Kawan-kawan juga mula menegur tubuhnya yang semakin kurus dan lebih aneh beliau kerap terasa dahaga dan lapar. Tidurnya juga terganggu kerana kerap membuang air sejak kebelakangan ini.
Beliau yang selalu sibuk dengan tugas seharian pada mulanya tidak mengendahkannya, tetapi apabila beliau mula perasan penglihatannya semakin kabur, Puan Mariam mula menyedari kemungkinan beliau menghidapi sesuatu masalah yang serius.
Temu janji berjumpa pakar mata mendapati beliau menghidap penyakit kencing manis dan telah menjadi serius sehingga mendapat komplikasi mata.
10 soal jawab berkenaan penyakit diabetes & retinopati diabetik
1. Apakah penyakit diabetes?
Penyakit diabetes atau kencing manis adalah disebabkan paras gula yang tinggi di dalam darah.
Ini adalah kerana gangguan kepada hormon insulin yang dihasilkan oleh sel- sel pankreas.
Komplikasi yang diakibatkan oleh penyakit kencing manis adalah masalah mata, buah pinggang, sistem saraf, salur darah, jantung dan juga otak.
Masalah mata yang sering terjadi ialah retinopati diabetik.
2. Apakah retinopati diabetik dan apakah gejalanya?
Retinopati diabetik adalah komplikasi pada retina mata.
Retina adalah diibaratkan filem pada sebuah kamera, di mana ia menerima imej yang terbentuk dan memproses cahaya.
Masalah retinopati selalu terjadi kepada pesakit yang telah lama menghidap kencing manis dan tidak mengawal paras gula darah dengan baik.
Penyakit retinopati kadangkala langsung tidak menunjukkan sebarang gejala.
Ia hanya dapat dikesan apabila doktor memeriksa retina mata melalui pemeriksaan ‘fundoskopi’ atau gambar retina diambil dengan kamera khas.
3. Adakah semua pesakit diabetes akan menghidapi retinopati?
TIDAK. Penyakit diabetes yang terkawal akan melambatkan proses retinopati.
Tetapi pesakit yang telah lama menghidapi penyakit diabetes lambat laun akan menghidapi retinopati juga walaupun penyakit diabetes dikawal dengan baik.
Pesakit diabetes jenis kedua atau diabetes mellitus yang tidak bergantung kepada suntikan insulin, mesti berjumpa dengan doktor mata apabila mereka disahkan menghidapi diabetes pada pertama kali.
Bagi diabetes jenis pertama atau mellitus yang bergantung kepada suntikan insulin, mereka harus diperiksa selepas 5 tahun disahkan menghidap diabetes.
Sekurang-kurangnya pemeriksaan mata mesti dilakukan sekali dalam setahun.
Bagi mereka yang hamil, pemeriksaan mata juga harus dilakukan dengan kerap.
4. Apakah jenis-jenis retinopati?
Terdapat 3 jenis retinopati:
a. Retinopati jenis tidak proliferatif adalah jenis paling ringan. Biasanya ia tidak mengganggu penglihatan.
b. Retinopati jenis proliferatif adalah jenis yang bahaya di mana ia punca utama kebutaan.
Rawatan yang didapati berkesan untuk retinopati jenis proliferatif ialah rawatan fotokoagulasi laser.
c. Makulopati – terjadi kebocoran salur darah pada kawasan makula pada retina.
Ia boleh didapati pada peringkat tidak proliferatif dan juga proliferatif.
Pesakit yang mendapat makulopati akan diberi rawatan laser fokal.
5. Apakah retinopati jenis proliferatif?
Ia jenis yang paling bahaya. Ini kerana terbentuknya salur darah baru yang tidak normal dan rapuh.
Salur darah ini mudah pecah dan mengakibatkan pendarahan pada struktur vitreous (kekaca) dalam bola mata.
Pendarahan di dalam bola mata juga akan mengakibatkan pembentukan parut pada retina.
Apabila parut ini tertarik, ia akan menyebabkan retina menjadi terkoyak dan lekang dari kedudukan asal.
