Di petik daripada Berita Harian
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my
TZD lengah, cegah kehilangan kawalan gula dalam darah penghidap
KES satu: Pelajar tingkatan dua, Sathyaseelan Vijayakumar, 14.
Remaja ini disahkan menghidap diabetes pada usia setahun setengah.
 Tahap gula dalam darahnya waktu itu turun naik. Dia kerap kencing dan 
demam. “Saya anak sulung daripada dua beradik dan tiada ahli keluarga 
menghidap diabetes, jadi ibu bapa tidak pasti keadaan saya hinggalah 
diberitahu doktor,” katanya.Pada usia tiga tahun, dia diberitahu 
mengenai penyakitnya dan diingatkan tidak mengambil makanan mengandungi 
gula secara berlebihan.
“Saya tahu memang tidak boleh sembuh tapi tidak ada masalah dengan itu kerana bolehmengawal gula dalam darah.
 Saya juga mengawal pemakanan. Saya tidak ambil gula-gula dan minuman 
berkarbonat terlalu banyak. Saya lebih banyak ambil protein dan serat. 
Berat badan juga stabil, sekarang berat saya 40 kilogram,” katanya.
Seperti
 remaja lain, Vijayakumar sukakan makanan segera tetapi katanya dia 
hanya menikmatinya sebulan sekali. Pada peringkat awal, ibu bapanya 
banyak membantu terutama ketika dia memerlukan suntikan insulin. Tapi kini, dia sudah boleh kendalikan sendiri.Viyakumar didiagnos dengan diabetes kerana
 pankreasnya rosak dan tidak boleh berfungsi. “Walaupun saya diabetes, 
saya tidak jadikan itu alasan untuk tidak bersukan. Saya suka bermain 
bola sepak, saya suka aktiviti lasak dan saya tahu boleh mengawal 
keadaan.
“Kawan-kawan
 dan guru tahu saya ada diabetes. Mereka tidak menyisihkan saya. Saya 
bercita-cita menjadi doktor kerana saya sudah melihat kepayahan dan 
merasai susah senang pesakit diabetes, saya hendak bantu orang lain 
mengharunginya.
“Saya tidak malu mengakui saya pesakit diabetes.
 Malah kerana penyakit ini, saya banyak mempunyai maklumat mengenai 
diabetes. Saya masih ingat ketika sekolah mengadakan pertandingan bola 
sepak antara sekolah, saya bertugas sebagai ahli Persatuan Bulan Sabit 
Merah. Ketika itu ada seorang pemain pengsan di tengah padang. Saya beri
 dia pertolongan cemas dan buat pemeriksaan paras gula dalam darahnya. 
Parasnya tinggi. Saya rasa dia diabetes dan mencadangkan pada guru 
supaya pemain itu menjalani pemeriksaan.
“Dia kemudian didiagnos dengan diabetes dan sekarang mendapatkan rawatan.
 Kalau gula dalam darah tinggi, saya boleh kena pelbagai komplikasi dan 
saya sentiasa bersikap positif dan berjaga-jaga,” katanya.
KES Dua – Guru, Nor Azmah Suhaila Abdul Malik, 36.
“Ketika
 diberitahu doktor saya penghidap diabetes, saya terfikir ini bukan 
penyakit orang muda. Diabetes penyakit emak atau bapa saya,” katanya.
Azmah
 yang didiagnos dengan diabetes sejak empat tahun lalu memang datang 
daripada keluarga yang menghadapi masalah yang sama. Bagaimanapun, dia 
tidak terfikir akan didiagnos dengan diabetes pada usia 32 tahun.
Beliau berkata, selama ini sudah banyak simptom diabetes yang dialaminya tetapi dia masih menafikannya.
“Saya
 selalu tertekan dan ‘mood’ saya berubah-ubah, tetapi saya selalu 
ingatkan pada diri, kerjaya seorang guru memang selalu tertekan, 
biasalah. “Hingga pada satu hari saya diserang masalah jangkitan yang 
teruk. Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan saya diabetes.
