Di petik daripada Berita Harian
Diagnosis: Diabetes berkait gaya hidup
Oleh Hafizah Iszahanid (hafiza@nstp.com.my)
————————————————————–
Ancaman kesihatan, punca utama kematian di Asia.
LETUSAN epidemik obesiti di
Asia memperlihatkan diabetes muncul sebagai ancaman kesihatan utama.
Persoalan yang dibincangkan sekarang punca utama penyakit itu bukan
disebabkan mutasi genetik atau faktor lahir dalam keluarga pesakit diabetes, sebaliknya kerana gaya hidup pesakit.
Kroniknya
diabetes menyaksikan kini ada lebih 80 juta pesakit diabetes di seluruh
dunia. Hampir 50 peratus pesakit adalah dari Asia. Empat daripada lima
negara utama diabetes di Asia ialah
India seramai 42.3 juta pesakit, China (20.8 juta), Indonesia (8.4
juta) dan Jepun (6.8 juta). Diabetes juga menjadi punca utama kematian
disebabkan strok di Asia Pasifik.
Mengikut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 1986, ada 6.3 peratus pesakit diabetes di Malaysia.
Dalam kajian Jabatan Kesihatan pada 1995 pula jumlah itu meningkat
kepada 7.7 peratus. Tahun berikutnya, jumlah pesakit terus meningkat
kepada 8.2 peratus. Menerusi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan
1996, hampir 10 tahun selepas kajian pertama, jumlah pesakit diabetes
meningkat kepada 11.5 peratus.
Sehingga kini diabetes tidak berupaya disembuhkan sepenuhnya tetapi dengan pengurusan baik, kadar gula dalam darah boleh dikawal sekali gus komplikasi diabetes boleh dilewatkan.
Tanpa pengurusan yang baik, diabetes akan menjadi pencetus kepada
pelbagai komplikasi yang membawa maut. Justeru, bukan aneh apabila
faktor majoriti kes kematian membabitkan pesakit diabetes adalah
komplikasi makrovaskular.
Komplikasi
makrovaskular adalah kelaziman di kalangan pesakit diabetes. Ia
didefinisikan sebagai kerosakan pada salur darah besar yang membawa
kepada serangan strok, jantung dan peripheral vascular disease (PVD).
Pakar Perunding Diabetes Pusat
Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Rokiah Pendek, berkata walaupun
diabetes dikenali juga sebagai masalah kecacatan baka, faktor gaya hidup
kini menjadi punca utama penyakit itu. “Lahir dalam keluarga diabetes,
kebarangkalian mendapat diabetes tinggi. Justeru, mulakan amalan hidup
sihat daripada awal,” katanya.
Dr Rokiah berkata, diabetes jenis 2 dikaitkan
dengan komplikasi serius dan ia berlaku dalam masa yang panjang
disebabkan tahap gula dalam darah. “Rawatan terbaik adalah menurunkan
tahap gula sebelum banyak kerosakan berlaku. Jika glukos masih berada
dalam angka bahaya, komplikasi akan berlaku,” katanya.
Bagi
kebanyakan pesakit, diabetes selalunya didiagnos lewat kerana simptom
berkenaan kurang diambil berat. Bagi sesetengah orang mungkin simptom
sukar dikesan. Bagaimanapun, apabila seseorang itu disahkan diabetes, 50
peratus komplikasi sudah ada padanya. Malah, pesakit itu sebenarnya
berhadapan dengan diabetes sejak 10 tahun lalu.
“Bagi
lelaki, masalah diabetes bukan masalah benar mereka berjumpa doktor,
sebaliknya mereka berbuat demikian kerana masalah dalam hubungan
kelamin,” katanya. Perlu diketahui, masalah kurang nafsu dalam hubungan seks adalah satu daripada simptom diabetes.
Pengarah
Yayasan Jantung Malaysia, Datuk Dr Khoo Kah Lin, berkata diabetes
secara umumnya tidak membunuh pesakit, sebaliknya hampir 70 peratus
pesakit diabetes mati kerana komplikasi kardiovaskular. Bagi pesakit
diabetes, komplikasi makrovaskular adalah empat kali lebih daripada
komplikasi mikrovaskular (kerosakan salur darah kecil). Semua komplikasi
boleh berlaku secara sendiri atau ‘berkawan-kawan’. Misalnya, pesakit
bukan saja mengalami masalah jantung tetapi juga buah pinggang.