Ini akan menyebabkan pesakit menjadi buta. Kadangkala salur darah juga boleh menjadi bocor pada kawasan makula retina.
Ini akan menyebabkan makula menjadi bengkak dan seterusnya mengganggu fungsi penglihatan.
6. Apakah fotokoagulasi laser?
LASER adalah akronim yang bermaksud Penguatan Rangsangan Pancaran Radiasi Laser.
Mesin laser mengeluarkan cahaya pada gelombang yang tertentu yang dapat menghasilkan tenaga.
Fotokoagulasi ialah proses di mana tenaga cahaya dalam bentuk laser digunakan untuk menghasilkan pancaran pada retina.
Tenaga diserap oleh pigmen retina untuk mengurangkan penghasilan bahan kimia yang merangsang pertumbuhan salur darah baru.
Rawatan laser pada kawasan makula dapat mengurangkan pengumpulan cecair dalam lapisan retina akibat kebocoran pada salur darah.
Kadangkala rawatan laser pada makula juga dapat memperbaiki penglihatan pesakit.
7. Adakah semua pesakit yang menghidapi retinopati akan menjadi buta?
TIDAK. Kebanyakan pesakit tidak akan hilang penglihatan mereka.
Tetapi risiko menjadi buta di kalangan pesakit retinopati diabetes adalah 20 kali ganda lebih tinggi daripada mereka yang tidak mengalami diabetes.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan antara tiga hingga empat juta orang buta di seluruh dunia akibat diabetes.
8. Apakah yang harus dilakukan untuk memelihara penglihatan pesakit diabetes?
Sekiranya anda mempunyai gejala-gejala diabetes, segeralah berjumpa doktor supaya masalah anda dapat dikenal pasti dan dirawat di peringkat awal.
Anda haruslah mengawal penyakit diabetes dan juga faktor-faktor metabolik yang lain seperti tekanan darah dan paras kolesterol.
Ini dapat dilakukan dengan mematuhi arahan dan nasihat doktor anda, mengambil ubatan yang telah ditetapkan, mengamalkan cara hidup sihat melalui amalan pemakanan yang sihat, bersenam dan berhenti merokok.
Anda juga harus menjalani pemeriksaan mata berkala sekurang-kurangnya sekali setahun.
9. Adakah rawatan laser dapat memulihkan penglihatan semua pesakit?
TIDAK. Tujuan utama rawatan laser adalah untuk mengelakkan masalah kebutaan.
Selalunya penglihatan tidak dapat dipulihkan kepada keadaan asal.
Dalam sesetengah pesakit, rawatan laser mungkin membantu memulihkan penglihatan di peringkat awal retinopati.
10. Apakah harapan untuk merawat mata yang telah menjadi buta akibat retinopati diabetik?
Pembedahan vitrektomi bagi mencuci darah dan melekapkan semula retina yang telah lekang mungkin dapat memperbaiki keadaan mata.
Walau bagaimanapun, peluangnya agak tipis.
Pesakit yang telah menjalani rawatan laser mempunyai peluang yang lebih cerah berbanding mereka yang tidak pernah menjalani rawatan laser.
Setakat ini tiada lagi ubat-ubatan yang didapati berkesan secara eksklusif untuk penyakit ini.
Perkembangan Pesakit
Puan Mariam didapati menghidapi retinopati jenis sederhana melibatkan lapisan makula.
Setelah darahnya diperiksa didapati beliau mempunyai paras gula yang tinggi.
Doktor mata telah merujuk beliau kepada pakar perubatan dan beliau telah diberikan rawatan untuk kencing manis.
Darah beliau juga telah diperiksa untuk mengesan komplikasi lain seperti masalah kolesterol, jantung dan buah pinggang.
Di klinik mata, Puan Mariam telah menjalani rawatan laser fokal yang tidak menyakitkan.
Selepas 6 minggu Puan Mariam berasa lebih sihat dan penglihatannya beransur pulih.
No comments:
Post a Comment