KUALA LUMPUR 17 Julai – Sukar untuk dipercayai apabila bayi berusia enam bulan turut dilaporkan mengalami diabetes di negara ini. Mendedahkan perkara itu pada program Kem Diabesiti 1Malaysia 2010 di sini hari ini, Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Putrajaya, Dr. Fuziah Md. Zain berkata, bayi tersebut menghidap kencing manis apabila antibodi dalam badannya telah merosakkan pankreasnya yang mengeluarkan insulin hingga mengakibatkan bayi tersebut mengalami kekurangan insulin.
“Kes
yang melibatkan bayi pada usia semuda ini adalah sangat jarang berlaku
kerana kebiasaannya pesakit diabetes di kalangan pesakit muda melibatkan
kanak-kanak dalam lingkungan usia empat hingga enam tahun.
“Jadi diabetes tidak mengenal usia. Sesiapa sahaja berisiko untuk menghidapinya,” katanya.
Dr.
Fuziah berkata, kebanyakan kanak-kanak yang menghidap diabetes adalah
dari jenis 1 di mana mereka memerlukan rawatan suntikan insulin
sepanjang hayat mereka. Mengikut statistik, antara 2006 hingga 2008
seramai 630 kanak-kanak dan remaja dikesan menghidapi diabetes di mana
80 peratus daripada mereka menghidap diabetes jenis 1 manakala 20
peratus lagi penghidap diabetes jenis 2, jelasnya.
Beliau
menerangkan bahawa diabetes jenis 2 kebiasaannya dialami oleh orang
dewasa manakala kanak-kanak yang mengalaminya adalah kerana mempunyai
masalah berat badan. Diabetes jenis 1 berlaku apabila pankreas pesakit
langsung tidak boleh menghasilkan insulin, manakala bagi jenis 2,
pankreas pesakit masih boleh menghasilkan insulin tetapi insulin itu
tidak dapat berfungsi dengan baik.
“Diabetes
di kalangan kanak-kanak bukan hanya berpunca daripada faktor keturunan
atau riwayat keluarga, pemakanan dan cara hidup, tetapi boleh juga
disebabkan oleh jangkitan virus. ”Penyakit ini tidak boleh diatasi
tetapi boleh dikawal sekiranya kanak-kanak ini memiliki disiplin dan
semangat yang tinggi serta mengamalkan cara hidup dan pemakanan yang
sihat,” kata Dr. Fuziah.
Beliau
berkata, ibu bapa, guru dan anggota masyarakat perlu memainkan peranan
penting dalam memotivasi dan menyokong kanak-kanak yang menghidapi
diabetes agar mereka tidak rasa tersisih. Melalui kem tersebut yang
dianjurkan oleh Jabatan Pediatrik Hospital Putrajaya, kanak-kanak
obesiti dan diabetes dikumpul untuk menjalani pelbagai aktiviti bagi
meningkatkan pengetahuan mereka terhadap diabetes dan cara penjagaannya.
Antara
pesertanya ialah Muhammad Hafizuddin Abu Hasan, 15, yang terkejut
apabila mengetahui dia menghidap diabetes tiga tahun lepas sedangkan dia
dikatakan tidak mempunyai keluarga yang menghidapnya. ”Masa itu saya
selalu rasa pening dan cepat penat. Bila saya dibawa untuk pemeriksaan
doktor, saya terkejut apabila diberitahu mengenainya,” katanya yang
tidak mempunyai masalah obesiti atau pemakanan.
Muhammad
Hafizuddin yang perlu mendapatkan suntikan insulin setiap hari berkata
diabetes yang dialaminya tidak menghalangnya untuk terus bersukan
terutama sukan bola sepak yang menjadi kegemarannya. Indran Kumren, 14,
pula menghidap diabetes setahun yang lalu. Dia juga tidak mempunyai
keturunan yang menghidap diabetes. Dia memerlukan suntikan insulin dua
kali sehari.
“Saya merasa malu pada peringkat awal. Namun kawan-kawan saya tidak pernah mengejek saya,” katanya.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment