Tangani Komplikasi Diabetes


Sejauh manakah kawalan hipertensi dan gula dalam darah dapat membantu merendahkan komplikasi serius akibat diabetes?

HASIL kajian kedua (pengurangan intensif gula dalam darah) atau ADVANCE mendedahkan pengurangan tahap gula dalam darah kepada 6.5 peratus (HbA1c) merupakan cara yang selamat dan berkesan untuk mengurangkan komplikasi serius akibat diabetes.

Risiko mendapat penyakit buah pinggang mencecah sehingga 21 peratus.

Perunding Kanan Pakar Endokrinologi, Profesor Chan Siew Pheng berkata, risiko penyakit buah pinggang akibat diabetes adalah yang paling serius. Ia boleh melumpuhkan sehingga membawa kematian kepada lima pesakit diabetes.

Ini bermakna terdapat pengurangan sebanyak 30 peratus dalam kes-kes penemuan protein dalam air kencing yang dilaporkan.

Seperti yang diumumkan dalam satu tutorial media baru-baru ini, kajian itu dilakukan untuk menjawab beberapa persoalan. Antaranya termasuklah berkaitan kawalan hipertensi dan pengurusan kandungan gula dalam darah lebih ketat di kalangan pesakit diabetes Jenis 2.

Bolehkah kawalan intensif tekanan darah bersama kawalan kadar gula dalam darah mengurangkan komplikasi penghidap diabetes Jenis 2 ?

Hasil kajian cabang pengurangan intensif gula dalam darah telah dibentangkan buat julungnya pada sesi Saintifik Persatuan Diabetes Amerika baru-baru ini di San Francisco.

Penemuan ini dikongsi bersama syarikat farmaseutikal, Servier dan media tempatan bersama dengan Pakar Endokrinologi, Profesor Amir Khir, Profesor Datuk Wan Mohamad yang turut hadir semasa hasil kajian dibentangkan di San Francisco.

Ketiga-tiga pakar adalah sebahagian daripada pasukan penyelidik ADVANCE yang menerajui tiga daripada lima buah pusat klinikal yang terlibat dalam kajian ini di Malaysia.

Lima buah pusat klinikal terbabit termasuklah Hospital Besar Pulau Pinang, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

ADVANCE merupakan kajian klinikal terbesar dijalankan untuk diabetes Jenis 2. Ia melibatkan 215 buah pusat klinikal di seluruh dunia daripada 20 buah negara termasuk Asia, Australasia, Eropah dan Amerika Utara dengan sejumlah 11,140 orang pesakit.

Menurut Chan, selain berjaya menurun dan mengekalkan tahap gula dalam darah serta mengurangkan penyakit buah pinggang, risiko keseluruhan komplikasi diabetes yang serius juga dapat dikurangkan sehingga 10 peratus. Sementara 12 peratus pengurangan dalam risiko kardiovaskular.

Chan berkata, hasil ini amat penting kerana terdapat peningkatan yang konsisten dalam data penyakit buah pinggang rakyat Malaysia.

Berdasarkan Laporan ke-14, Daftar Dialisis dan Pemindahan Malaysia 2006, hampir 57 peratus daripada kegagalan buah pinggang yang teruk adalah disebabkan diabetes Jenis 2 . Kebanyakan daripada gejala ini jika tidak dikesan dan dirawat akan menyebabkan kegagalan buah pinggang dan kematian.

Lebih daripada 3,000 orang rakyat Malaysia didiagnos dengan kegagalan buah pinggang peringkat terakhir setiap tahun. Hari ini, lebih 15,000 orang rakyat Malaysia bergantung kepada mesin dialisis dan bilangan ini dijangka akan meningkat kepada 20,000 menjelang tahun 2010.

Daftar di atas menunjukkan bahawa kejadian kardiovaskular adalah sebab terbesar kematian di kalangan penghidap penyakit buah pinggang akibat diabetes. Pada tahun 2006 sahaja, 28 peratus daripada lebih 3,000 orang pesakit dilaporkan telah meninggal dunia akibat penyakit kardiovaskular.

“Hampir 300 orang rakyat Malaysia terlibat dalam kajian ini. Justeru itu, kepelbagaian kaum, gaya hidup, latar belakang dan persekitaran pesakit bukan sahaja akan memudahkan ekstrapolasi hasil kajian kepada amalan klinikal sedunia tetapi ia juga mempunyai kesan langsung terhadap kita di Malaysia,” kata Wan Mohamad.

Hasil kajian cabang pertama yang diterbitkan pada bulan September tahun lalu, telah menerima maklum balas yang positif daripada fraterniti perubatan tempatan.

Wan Mohamad menambah, ADVANCE juga berada di bawah perhatian global kerana Kajian ACCORD (Action to Control Cardiovascular Risk in Diabetes – Tindakan Mengawal Risiko Kardiovaskular dalam Diabetes) yang dihentikan oleh sebab mortaliti berlebihan di kalangan pesakit yang menyertai kajian tersebut.

Jelasnya, kajian ACCORD turut mengkaji kesan pengurangan kadar glukos tetapi pada tahap yang lebih rendah berbanding kajian ADVANCE. Dengan kadar kematian yang mendadak di kalangan pesakit ACCORD, fraterniti global kini beralih kepada kajian ADVANCE sebagai asas untuk mengkaji dan membandingkan hubungan rawatan yang digunakan, kepentingan tahap gula dan kemungkinan penyebab kematian di kalangan pesakit dalam kajian ACCORD.

Cabang pertama kajian ADVANCE bertujuan untuk mengkaji kesan-kesan gabungan komposisi perindopril dan indapamide, yang merupakan rawatan masa kini untuk hipertensi, bagi menurunkan tekanan darah di kalangan pesakit diabetes Jenis 2.

Hasilnya menunjukkan bahawa kadar kelangsungan hidup yang meningkat dan mengurangkan penyakit hati dan buah pinggang dalam diabetes.

“Jumlah kadar kematian dapat dikurangkan sebanyak 14 peratus dan risiko kematian kardiovaskular menurun kepada 18 peratus. Justeru itu, satu kematian dapat dielakkan untuk setiap 79 pesakit yang dirawat dengan gabungan tetap perindopil dan indapamide dalam tempoh lima tahun,” jelas Amir.

Kajian ADVANCE ini juga melibatkan empat subkajian yang penting untuk mengkaji fungsi jantung dan mata selepas selaan, keberkesanan kos, kualiti kehidupan dan faktor genetik.

n Kajian ini adalah usahasama oleh kumpulan para penyelidik perubatan bebas dan dibiayai bersama oleh The George Institute for International Health (Australia), Universiti Sydney, Majlis Penyelidikan Perubatan dan Kesihatan Nasional Australia dan Servier International.

Maklumat lebih lanjut tentang kajian ADVANCE dan perkembangan kajian ini, sila layari laman www.advance-trial.com.

Read More: http://www.serikasih.com/tangani-komplikasi-diabetes#ixzz1roJ596o9

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...