1.4 Juta Hidap Diabetes pada 2008, 2.4 juta pada 2030


Kanak-kanak seawal usia sembilan tahun kini berisiko menghidap kencing manis atau diabetes jika tidak mengamalkan pemakanan seimbang, kata seorang pakar penyakit itu.

Ketua Unit Endokrinologi dan Diabetes Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein, berkata trend global menunjukkan peningkatan penyakit itu kerana faktor pemakanan yang tidak berkhasiat di kalangan kanak-kanak terutama tidak mengawal tabiat makan dan minum.

“Penyakit diabetes sama seperti darah tinggi dan sakit jantung akan meningkat ke tahap membimbangkan jika rakyat Malaysia tidak mengubah tabiat mereka yang suka makan dalam kadar kerap,” katanya kepada pemberita selepas perasmian sambutan Hari Diabetes Sedunia 2008 peringkat Hospital Putrajaya oleh Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr Ismail Abu Taat di perkarangan KLCC di sini, semalam.

Dr Zanariah berkata, selain faktor genetik dan persekitaran, masalah obesiti meningkatkan risiko menghidap penyakit itu.

Beliau berkata, ibu bapa perlu mendidik anak-anak pemakanan seimbang bagi mengelak obesiti serta mengamalkan gaya hidup sihat.

Beliau berkata seramai 1.4 juta penduduk negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap diabetes dan dijangka meningkat kepada 2.4 juta pada 2030.

Hari Diabetes Sedunia bertemakan Diabetes Di Kalangan Kanak-kanak dan Remaja diraikan pada setiap 14 November iaitu hari kelahiran Frederick Banting yang menemui insulin bersama rakannya, Charles Best.

Lebih 2,000 penghidap diabetes, pengamal perubatan dan orang awam menghadiri sambutan itu yang menyediakan kemudahan mengesan diabetes seperti pemeriksaan kandungan gula dalam darah oleh pasukan pakar dari Hospital Putrajaya.

Sementara itu di PETALING JAYA, Pengarah Urusan Farmaseutikal Merck Sharp & Dohme (MSD), Ewe Kheng Huat, berkata diabetes berada di tangga keempat dalam senarai penyakit paling bahaya yang boleh membawa maut, menunjukkan peningkatan iaitu lebih 1.4 juta rakyat negara ini menghidapnya dan 98 peratus daripada mereka menghidap kencing manis jenis dua.

Katanya, data global yang terkini menganggarkan 246 juta penghidap kencing manis di seluruh dunia menjelang 2025 dan anggaran itu dijangka meningkat kepada 380 juta orang.

“Apa yang membimbangkan di kebanyakan negara, terdapat 50 peratus pesakit kencing manis tidak tahu mereka menghidap penyakit ini. Kencing manis jenis dua ini yang dikatakan berlaku apabila badan mengandungi paras gula atau glukosa darah yang tinggi,” katanya.

http://www.serikasih.com/1-4j-hidap-diabetes

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...