Masalah Diabetes – Belanja besar rawat diabetes

Kos merawat diabetes

MUNGKIN ramai yang tidak tahu bahawa hampir 1.2 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit kencing manis atau diabetes. Angka itu adalah hasil kaji selidik Sindrom Metabolik Malaysia 2008.

Kajian tersebut telah dijalankan ke atas rakyat Malaysia bagi melihat kadar penyebarluasan penyakit Diabetes Mellitus Jenis 2.

Hasil kaji selidik itu juga telah menemui satu fakta yang mengejutkan iaitu 22 peratus daripada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas didapati menghidap penyakit ini.

Lebih membimbangkan, kesemua mereka tidak menyedari hakikat yang mereka menghidap diabetes.
Peningkatan kadar itu dipercayai berpunca daripada kes obesiti yang semakin meningkat di kalangan rakyat negara ini ekoran amalan gaya hidup tidak sihat.

Dengan purata umur penghidap diabetes Jenis 2 semakin menurun, ini membawa maksud bahawa kini lebih ramai rakyat Malaysia terdedah kepada risiko yang menjerumuskan mereka kepada penyakit lain seperti arteri koronari, strok, buta dan kegagalan ginjal.

Justeru Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Prof. Datuk Wan Mohamad Wan Bebakar menyarankan agar setiap warga Malaysia berumur 30 tahun ke atas menjalani ujian untuk mengesan diabetes dalam usaha untuk mengekang penyebarannya.

“Peningkatan penyakit diabetes bagi 20 tahun kebelakangan ini sungguh mengejutkan.

“Keadaan ini mungkin berlaku apabila didapati lebih 50 peratus daripada rakyat Malaysia berdepan dengan masalah pengawalan berat badan yang menjadi faktor penyumbang kepada jangkitan diabetes.

“Beban sosioekonomi akibat penyakit ini kepada kerajaan dan juga rakyat boleh menjadi tidak terkawal jika kita tidak mencuba untuk menanganinya. Tindakan agresif perlu dimulakan seberapa segera,” katanya ketika berucap pada satu bengkel anjuran Invida sempena Hari Diabetes Sedunia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lebih malang kata Wan Mohamad, rakyat Malaysia juga tidak bersungguh-sungguh dalam pengurusan diabetes, dengan kadar 80 peratus penghidap menunjukkan kadar kawalan glukos yang lemah dan tidak mematuhi prosedur rawatan yang ditetapkan.

Secara umumnya , terdapat dua kategori utama diabetes iaitu Jenis 1, yang biasanya berlaku kepada kanak-kanak dan remaja di mana pesakit bergantung kepada suntikan insulin sepanjang hayat kerana tubuh gagal menghasilkan insulin.

Bagi diabetes Jenis 2 pula, ia biasanya berlaku selepas usia 30 tahun dan jenis ini paling banyak dihidapi tanpa disedari sehinggalah pesakit dirawat akibat komplikasi penyakit tersebut.

Diabetes jenis ini juga dianggap sebagai kecelaruan metabolik akibat daripada ketidakupayaan tubuh menghasilkan insulin yang mencukupi atau insulin tersebut tidak boleh berfungsi.

Tahap insulin yang rendah menghalang tubuh daripada menukarkan glukos kepada glikogen (sumber tenaga seakan kanji yang disimpan di dalam hati) yang mengakibatkan proses pembuangan lebihan glukos dari dalam darah menjadi sukar atau tidak berfungsi.

Kandungan glukos yang tinggi dalam darah jika tidak dikawal boleh membawa kepada komplikasi serius sehingga membawa kematian.

“Sebab itu mengurus dan mengawal paras glukos merupakan matlamat utama dalam merawat pesakit diabetes,” katanya

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia, Prof. Nor Azmi Kamaruddin berkata, selalunya diabetes Jenis 2 boleh dikawal melalui diet pemakanan dan senaman saja.

Kadang-kadang itu tidak mencukupi dan memerlukan sama ada ubat-ubatan atau suntikan insulin.
Namun katanya, kajian yang dijalankan pada tahun 2006 menunjukkan 92 peratus pesakit diabetes Jenis 2 menolak insulin. Sel tubuh mereka tidak dapat menggunakan insulin dengan baik.
Setakat ini, antara kumpulan ubat-ubatan yang memberi tumpuan dengan penolakan insulin ialah Thiazolidinediones (TZD).
Menurutnya, TZD bertindak meningkatkan sensitiviti insulin pada tisu, meningkatkan fungsi sel beta, dan menurunkan pengeluaran glukos oleh hati.

Begitupun baru-baru ini tercetus isu tentang sejenis TZD, rosiglitazone yang dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan jantung, telah menimbulkan kebimbangan dan kekeliruan di kalangan pesakit.

Namun, penting untuk diingatkan bahawa isu tersebut tidak melibatkan kesemua ubat-ubatan di dalam kelas yang sama.

Walaupun ubat-ubatan ini berada di dalam kelas yang sama dan mempunyai fungsi yang sama, mereka mempunyai kesan yang berbeza kerana struktur kimia masing-masing yang unik.

Walaupun rosiglitazone telah dihadkan penggunaannya oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Kesatuan Perubatan Eropah, masih ada pilihan rawatan lain dalam kelas Thiazolidinediones seperti pioglitazone (Actos).

Pioglitazone berkesan dalam mengurangkan penolakan insulin dan membolehkan kawalan kadar glukos berterusan.

Keputusan kajian menunjukkan bahawa kawalan glukos dan tekanan darah yang baik dapat menjurus ke arah penurunan komplikasi akibat diabetes yang sangat ketara.

Read more: http://dnobiz.com/persadabiz/tip-motivasi/masalah-diabetes-belanja-besar-rawat-diabetes/#ixzz1k6cYLqmC

2 comments:

  1. perkongsian yang sangat menarik admin. Tak sangka macam tu sekali masalah diabetes kat Malaysia sekarang.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...