Pesakit Diabetes Boleh Berpuasa


Pada bulan Ramadhan, ramai pesakit diabetes mengakui berhadapan dengan cabaran yang sangat besar. Namun, diabetes bukanlah alasan untuk tidak berpuasa. Dengan pengurusan yang baik, puasa boleh dilaksanakan dengan sempurna.

Diabetes seperti yang diketahui ialah masalah kadar gula berlebihan dalam darah yang disebabkan gangguan hormon insulin sama ada secara kuantiti atau kualiti.

Langkah yang perlu diambil pesakit diabetes ketika berpuasa :

* Diet - Elakkan makan berlebihan ketika berbuka puasa dan pada waktu malam terutama makanan mengandungi karbohidrat dan berlemak. Ini kerana makanan itu boleh menambahkan berat badan dan menyukarkan kawalan diabetes.

* Senaman - Melakukan aktiviti fizikal ringan ketika berpuasa tidak menimbulkan kemudaratan. Perubahan terhadap diet dan ubat-ubatan ketika bersahur harus dibuat mengikut nasihat doktor bagi mengelak hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah).

* Ubat - Dapatkan nasihat doktor mengenai pengubahsuaian dos dan pengambilan ubat. Sebagai panduan, dos yang diambil pada sebelah pagi ditukar kepada waktu berbuka manakala dos yang diambil sebelum makan malam diambil sebelum bersahur. Pengambilan dos yang diambil mungkin perlu untuk mengelakkan hipoglisemia.

* Insulin - Dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan pada permulaan puasa seperti berikut -

i) 3 kali suntikan insulin : 2 dos insulin yang bertindak segera (short acting insulin) ketika berbuka dan sebelum bersahur. Ini diikuti dengan satu dos insulin yang bertindak lama (intermediate acting insulin) sebelum tidur.

ii) 2 kali suntikan insulin : satu dos insulin yang sudah dicampur (premixed insulin) ketika berbuka puasa. Dos yang diperlukan adalah sama seperti dos yang diberikan pada waktu pagi pada hari tidak berpuasa. Satu dos insulin yang bertindak segera pula diambil sebelum bersahur.

Pada permulaan Ramadhan, tahap gula dalam darah perlu diuji pada waktu berikut - sebelum sahur, antara 2 hingga 4 jam selepas sahur, sebelum berbuka puasa dan antara 2 hingga 4 jam selepas itu.

Sekiranya tahap gula dalam darah pesakit terlalu tinggi, mereka perlu menjalani ujian ketone air kencing atau darah. Langkah ini dapat mengelakkan berlakunya koma diabetik ketoasidosis dan pesakit pula perlu berbuka puasa segera.

Awasi juga berat badan sepanjang Ramadhan. Pertambahan lebih 2 kilogram perlu dimaklumkan kepada doktor. Jika dalam satu hari berat badan didapati berkurangan sebanyak 3%, pesakit mesti segera berbuka puasa bagi mengelak kemungkinan berlaku dehidrasi yang serius. Banyakkan minum air tetapi elakkan air yang manis. Gantikan air yang hilang ketika membuang air kecil di tengah malam dengan minum air.

Juga pastikan anda melaksanakan perkara-perkara berikut :
  • Bersahur
  • Segerakan berbuka
  • Makan ubat/suntik insulin mengikut nasihat doktor
  • Makan berpada-pada ketika berbuka serta kurangkan hidangan yang manis
  • Awasi penyakit diabetes dan kesihatan anda secara umum
  • Kenali tanda-tanda hipoglisemia
  • Segera berbuka jika anda mengalami simptom hipoglisemia, hiperglisemia atau dehidrasi.
  • Ubahsuai dos ubat atau insulin dan waktu ia harus diambil atau disuntik mengikut arahan doktor.
Pesakit diabetes tidak dibenarkan berpuasa jika :
  •  Diabetes tidak stabil dan kemungkinan mengakibatkan komplikasi dehidrasi, jangkitan kuman atau koma.
  •  Mengalami komplikasi diabetes serius jantung koronari dan tekanan darah tinggi yang tidak dikawal
  •  Kerap mengalami koma diabetes ketoasidosis
  •  Kerap mengalami hiperglisemia
  •  Hamil dan memerlukan suntikan insulin
  •  Berusia bawah 12 tahun
  •  Tidak patuh pada nasihat penjagaan diet, pengambilan ubat-ubatan dan insulin
Simptom Hipoglisemia
  • Menggigil
  • Terlalu lemah
  • Amat lapar
  • Berpeluh
  • Pucat
  • Berdebar-debar
  • Gelisah
  • Koma
Simptom Hiperglisemia
  • Kerap membuang air kecil
  • Terlalu dahaga
  • Sangat letih
Simptom Dehidrasi
  • Amat dahaga
  • Kulit dan lidah yang terlalu kering
  • Fikiran terganggu

oleh Prof. Madya Dr Nor Azmi Kamaruddin
sumber: Info kesihatan Anda

http://melayuboleh.8forum.net/t324-kencing-manis-diabetes-mellitus

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...