“Lebih
lama dia menghidap diabetes, lebih banyak komplikasi kalau ia tidak
dikawal. Mungkin pada peringkat awal mereka mengalami tekanan darah
tinggi dan strok, kemudian hadapimasalah kegagalan buah pinggang,”
katanya. Biasanya dalam satu masa, hampir 20 peratus pesakit diabetes
mengalami komplikasi membabitkan saraf mata (retinopathy), 9 peratus
komplikasi saraf (neuropathy), 8 peratus buah pinggang (nephropathy) dan
50 peratus berhadapan dengan komplikasi jantung.
“Diabetes jenis dua adalah penolakan insulin yang
berkait dengan masalah kardiovaskular termasuk hyperglycemia (gula
tinggi) dan hyperinsulinemia (tinggi insulin). Oleh itu, pesakit perlu bijak menguruskan diabetes,”
katanya. Pengurusan diabetes yang bijak bermaksud pesakit mesti
mencapai sasaran HbA1c yang ditetapkan. HbA1C adalah ujian mengukur
jumlah hemoglobin glycosylated (molekul dalam sel darah merah yang
melekat dengan glukos).
Kadar
normal HbA1c bagi mereka yang sihat adalah antara empat hingga 5.9
peratus. Bagaimanapun, pesakit diabetes memiliki HbA1c yang lebih
tinggi. Justeru, mencapai sasaran HbA1c adalah satu cara rawatan.
“Malangnya di Asia, kebanyakan pesakit tidak mencapai sasaran HbA1c.
Oleh itu, bagi HbA1c yang tidak dikawal mendedahkan risiko serangan
jantung, strok, buta dan kegagalan buah pinggang yang memerlukan
dialisis,” katanya.
Selain itu, Dr Khoo berkata, komplikasi mikrovaskular pula boleh menyebabkan buta,kegagalan buah pinggang, pemotongan kaki (amputation),
retinopati, nephropati dan neuropati. “Retinopati menjejaskan saluran
darah kecil dalam retina. Perubahan ini mungkin tidak disedari pesakit
awalnya, tetapi ia menjejaskan 74 peratus pesakit diabetes yang sudah
didiagnos selama 10 tahun atau lebih,” katanya.
Dr
Khoor berkata, pesakit diabetes memerlukan pemotongan bahagian kaki
bawah 25 kali lebih daripada orang lain disebabkan saraf yang tidak
berfungsi dengan baik.
INFO: Diabetes jenis 2
1. Boleh memendekkan 10 tahun lebih awal usia pesakit
2. Punca utama penyebab strok di Asia
3. Setiap 10 saat, seorang mati kerana komplikasi diabetes
4. Setiap 30 saat, seorang kehilangan kaki kerana komplikasi diabetes
5. 151 juta pesakit pada 2000
6. 220 juta pada 2010
7. 300 juta pada 2025
8. 366 juta pada 2030
Diabetes
jenis dua adalah risiko utama masalah kardiovascular (CVD). CVD boleh
berlaku dalam empat lokasi sistem peredaran darah;
a)
Jantung (masalah jantung koronari) yang membawa kepada angina (sakit
dada) serangan jantung atau kematian mengejut (sudden death)
b)
Otak – (masalah cerebrovascular) yang menyebabkan strok atau disebut
juga mini strok (transiet ischaemic strok) bekalan darah pada bahagian
tertentu di otak terganggu seketika.
c) Kaki (bahagian bawah atau tapak kaki) yang menyebabkan gangrene (tisu mati yang memerlukan ia dipotong.
Bagi kes pesakit kencing manis kanak-kanak, kebanyakannya kencing manis jenis 1, tetapi dalam satu kajian di PPUM pada 1999, ada kes kanak-kanak alami diabetes jenis 2.
Profesor Dr Rokiah Pendek telah meninggal dunia pada hari ini 1 OGOS 2012 Pukul 10 pagi. Dikebumikan selepas zohor 2 ptg di tanah perkuburan Islam kota damansara.
ReplyDeleteSemoga rohnya dirahmati dan aman di sana dan tergolong dikalangan aulia.
Masyarakat telah kehilangan seorang yg berilmu dalam mengenai diabetis dan endocrine. ILMUnya sangat lah berharga.
Allah swt telah mengambilnya terlebih dahulu.
Setelah tewas didalam menghadapi kanser paru paru tahap 4.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
al fatihah.