Potong Jari Elak Melarat


KOTA BHARU: “Saya menjadi orang cacat anggota kerana tidak mempunyai jari tengah kanan selepas dipotong akibat diabetes,” kata pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 2, di sini, Aziana Hazlynn Abdul Aziz, 16, semalam.
Berikutan penyakitnya, Aziana terpaksa merelakan jari tengah kanannya itu dipotong bagi mengelakkan luka melarat.

Susulan pembedahan pertama sebelum ini, Aziana menunggu masa sesuai menjalani pembedahan kedua bagi memastikan jari manis dan telunjuknya tidak terlalu jauh dan kelihatan hodoh.
Ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, di sini, pelajar itu berkata, dia sedih dengan keadaannya, sekali gus meranapkan harapannya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

“Sebelum menjalani pembedahan, jari tengah di bahagian kuku dan tengahnya menggelupas dan berkudis. Jika dipicit keluar nanah, menyebabkan ibu, Noor Azlina Che Abd Rahman, 46, membawa saya ke hospital dan doktor mengesahkan jari tengah perlu dipotong bagi mengelak merebak ke bahagian lain.

“Walaupun sedih, namun saya terpaksa merelakannya kerana mahu menjaga kesihatan. Bagaimanapun mungkin sukar untuk saya menulis apatah lagi mahu menduduki SPM tahun depan,” katanya ketika ditemui di HRPZ II, di sini, semalam.

Katanya, kemiskinan keluarga menyebabkan ibu bapanya tidak mempunyai wang bagi menanggung kos perubatan dan membeli ubat, jarum suntikan serta keperluan lain apatah lagi bapanya, Abdul Aziz Mohd Noor, 51, tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Bapa hanya bergantung hidup dengan ihsan rakan yang sering memintanya memandu ke Kuala Lumpur sebelum mendapat upah antara RM100 dan RM150 bagi setiap perjalanan,” katanya.
Pelajar malang itu berkata, sebelum ini dia tidak pernah menerima sebarang bantuan, termasuk biasiswa melainkan ketika berada di tahun lima dan enam menerima bantuan Kumpulan Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan.

“Namun, bantuan tidak kekal, sedangkan saya memerlukan wang bagi membeli pelbagai peralatan persekolahan terutama tahun depan akan menduduki peperiksaan penting, selain perlu mengikuti kelas tambahan,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Noor Azlina ketika ditemui di Kampung Atas Paloh, di sini berkata, dia buntu memikirkan nasib anak ke empat dari lima beradik itu yang memerlukan rawatan susulan termasuk suntikan insulin yang perlu dilakukan setiap hari.

“Anak saya memerlukan 10 suntikan seminggu dan jarum itu tidak boleh digunakan dua kali kerana bimbang mengandungi kuman, apatah lagi anak saya memerlukan ‘transfusi’ insulin setiap hari sebagai langkah mengawal gula dalam darahnya,” katanya.

“Selain perbelanjaan membeli peralatan berkenaan, kami terpaksa menyediakan keperluan lain termasuk makan minum bagi lima anak dan dua cucu yang tinggal bersama di rumah sewa yang uzur selain tidak mampu dibayar RM120 sebulan,” katanya.

Noor Azlina berkata, nasibnya agak terbela apabila pengurusan hospital tidak pernah meminta sebarang bayaran setakat ini termasuk bil perubatan dan wad, namun Aziana perlu membeli alat suntikan bagi menyalurkan insulin ke tubuhnya.

“Jika tidak, saya bimbang penyakit kencing manisnya semakin serius,” katanya

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Potongjarielakmelarat/Article/index_html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...