Ancaman Kencing Manis


Dalam keluarga anda, termasuk saudara mara terdekat, berapa orang agaknya menghidap penyakit kencing manis? Seorang, dua atau lebih? Kini penyakit kencing manis menjadi seperti perkara biasa dan kita tidak terkejut apabila mengetahui ada rakan menghidap penyakit ini.

Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 1996, kira-kira 8.3 peratus penduduk Malaysia menghidap kencing manis. Selepas 10 tahun, jumlah sebenarnya jauh lebih tinggi dan lebih membimbangkan, penyakit ini makin menular pada golongan muda.

Namun perkara ini tidak harus dianggap sebagai kebiasaan dan perlu dielakkan dengan penjagaan pemakanan sejak muda, terutama bagi individu yang menghadapi masalah berat badan berlebihan, mempunyai ahli keluarga menghidap sakit jantung dan kencing manis.

Ini kerana anda juga berpeluang mendapat penyakit sama, khususnya jika anda mempunyai tiga ciri berikut iaitu perempuan, mengalami kegemukan di pinggang dan berumur 40 tahun ke atas.

Ramai orang tidak sedar mereka ada masalah paras gula tinggi dalam badan (dipanggil kerintangan insulin) kerana ia tidak menunjukkan tanda atau gejala. Justeru, ramai tidak sedar mereka meniti ‘laluan’ untuk mendapat kencing manis, sakit jantung atau kedua-duanya.

Biasanya selepas umur 40, ramai wanita mula mengalami masalah pertambahan berat badan. Malah, ada yang tidak mengambil usaha untuk mengatasi perkara ini hinggalah masalah berat badan berlebihan bertukar menjadi obesiti. Pada peringkat ini, usaha menurunkan berat badan menjadi lebih sukar dan perlahan.

Apabila berat badan bertambah, pergerakan menjadi perlahan. Bersenam dianggap aktiviti lebih payah dan sukar dilakukan. Namun membiarkan berat badan bertambah sebenarnya hanya meningkatkan risiko mendapat kencing manis dan sakit jantung.

Risiko ini lebih tinggi jika ada ahli keluarga menghidap dua penyakit kronik itu. Malangnya, ramai tidak melihat ia sebagai amaran atau peringatan untuk memulakan langkah berjaga-jaga bagi mengelakkannya.

Wanita dalam kategori ini perlu menjaga kesihatan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang serta mula bersenam. Amat menyedihkan, kurang tujuh peratus wanita di negara ini bersenam. Malah, ada yang tidak pernah bersenam langsung kecuali ketika di sekolah dulu.

Dalam laluan menuju ke alam menopaus, badan mengalami banyak perubahan hormon yang merangsang masalah seperti kepanasan dan gangguan kitaran haid. Ketika ini ramai wanita mula mengalami masalah pengumpulan lemak, terutama di pinggang. Namun, jangan ukuran pinggang anda terus meningkat melebihi 80 sentimeter (32 inci).

Selain pinggang, lemak berkumpul pada hati dan organ penting lain, mengakibatkan masalah kerintangan insulin. Maknanya, insulin tidak lagi mampu memindahkan glukos dalam darah ke sel (yang digunakan sebagai tenaga). Lama kelamaan ia menyebabkan paras gula dalam darah menjadi semakin tinggi.

Tanpa tenaga (glukos), banyak proses semula jadi dalam badan terganggu, tekanan darah meningkat selaras peningkatan paras gula dan lemak dalam darah — menyebabkan sel menjadi lebih rintang terhadap insulin. Akibatnya, wanita mendapat kencing manis, tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Malah, wanita yang mendapat kencing manis ketika mengandung juga perlu lebih berhati-hati kerana kajian mendapati mereka berisiko tinggi mengalami masalah kerintangan insulin jika tidak mengawal pemakanan dan berat badan.

Ada pakar perubatan berpendapat, selalu berasa letih dan tidak bertenaga, suka makan makanan manis dan berkarbohidrat ada kaitan dengan masalah ini. Bagaimanapun, ia hanya gejala umum kerana banyak perkara boleh menyebabkan seseorang kerap berasa lebih atau ingin makan makanan manis dan berkarbohidrat.

Kajian terbaru menunjukkan kencing manis meningkatkan risiko mendapat pelbagai penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian. Kesan kencing manis dikatakan lebih buruk berbanding obesiti.

Kajian dijalankan Hospital Universiti Kentucky Chandler dan Fakulti Perubatan Universiti Emory, Atlanta ke atas 15,408 orang berumur antara 44 hingga 66 tahun mendapati, pesakit kencing manis mempunyai kebarangkalian tiga kali ganda untuk mendapat penyakit kritikal disebabkan kegagalan organ berbanding individu obes yang tiada kencing manis.

Banyak kajian membuktikan perubahan gaya hidup ke arah lebih sihat boleh meningkatkan kualiti kesihatan dengan cepat. Kajian Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat ke atas individu berlebihan berat badan yang mengawal pemakanan dan bersenam mendapati mampu mengurangkan risiko kencing manis sebanyak 60 peratus.

Secara umumnya, perubahan pemakanan dan senaman mampu mencegah pelbagai penyakit kronik. Perubahan pemakanan ini tidak perlu mendadak kerana perkara yang dilakukan secara tiba-tiba sukar untuk bertahan lama.

Sebaik-baiknya lakukan secara berperingkat. Perkara paling utama ialah bersederhana, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan, minum banyak air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari (atau satu liter) dan ada petua mengatakan, berhenti makan sebelum kenyang.

Penjagaan kesihatan adalah tanggungjawab setiap orang. Sebagai wanita, tanggungjawab ini lebih besar kerana sebagai isteri dan ibu, anda perlu menjaga kesihatan keluarga, khususnya anak.

Corak pemakanan wanita biasanya akan mempengaruhi pemakanan seisi keluarga. Justeru, jangan perjudikan kesihatan anak dengan tabiat pemakanan kurang sihat. Luangkan masa untuk bersenam bersama suami dan anak kerana manfaatnya akan dinikmati seisi keluarga.

http://www.serikasih.com/ancaman-kencing-manis

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...