Petua Pemakanan untuk Kencing Manis



Hari ini Mak Long tak nak bercerita tentang resepi tapi mengenai petua pemakanan. Mak Long bukanlah seorang doktor atau pakar pemakanan terlatih tapi Mak Long saja nak berkongsi pengalaman setelah lebih sepuluh tahun memasak untuk orang yang mengidap kencing manis. Alhamdulillah, berpandukan kepada pengetahuan baru yang Mak Long dapat dari pembacaan Mak Long samada melalui internet ataupun buku rujukan, penyakit kencing manis dapat dikawal dengan baik. Malah dengan panduan pemakanan ini juga, dos perubatan telah dapat dikurangkan dan pesakit dapat menunaikan kewajipan berpuasa dengan sempurna tanpa sebarang komplikasi.

Tapi sebelum tu mari kita cuba fahami penyakit kencing manis tu dahulu. Hmm… kena buka buku sekejap..

Penyakit kencing manis ni timbul dari kelemahan tubuh dalam menghadam karbohidrat. Dalam proses metabolisma, karbohidrat diproses menjadi gula/glukos dan selanjutnya ditukarkan menjadi tenaga. Bagaimanapun, selalunya tidak semua glukos ini ditukar menjadi tenaga. Insulin adalah sejenis hormon yang berfungsi mengawal kadar lebihan gula dalam darah. Dalam penyakit kencing manis, proses ini tidak berlaku dengan efisyen menyebabkan berlakunya pengumpulan gula dalam darah. Apabila kadar ini terlalu tinggi, ia menghasilkan keadaan yang dipanggil hyperglycaemia dan menyebabkan terdapatnya gula dalam air kencing.

Bagi pengidap kencing manis, tubuh mereka mempunyai salah satu dari dua kelemahan; samada pankreas mereka tidak berupaya menyediakan hormon insulin secukupnya (diabetes type-1) atau insulin yang diterbitkan oleh pankreas tidak berfungsi sebaiknya (diabetes type-2). Diabetes Type-1 dikawal dengan menggunakan insulin manakala diabetes type-2 dikawal dengan pemakanan dan perubatan. Diabetes Type-2 lebih kerap ditemui di kalangan rakyat Malaysia kerana amalan pemakanan kita yang berasaskan karbohidrat.

Petua pemakanan yang Mak Long gunakan ni sesuai untuk kedua-dua jenis penyakit kencing manis. Ianya berbeza dengan nasihat pemakanan yang sering diberikan oleh pakar pemakanan terhadap penyakit ini tapi Mak Long dapati petua ini terbukti berkesan. Lagipun setiap kali pesakit dibawa untuk “full routine check-up” yang melibatkan ujian menyeluruh iaitu bukan sahaja ujian ke atas air kencing tetapi juga ujian darah untuk melihat kesan ke atas organ dalaman seperti jantung, hati dan buah pinggang, para doktor sentiasa berpuashati dengan tahap kesihatan pesakit, maknanya even though I am doing something different, I must be doing something right!

Baik, berbalik kepada petuanya. Nasihat yang biasa diberikan oleh pakar pemakanan adalah kurangkan gula dan kurangkan lemak. Petua yang Mak Long gunakan pula ialah berpantang gula, kurangkan karbohidrat tapi lebihkan lemak. Bila kita menjaga pesakit kencing manis ni, lebih-lebih lagi kalau ahli keluarga, adalah zalim kalau kita mengharapkan dia seorang yang berpantang sedangkan kita dengan seenaknya melantak di depan mereka. Iyelah.. dia pun bernafsu jugak, bila dia nampak makanan manis yang lazat pasti dia akan teringin juga. Jadi dalam dapur Mak Long memang tak ada gula (eh itu bohong.. sebenarnya Mak Long ada gula sepaket 500gm yang tahan bertahun-tahun sekadar bekalan jika ada tetamu yang tak boleh hidup tanpa gula). Ini adalah kerana dalam banyak-banyak pantang, pantang yang paling sukar untuk diamalkan ialah berpantang gula (lebih-lebih lagi untuk pesakit kencing manis). Jadi kalau sorang ahli keluarga kena pantang, semua kena pantang. One for all and all for one. Barulah adil, ye dak?

Mudah cakap ye, tapi untuk mempraktikkannnya tidak semudah itu. Sebenarnya, bukan seorang dua ahli keluarga dan kerabat Mak Long yang pernah mengidap penyakit ini dan jujur Mak Long akui yang Mak Long sendiri bukan sekali dua bertikam lidah untuk mempertahankan petua ini. Tapi percayalah, kalau kita benar-benar sayangkan mereka, kalau kita prihatin dan konsisten mengamalkannya bersama mereka, ianya tidaklah terlalu sukar. Sebenarnya sokongan dan pengorbanan moral seperti inilah yang amat diperlukan oleh pesakit kencing manis terutama sekali bagi mereka yang baru memulakannya.

