Kawal penyakit diabetis yang bacaan paras gula 9 - 10 mmol/L

Assalamualaikum Dr,
Bagaimana cara terbaik mengawal penyakit diabetis yang bacaannya paras gula dalam darah 9 - 10 mmol/L? Terima kasih.
- Abd
________________________________________________

Wa'alaikum salam wbt En. Abd. Semoga berada dalam limpah nikmat dan kurniaan Allah SWT.
En. Abd, sasaran paras gula yang ideal untuk pesakit diabetes adalah seperti berikut :
4.4-6.1 mmol/L (berpuasa)
4.4-8.0 mmol/L (tidak berpuasa)

Akan tetapi, sasaran ini adalah bergantung kepada individu juga kerana sesetengah pesakit akan mengalami hypoglycaemia (yakni kekurangan gula dalam darah) andai diturunkan secara mendadak.
Oleh itu, dalam keadaan paras gula En Abd sekarang iaitu 9-10, perlu En. Abd mengambil perhatian terhadap beberapa perkara :

1) Adakah ia bacaan ketika berpuasa ataupun tidak?
2) Adakah En Abd mengalami tanda-tanda hypoglycaemia andai bacaan gula diturunkan lagi?
3) Adakah En Abd kini hanya menggunakan diet dan pengubahsuaian gaya hidup atau sudah menggunakan ubat?
4) Jika menggunakan ubat, berapa jenis ubat yang digunakan?
5) Adakah En. Abd menggunakan suntikan insulin?

Sekiranya nilai terbabit ketika berpuasa, semestinya ia agak tinggi dan perlu dikawal. Andai ia adalah ketika tidak berpuasa maka bacaan ini sudah baik dan boleh cuba dikurangkan untuk mencapai target dengan meningkatkan aktiviti fizikal dan diet.

Namun, andai paras gula diturunkan lagi dan En. Abd sudah mengalami tanda-tanda hypoglycaemia, maka En. Abd boleh mengekalkan dahulu paras bacaan gula ini dan mengambil langkah aktif untuk mengenali tanda-tanda hypoglycaemia. Antaranya adalah :

a) Menggeletar
b) Rasa berdebar-debar
c) berpeluh dengan kuat
d) Terasa seperti ingin pitam
e) Rasa lapar yang amat sangat
f) Rasa lemah@ lembik
g) Sukar untuk berkata-kata
h) kegelisahan

Sekiranya ia berlaku, makan sebiji gula-gula atau minum air gula yang dibuat menggunakan sadu sudu teh gula.

Sekiranya En. Abd masih belum menggunakan sebarang ubat kencing manis, maka segera berjumpa dengan doktor di Klinik Pesakit Luar untuk memulakan ubat. Biasanya mereka akan menggunakan satu jenis ubat sahaja terlebih dahulu.

Penggunaan ubat-ubatan ini harus disertai dengan pengubahsuaian pada cara pemakanan dan juga aktiviti harian.

Andai ia tidak berjaya, maka doktor akan menaikkan dos ubat atau menambah jenis ubat.

Penggunaan insulin hanyalah untuk mereka yang mana paras bacaan gulanya sangat tidak terkawal ataupun ketika mengalami sakit akut yang berbahaya dan di rawat di hospital.

Pengubah suaian ubat-ubatan juga tidak hanya menggunakan nilai gula sahaja. Sebaliknya doktor akan menjalankan beberapa jenis pemeriksaan makmal terlebih dahulu.

Selain itu, beberapa amalan pemakanan yang baik termasuklah :

1) Masa makan yang teratur dan elakkan dari tertinggal jadual makan.
2) Makan tiga hidangan utama dan diselangselikan dengan satu atau dua minum sampingan. Untuk hidangan utama, bahagikan pinggan anda kepada empat bahagian. Satu bahagian untuk nasi, satu bahagian untuk lauk, satu bahagian untuk sayur dan satu bahagian untuk buah-buahan. Untuk minum sampingan, secawan teh den sebiji kueh sudah mencukupi.
3) Dapatkan khidmat nasihat pakar pemakanan untuk mengawal jumlah pengambilan karbohidrat yang akan ditukarkan kepada gula di dalam badan.
5) Mengurangkan penggunaan makanan berlemak, garam, makanan berminyak dan yang tinggi kandungan kolesterol.

Dan yang terakhir sekali adalah dengan melakukan senaman minima sebanyak lima kali seminggu.

Untuk setiap sesi, lakukan selama 20 minit. Aktiviti seperti berjalan dengan pantas atau berkebun boleh dilakukan. Pastikan En. Abd memerhatikan tanda-tanda hypoglycemia sewaktu menjalankan aktiviti fizikal.

Dan terakhir sekali, pastikan En. Abd tidak lupa untuk mengambil ubat dan menghadiri rawatan susulan di klinik mengikut masa yang ditetapkan kerana doktor akan menyelia tekanan darah, paras gula, Hba1c, bacaan lemak dan kolesterol dan juga kehadiran protein dalam air kencing.

Selain itu, pastikan juga En. Abd berjumpa dengan pakar mata dan pakar perubatan dalaman sekurang-kurangnya sekali setahun untuk mengesan komplikasi diabetes.

Diharapkan ia dapat menjawab persoalan En. Abd. Wallahu'allam

Dr Muhamad Na'im B. Ab Razak (MD USM)
drkomuniti.blogspot.com
- Soal Jawab iluvislam.com

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...