Kencing Manis Semasa Mengandung

Apakah kencing manis semasa mengandung?


Kencing manis ialah kondisi yang melibatkan peningkatan kadar gula dalam darah. Sesetengah wanita mendapat kencing manis sebelum mengandung, sementara lagi mendapat kencing manis semasa mengandung. Kencing manis yang bermula semasa mengandung dinamakan ‘gestational diabetes’ dan berlaku dalam 7% kehamilan.

Jika anda mempunyai kencing manis semasa mengandung, anda mungkin perlu menukar cara pemakanan bagi mengawal kandungan gula dalam darah. Bagi sesetengah kes yang lebih serius, anda mungkin memerlukan penggunaan insulin. Jika kencing manis tidak dikawal sebelum dan semasa mengandung, masalah-masalah seperti berikut mungkin berlaku:
  • Kandungan gula yang tinggi dalam darah menyebabkan bayi mempunyai saiz yang besar sebelum masa kelahirannya. Bayi yang besar boleh menimbulkan komplikasi sebelum, semasa dan selepas bersalin. Bayi yang besar kebiasaannya memerlukan “c-section” kerana mereka lebih terdedah kepada risiko kecederaan jika dilahirkan secara normal seperti perubahan kedudukan bahu.
  • Bayi lebih berisiko tinggi untuk mengalami kecacatan atau masalah yang berkait dengan jantung, buah pinggang, tulang belakang atau otak. Sesetengah masalah ini boleh menyebabkan kematian.
  • Risiko untuk anda mendapat darah tinggi meningkat. Kondisi ini boleh menimbulkan masalah kepada anada dan bayi yang dikandung.
  • Anda mungkin mempunyai ketone di dalam darah dan air kencing yang disebabkan oleh ketoasidosis. Ketoasidosis terjadi apabila gula dalam darah tidak dapat ditukar kepada tenaga, maka lemak digunakan sebagai sumber tenaga. Bahan sampingan penggunaan lemak ini ialah ketone yang boleh menyebabkan kondisi yang agak serius.
  • Anda mungkin melahirkan bayi pra-matang (sebelum 37 minggu) atau bayi terpaksa dilahirkan awal dari waktunya.
  • Bayi yang dilahirkan mungkin mengalami masalah kandungan gula yang rendah dalam darah (hypoglysemia).
  • Risiko bayi untuk terkena penyakit kuning meningkat.
  • Anda mungkin mengalami keguguran semasa awal kehamilan atau bayi mungkin mati dalam kandungan sebelum kelahiran.
Jika anda mendapat rawatan sebelum dan semasa mengandung, anda berkemungkinan melahirkan bayi yang sihat.

Bagaimana kencing manis semasa mengandung terjadi?

Organ pankreas dalam badan menghasilkan hormon insulin. Insulin berfungsi menukar gula kepada tenaga. Hormon-hormon lain yang dirembeskan semasa mengandung boleh menghalang insulin berfungsi dengan betul. Maka, pankreas perlu menghasilkan lebih banyak insulin. Jika insulin tidak dapat dihasilkan dengan kuantiti yang mencukupi untuk mengawal kandungan gula dalam darah, anda akan mendapat kencing manis.
Punca sebenar mengapa kencing manis semasa mengandung terjadi tidak diketahui. Wanita yang mempunyai latar belakang seperti berikut lebih berisiko untuk mendapat kencing manis semasa mengandung:
  1. Latar belakang keluarga yang mempunyai penyakit kencing manis
  2. Obes atau mempunyai berat badan melebihi BMI yang normal
  3. Mempunyai bayi yang sebelumnya bersaiz besar melebihi 4 kg semasa lah
  4. Bayi yang dilahirkan sebelumnya pernah mati semasa dilahirkan
  5. Bayi yang dilahirkan sebelumnya mengalami kecacatan
  6. Pernah mengalami keguguran
  7. Umur melebihi 35 tahun
Apakah simptom-simptom kencing manis semasa mengandung?

Kencing manis semasa mengandung boleh terjadi tanpa simptom yang jelas. Walau bagai mana pun, ujian air kencing dan darah semasa mengandung boleh mengesahkan jika anda mempunyai kencing manis atau tidak. Jika anda telah pun mempunyai kencing manis sebelum mengandung, anda akan mendapati ianya lebih sukar dikawal semasa mengandung. Jika anda mempunyai simptom-simptom berikut, sila berjumpa doktor secepat mungkin.
  • Sentiasa dahaga
  • Kehilangan berat badan
  • Makan dalam kuantiti yang banyak
  • Kerap kencing
  • Keletihan tanpa sebab
Bagaimana kencing manis dirawat?

Anda harus mengawal aras gula dalam darah dengan melakukan perkara seperti berikut:
  • Mengubah cara pemakanan anda. Kebiasaannya, dietitician akan memberikan garis panduan kepada wanita mengandung yang mempunyai kencing manis.
  • Mempunyai rutin bersenam, sekurang-kurangnya berjalan 30 minit sehari.
  • Memantau aras gula dalam darah dengan menggunakan alat yang didapati di pasaran. Penggunaan alat ini memerlukan modal yang agak tinggi dan ianya adalah pilihan anda untuk menggunakannya. Sebaik-baiknya, ia digunakan supaya anda mengetahui pemakanan yang diamalkan semasa mengandung boleh mengawal aras gula dalam darah atau tidak.
  • Bagi yang lebih serius, anda mungkin memerlukan suntikan insulin atau ubat mengawal aras gula dalam darah.
Adakah kencing manis semasa mengandung akan berkekalan?

Kebanyakan wanita yang mempunyai kencing manis semasa mengandung tidak akan mempunyai kencing manis lagi selepas bersalin. Keperluan insulin oleh badan selepas bersalin akan menurun disebabkan keseimbangan hormon dalam badan akan kembali kepada normal. Walau bagaimana pun, risiko untuk mendapat kencing manis dalam jangka masa terdekat adalah tinggi. 15-20% wanita yang mempunyai kencing manis semasa mengandung didapati mempunyai kencing manis selepas setahun bersalin. Bagi mengurangkan risiko ini, pastikan anda mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan menjaga pemakanan dan melakukan senaman yang mencukupi.

Jika anda mempunyai kencing manis sebelum mengandung, anda mungkin akan kembali kepada keadaan dan rawatan asal selepas bersalin. Jika anda mempunyai sejarah kencing manis semasa mengandung, terdapat kebarangkalian untuk anda terkena kencing manis lagi jika anda mengandung di masa hadapan.

http://comelnya.com/mengandung/kencing-manis-semasa-mengandung

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...