Apa yang penting ialah ianya tidak perlu melibatkan sebarang kos tambahan sekadar peralihan kepada cara masakan yang sedikit berbeza. Macamana caranya, kita akan bercerita lebih lanjut lagi dalam bahagian selanjutnya. Untuk sementara ini, hadamkan dulu petuanya : berpantang gula, kurangkan karbohidrat, lebihkan lemak. Bagi mereka yang rajin, bolehlah dapatkan bacaan lanjutan disini.

Petua asasnya adalah:

BERPANTANG GULA, KURANGKAN KARBOHIDRAT DAN LEBIHKAN LEMAK

A) BERPANTANG GULA

Ini bukan sahaja terhad kepada gula tebu, gula kastor, gula melaka dan madu. Ia juga termasuk sebarang gula tersembunyi yang terdapat dalam produk makanan yang dipakejkan. Baca kandungan bahan yang disenaraikan pada label produk dan awasi sebarang bahan yang berasaskan gula seperti maltose, sucrose, fructose atau apa sahaja yang berakhir dengan -ose. Awasi juga gula yang terdapat dalam sos dan kicap. Kebanyakan kicap dan sos buatan Malaysia mengandungi kandungan gula yang tinggi. Mak Long gantikan sos tomato dengan menggunakan tomato puri/passata yang dicairkan dengan sedikit air panas. Gunakan kicap jenama Kikkoman kerana jenama ini tidak menggunakan gula.

B) KURANGKAN KARBOHIDRAT

Karbohidrat yang perlu dielakkan sama sekali adalah makanan yang mempunyai kandungan karbohidrat paling tinggi seperti tepung, roti, jenis ubi seperti ubi kentang dan ubi kayu, pulut dan nasi. Malangnya makanan ini jugalah makanan ruji kita. Pernah Mak Long berbincang mengenai perkara ini dengan keluarga Mak Long, mereka berkata, “Habis kalau tak makan nasi nak makan apa?”.

Masya Allah. Tuhan itu Maha Kaya. Dunia ini dijadikanNya luas. Banyak lagi rezeki Allah yang halal atas muka bumi ini yang boleh kita jadikan makanan. Insya Allah, Mak Long akan senaraikan beberapa alternatif yang kita boleh gunakan untuk menggantikan nasi/roti. Antaranya adalah nasi tiruan yang Mak Long baru saje poskan beberapa hari lepas. Beberapa resepi yang Mak Long dah poskan pun sesuai untuk kencing manis.
Selain dari itu kebanyakan sayuran hijau dan kekacang yang kita makan juga sesuai untuk pesakit kencing manis.

C) LEBIHKAN LEMAK

OK disini Mak Long berbeza dengan pandangan konvensyenel kerana lemak yang Mak Long maksudkan adalah lemak asli yang tepu. Ini termasuklah lemak binatang, mentega (butter); minyak sapi, susu penuh krim, lemak keju dan minyak kelapa. Asasnya sebarang lemak yang tidak mengalami proses yang berlebihan adalah lemak sesuai untuk pemakanan pesakit kencing manis. Untuk memasak Mak Long banyak gunakan mentega atau minyak sapi. Oleh kerana Mak Long agak sukar mendapatkan minyak kelapa, Mak Long gunakan minyak kacang tanah untuk menggoreng minyak dalam.

Lemak yang tidak sesuai adalah lemak majerin, susu skim, minyak jagung, minyak bunga matahari dan minyak lain yang melalui proses yang rumit untuk sampai ke dapur kita.

Mak Long pasti ramai yang tidak percaya dan tidak bersetuju dengan apa Mak Long tuliskan. Pasti juga ramai doktor yang akan menyanggah petua Mak Long ini. Mak Long hampir boleh dengar pertanyaan-pertanyaan yang sedang mungkin diajukan:

Lemak tepu? what about my cholesterol? Takkanlah apa yang kita belajar selama ini salah? dan sure banyak lagi soalan. Bacaan-bacaan lanjut disini.


Makanan yang perlu dielakkan sama sekali:
  • Gula – semua jenis
  • semua jenis manisan dan coklat (kecuali coklat masakan yang mengandungi minima 70% coklat asli dalam kuantiti yang rendah)
  • semua jenis makanan yang mengandungi gula derivatif yang mempunyai akhiran -ose seperti glucose, sucrose, lactose, maltose dan banyak lagi.
  • Makanan berkanji seperti pulut, beras (terutama beras siam), gandum, jenis-jenis ubi seperti ubi kentang dan ubi kayu
  • Susu rendah lemak atau susu skim, dan susu pekat manis (Susu cair atau susu segar penuh krim dibolehkan dalam kuantiti yang sedikit)
  • Yoghurt rendah lemak dan yoghurt berperisa (termasuk susu berperisa)
  • Sos cili, sos tomato dan kicap (kecuali kicap jenama Kikkoman kerana jenama ini tidak mengandungi gula)
  • Semua jenis minuman dalam botol/tin, sirap dan skuasy
  • Buahan dalam tin dan jus buah-buahan (buahan dalam bentuk jus mempunyai kandungan gula lebih tinggi dari buahan segar) kecuali jus yang dicairkan – satu bahagian dicampurkan 4 bahagian air.