“Saya
 terkejut dan tidak percaya. Saya masih menafikan kenyataan itu dan 
merasakan diabetes adalah penyakit orang tua. Ia penyakit emak atau bapa
 saya dan bukan saya.
“Saya
 ambil ubat tapi saya tidak tahu apa ubat itu dan saya tidak tahu banyak
 mengenai diabetes. Saya ambil ubat sebab doktor suruh,” katanya.
Walaupun
 tahu dia diabetes, Azmah tidak langsung menjaga pemakanannya. Dia 
menikmati semua jenis makanan dan makan sebanyak yang dia mahu. Padanya,
 kalau sakit bukankah ada ubat?
“Biasanya
 dua hari sebelum jumpa doktor, saya rebus pucuk betik dan minum. Bila 
pergi jumpa doktor, doktor kata saya bagus, jaga pemakanan.
“Doktor
 senang hati, saya pun senang hati. Bagaimanapun, selepas balik jumpa 
doktor, saya makan juga apa yang saya nak.. tidak jaga pemakanan,” 
katanya.
Azmah
 berkata, doktor yang merawatnya mencadangkan dia menyertai satu kempen 
diabetes bagi menguji sejenis ubat baru untuk pesakit diabetes jenis 
dua. Azmah dengan senang hati menyertainya.
“Sejak
 hari itu, saya mula mengenali diabetes. Diabetes boleh dikawal. Saya 
mahu lihat anak-anak saya membesar, bergraduan dan berkahwin. Melengahkan komplikasi diabetes bukan mustahil.
“Hari
 ini saya tidak lagi menafikan kenyataan itu dan saya bangga mengakui 
saya pesakit diabetes dan boleh mengawal penyakit itu,” katanya.
Diabetes sebabkan pelbagai komplikasi
ANDA
 tersilap jika percaya diabetes adalah masalah golongan berusia, tetapi 
anda tidak salah jika mengatakan diabetes penyakit yang sangat biasa dan
 selalu ‘underdiagnosed’. Pakar Perunding Kanan Endokrologi dan 
Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy 
Mohamed, berkata diabetes akan menyebabkan pelbagai komplikasi dan 
memusnahkan salur darah.
“Tiada istilah diabetes lemah atau sederhana. Diabetes selalunya serius,” katanya.
Beliau
 berkata, jika dilihat dari segi faktor diabetes, ada tiga perkara yang 
tidak boleh diubah. Diabetes dipengaruhi faktor genetik, usia dan 
kumpulan etnik. Di Malaysia, orang India menduduki tangga pertama dari 
segi statistik pesakit, diikuti Melayu dan Cina.
“Bagaimanapun,
 di sebalik tiga faktor risiko diabetes yang tidak boleh diubah, dua 
faktor lagi boleh dikawal iaitu berat badan dan melakukan aktiviti 
fizikal. “Diabetes bukan saja soal makan banyak atau sikit. Diabetes 
adalah masalah pankreas dan apa yang boleh anda lakukan untuk mengawal 
kadar gula dalam darah. Sehingga kini tiada ubat boleh menyembuhkan 
tetapi ada ubat yang boleh melengahkan komplikasi,” katanya.
Diabetes adalah penyebab kematian yang keenam, menyebabkan komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, buta dan kerosakan saraf.
Pada
 2000, dianggarkan 154 juta orang yang berumur 20 tahun ke atas 
menghidap diabetes dan dijangka meningkat kepada 300 juta orang 
menjelang 2025.
Di
 Malaysia pula, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan antara 
2000-2030 akan berlaku peningkatan 164 peratus pesakit diabetes. Andaian
 itu terbukti apabila pada 2000, jumlahnya adalah 0.94 juta manakala 
pada 2030 jumlahnya akan menjadi 2.48 juta jika tiada sebarang langkah 
dilakukan.
