil jus buah-buahan kerana kandungan gulanya agak tinggi,” kata Chui Hoong.

Penyelaras Program At 19 Culinary Studio, Hellen Fong berkata, pihaknya turut menyediakan bengkel masakan sihat bagi mencegah kolesterol tinggi, antibarah, kesihatan mata serta makanan sihat untuk kanak-kanak.

“Kami meningkatkan keprihatinan pengguna mengenai pemakanan sihat. Hari ini, semakin ramai yang bimbang mengenai amalan diet mereka dan ingin tahu bagaimana hendak makan dengan betul serta hidup sihat,” katanya.


Menu sihat

Ikan Tenggiri Panggang Bersama Halia Muda


Bahan:

2 keping ikan tenggiri
Kunyit
2 ulas bawang putih
2 sentimeter halia
1 sudu teh serbuk cili
1 sudu teh serbuk kari ikan
Sedikit serbuk kunyit
4 sudu teh dadih rendah lemak
2 sudu teh puri tomato
1 biji limau purut
1 sudu teh minyak
Halia muda

Cara menyediakan:

1. Gaulkan ikan tenggiri dengan serbuk kunyit, garam dan lada hitam.
2. Panggang ikan tenggiri dalam ketuhar selama 15 minit. Ketepikan.
3. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bawang putih, bawang merah dan halia muda yang sudah dikisar.
4. Masukkan dadih, serbuk cili, serbuk kari, puri tomato, serbuk kunyit dan halia yang sudah dicincang.
5. Tuang sambal ke atas ikan tenggiri panggang.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sayaadadiabetes/Article/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...