Makanan yang sesuai dimakan:
  • Semua jenis daging – kambing, lembu
  • jenis burung – ayam, itik, turkey, puyuh, merpati dsbnya
  • Hati, limpa, paru, buah pinggang (mengandungi khasiat vitamin dan mineral yang sesuai untuk tubuh)
  • Sosej dan nuget (bagaimanapun awasi senarai bahan dalam produk di pasaran kerana kebanyakan terdapat bahan tambahan yang perlu dielakkan seperti gula dan bijirin)
  • Semua jenis lemak binatang – tiada had seperti butter dan minyak sapi. Jangan buang lemak daging dalam masakan.
  • Ikan dan makanan laut termasuk yang dikeringkan
  • Telur – tiada had termasuk telur asin (kecuali telur “Omega-3″ kerana telur jenis ini telah dihasilkan dari makanan tiruan yang mengandungi hormon tambahan)
  • Minyak kelapa, santan, kerisek, butter, minyak sapi, krim dan yoghurt penuh lemak
  • Keju kecuali cottage cheese. Pastikan anda dapatkan keju yang vegetarian kerana keju yang tidak dilabel vegetarian adalah tidak halal.
  • Herba dan rempah ratus
  • Sayur-sayuran dan buah-buahan segar bergantung kandungan karbohidrat
  • Tauhu, tempeh dan produk dari soya

Sayur-sayuran yang sesuai
  • Lobak merah
  • Lobak putih
  • Leek
  • Labu air
  • Labu panjang
  • Labu kuning
  • Asparagus
  • Taugeh (termasuk taugeh kacang hitam, taugeh kacang soya, taugeh kacang hijau)
  • Kacang panjang
  • Semua jenis Kobis
  • Bunga kobis
  • Broccoli
  • kacang buncis
  • Kacang tolo
  • Tomato (segar atau dalam tin)
  • semua jenis cili
  • Lada benggala
  • Bayam
  • Kangkung
  • Kailan
  • Semua jenis Sawi
  • Semua jenis cendawan
  • Dedaun salad
  • Dedaun hijau seperti pucuk ubi, pucuk ranti, pucuk labu, pucuk manis
  • Semua jenis ulam herba
  • Bebawang (seperti bawang besar, bawang putih, bawang merah, daun bawang)
  • Kucai
  • Petula
  • Bendi
  • Timun
  • Terung
  • Kelapa termasuk kelapa parut
  • Bangkuang atau sengkuang
  • water chestnut
  • Celery
  • Brussel sprout

Buah-buahan segar yang sesuai
  • Epal
  • Mangga (tidak lebih dari satu)
  • Nanas
  • Jambu batu
  • Betik
  • Peach
  • Strawberry
  • Blueberry
  • limau bali
  • limau nipis
  • limau kasturi
  • Tembikai dan jenis-jenis melon
  • Belimbing
  • Blackberry
  • Raspberry
  • Kiwi
  • Oren
  • Limau mandarin
  • Pear dan buah lai
  • Laichi
  • Avocado
  • Durian (tidak lebih dari 2 ulas)
  • Rambutan (tidak lebih dari 2 biji)
http://maklongskitchen.wordpress.com/2008/11/20/petua-pemakanan-untuk-kencing-manis-bhg-1/

10 comments:

  1. salam. maklong terima kasih atas info.. sangat menarik sekali.. boleh la sy buatkan utk mak sy nt.. die baru lg menghidap penyakit ni.. harap2 dpt kurangkan tekanan gula tu.. terima kasih ye maklong..

    ReplyDelete
  2. salam, panduan yang sgt2 berguna..sy menghidapi penyakit ini hampir 9 tahun dan saya amat faham masalah yang dihadapi oleh pesakit kencing manis. langkah yang amat baik ialah kurangkan pengambilan karbohidrat terutamanya nasi dan lebihkan protein. Bagi saya sebarang jenis nasi tak kira yang khusus untuk diabetis tetap melonjakkan bacaan gula didalam darah. jika kita ingin mengambil nasi..ambillah dalam quantity yang sangat sedikit contohnya satu senduk dan lebihkan sayur sayuran. InsyaAllah..bacaan gula kita tidak akan naik mendadak. Untuk pesakit kencing manis di luar sana..saranan maklong mmg tepat...kurangkan gula...dan kurangkan karbohidrat....gantikan dengan sayur-sayuran dan yang berasaskan soya...sangat2 membantu dalam pengurusan bacaan gula didalam darah kita...

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum mak long...jazakillah atas perkongsian ilmunyer...saya mohon izin share yer...

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum mak long...jazakillah atas perkongsian ilmunyer...saya mohon izin share yer...

    ReplyDelete
  7. Tkasih mak long.. info yg bguna dan sgt membantu..

    ReplyDelete
  8. Terima kasih mak long...sangat memberi manfaat.ibu mertua sy menghidap kencing manis.sy nk tanya....oat blh mkn x?

    ReplyDelete
  9. skarang abah sy cuma minum jus peria buat sendiri campur epal hijau...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...