Berdasarkan
 Kajian Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan 1986, sebanyak 6.3 peratus 
penduduk dewasa menderita diabetes jenis dua. Kajian yang sama 10 tahun 
kemudian mendapati, angka itu meningkat menjadi 8.2 peratus dewasa 
menderita diabetes dengan 95 peratus adalah diabetes jenis dua.
Peningkatan
 itu selari dengan angka pertumbuhan penduduk, penuaan, masalah obesiti 
dan sifat warga Malaysia yang malas bersenam.  “Diabetes di Malaysia 
semakin hari semakin meningkat pada kadar yang amat membimbangkan. 
Masyarakat harus sedar dan faham diabetes membawa komplikasi,” katanya.
Selain ubat-ubatan, diabetes boleh dirawat dengan amalan diet,
 senaman dan ejen anti diabetes oral untuk menurunkan paras gula darah 
kerana ia mengurangkan rintangan insulin dan mengurangkan kadar 
kehilangan fungsi sel beta (sel beta dan insulin berperanan penting 
dalam diabetes jenis dua).
Komplikasi Diabetes Tidak Terkawal
A) Kerosakan salur darah (vaskular dan mikrovaskular)
Komplikasi
 makrovaskular pula menyebabkan kerosakan salur darah yang besar dan 
menjadi faktor terjadinya masalah jantung, strok, penyakit vaskular 
periferal, gangren iaitu kerosakan atau kematian sebahagian tubuh kerana
 kekurangan atau tiada bekalan darah dan kaki terpaksa dipotong.
B) Buta atau diabetes retinopati
C) Neuropati atau kerosakan saraf
D) Mikroalbuminuria (kehadiran protein albumin dalam air kencing)
Apakah yang perlu anda tahu?
Hasil kajian mendapati sejenis ubat yang dikenali sebagai ‘thiazolidinedione’ (TZD) berupaya melengahkan dan mencegah kehilangan kawalan gula dalam darah secara beransur dan mengekalkan tahap gula dalam darah yang dikehendaki dalam tempoh yang lama.
Ubat itu bagaimanapun disasarkan untuk pesakit diabetes jenis dua. Kajian keberkesanan TZD itu membabitkan responden seramai 4,360 yang baru disahkan menghidap diabetes jenis dua.
Ia
 sudah diterbitkan dalam New England Journal of Medicine dan 
dibentangkan dalam Kongres Diabetes Sedunia ke 19 Persekutuan Diabetes 
Antarabangsa (IDF), baru-baru ini.
“Ada
 bukti kukuh kawalan paras glukos dalam darah yang baik boleh 
mengurangkan risiko pesakit mengalami komplikasi dan penularan diabetes 
jenis dua secara ketara,” kata Pakar Perunding Kanan Endrokologi, Pusat 
Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr SP Chan.
Mengikut
 kajian antarabangsa ADOPT (A Diabetes Outcome Progression Trial) 
rawatan awal dengan TZD mengurangkan 32 peratus risiko kegagalan 
monoterapi di kalangan pesakit diabetes jenis dua dalam lima tahun. TZD 
juga meningkatkan kepekaan insulin dan mengurangkan kadar kehilangan fungsi sel beta secara ketara.
“Dapatan
 ini adalah hasil kajian jangka panjang yang mendapati kehilangan gula 
darah secara beransur boleh dilengahkan dan paras gula yang sepatutnya 
boleh dikekalkan untuk tempoh lebih lama dengan penggunaan TZD.
“Ia lebih baik berbanding ejen anti diabetes oral yang paling lazim disyorkan dalam preskripsi,” katanya.
Langkah mencegah kehilangan kawalan gula dalam darah secara beransur dan mengekalkan paras gula dalam
 darah yang dikehendaki untuk tempoh lebih lama amat penting dalam usaha
 pesakit diabetes di Malaysia meningkatkan pengurusan penyakit mereka.
No comments:
Post a Comment