KUALA LUMPUR 21 Jun - Para pesakit diabetes jenis kedua yang dirawat menggunakan ubat rosiligtazone (Avandia) kini menghadapi risiko serangan jantung dan kematian akibat komplikasi kardiovaskular.
Laporan mengenai risiko itu disiarkan dalam Jurnal Perubatan New Zealand baru-baru ini berdasarkan kaji semula 42 kajian klinikal.
Bagaimanapun Pengarah Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Datuk Che Mohd. Zin Che Awang berkata, risiko ubat Avandia berhubung dengan keselamatan kardiovaskular itu masih tidak dapat dipastikan.
“Di Malaysia Avandia digunakan sebagai tambahan kepada diet dan senaman untuk meningkatkan kawalan gula dalam (badan) pesakit sebagai monoterapi atau digunakan bersama dengan sulfonylurea atau metformin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Diabetes jenis kedua adalah berpunca daripada gaya hidup dan pada masa yang sama berkait rapat dengan faktor genetik dan keturunan yang boleh diwariskan kepada anak-anak.
Mengikut perangkaan terkini Kementerian Kesihatan, seramai 2.6 juta rakyat negara ini menghidapi diabetes dan dijangka meningkat kepada 3.38 juta orang menjelang 2020.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan kira-kira 180 juta penduduk dunia menghidapi penyakit tersebut menyebabkan 1.1 juta kematian pada 2005 dengan anggaran lima peratus kematian di seluruh dunia disebabkan diabetes setiap tahun.
Menurut Che Mohd. Zin, risiko serangan jantung itu telah dinyatakan di bahagian amaran pada semua bungkusan ubat Avandia.
Ekoran risiko itu katanya, doktor diingatkan supaya mematuhi batas-batas pemberian ubat itu terutama kepada pesakit jantung.
Bagaimanapun katanya, para pesakit diabetes dinasihatkan untuk tidak memberhentikan rawatan dengan ubat itu sebaliknya mereka perlu berbincang dengan doktor masing-masing.
Pada 6 Jun lalu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) mengeluarkan surat kepada para pengilang Avandia dan ubat dari kelas terapeutik yang sama, supaya amaran pada bungkusan ubat dinyatakan dengan jelas.
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
No comments:
Post a Comment